Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hubungan S'pura, AS 'erat dan muhibah', kata Vivian Balakrishnan

Hubungan antara Singapura dengan Amerika Syarikat (AS) sentiasa "muhibah", kata Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan menjelang lawatan Naib Presiden Kamala Harris ke Asia Tenggara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Aug 2021 05:04PM Dikemas Kini : 22 Aug 2021 09:03PM

SINGAPURA: Hubungan antara Singapura dengan Amerika Syarikat (AS) sentiasa "muhibah", kata Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan menjelang lawatan Naib Presiden Kamala Harris ke Asia Tenggara.

“Saya rasa perlu diberi penekanan bahawa melalui pentadbiran yang silih berganti Demokrat dan Republikan, kami sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan mereka," kata Dr Balakrishnan dalam satu wawancara yang disiarkan di CNA pada Ahad (22 Ogos).

Beliau berkata sudahpun terdapat "tempo mesyuarat dan interaksi yang stabil" melalui pemerintahan Presiden Barack Obama dan Donald Trump, termasuk lawatan-lawatan negara dan Sidang Puncak Trump-Kim pada tahun 2018, tetapi pandemik COVID-19 membantutkan interaksi seumpama itu.

“Sejujurnya, diplomasi memerlukan interaksi bertemu muka. Anda perlu merenung pada mata orang. Anda memerlukan beberapa masa, kadang-kadang hanya untuk berehat dan mengadakan perbualan bertentang mata," ujarnya.

“Kunjungan oleh Naib Presiden Kamala Harris adalah satu lawatan yang amat dialu-alukan dan penting."

Cik Harris, naib presiden wanita pertama Amerika Syarikat, melakukan lawatan ke Singapura dari Ahad (22 Ogos) hingga Selasa sebelum berangkat ke Vietnam. Ini adalah lawatan pertamanya ke Asia.

Dr Balakrishnan berkata diplomasi yang diamalkan oleh pemerintah Joe Biden adalah "lebih konvensional".

“Mereka cuba melibatkan diri secara pelbagai hala. Mereka mendampingi dengan cara agak sistematik dengan sekutu-sekutu, rakan-rakan kongsi mereka dan pihak-pihak berkepentingan lain," ujarnya.

"Saya rasa cukup sesuai dengan nada itu dan langkah beliau (Cik Harris) untuk menjangkau Asia Tenggara dan khususnya Singapura, sebuah negara bandar tepat di tengah-tengah Asia Tenggara; Vietnam - satu lagi negara utama bersaiz sederhana yang baru muncul di Asia Tenggara. Saya yakin beliau akan membuat kunjungan merangkumi bahagian lain di dunia apabila tiba waktunya."

Dr Balakrishnan menekankan bahawa di pihak Singapura, pendampingannya bersama Amerika Syarikat dari segi pelaksanaan dasar, ekonominya dan berhubung pertahanan serta diari pelibatan diplomatiknya sudah "amat baik" dan "konsisten".

“Amerika kekal sebagai pelabur asing terbesar di Singapura," kata beliau sambil menambah bahawa Amerika Syarikat melabur lebih banyak di Singapura berbanding di India, China dan Korea secara keseluruhannya.

“Ramai orang selalunya terkejut tentang perkara itu dan terdapat lebih 5,000 syarikat Amerika di sini... ia sudahpun menjadi saluran untuk teknologi, rangkaian, perdagangan dan akses."

Singapura juga mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat sejak 2008. Singapura juga mempunyai ikatan pertahanan kukuh dengan negara itu - Tentera Laut Amerika Syarikat menjadi pengguna asing terbesar Pangkalan Tentera Laut Changi dan angkatan tentera Singapura kerap berlatih di Amerika.

“Hasil daripada itu adalah hubungan institusi dan peribadi amat rapat antara para pemimpin kita serta termasuk antara kepimpinan tentera kita dengan mereka. Saya katakan, amanah dan muhibah yang sangat besar," ujar Dr Balakrishnan.

Apabila ditanya mengenai langkah Amerika Syarikat kembali ke dasar berbilang hala, Dr Balakrishanan berkata mantan presiden Donald Trump adalah seorang presiden yang "bukan konvensional", yang mewakili keprihatinan sebuah segmen penting pendapat politik domestik di Amerika yang berat sebelah.

“Kami memahami bahawa berat sebelah menyukarkan Amerika Syarikat untuk menyampaikan naratif yang kadangkala konsisten melalui pemerintahan yang berbeza. Tetapi saya rasa kita perlu belajar menyesuaikan diri dan ini perkara biasa yang perlu dijangkakan dalam hal ini."

Beliau menambah: "Kami yakin Amerika telahpun hadir secara membangun dan penting serta menjadi tunggak penting bagi formula kedamaian serta kemakmuran di Asia Tenggara."

Sumber : CNA/FZ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan