Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hubungan S'pura-China 'bukan demi kepentingan peribadi atau dengan pemimpin tertentu saja', kata PM Lee

Peralihan pucuk kepimpinan di Singapura tidak akan menjejas hubungan dengan China kerana hubungan antara kedua-dua negara "bukan demi kepentingan peribadi atau dengan pemimpin tertentu saja", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Apr 2019 09:06PM Dikemas Kini : 29 Apr 2019 11:46PM

BEIJING: Peralihan pucuk kepimpinan di Singapura tidak akan menjejas hubungan dengan China kerana hubungan antara kedua-dua negara "bukan demi kepentingan peribadi atau dengan pemimpin tertentu saja", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Apr).

Meneruskan persahabatan menjadi kepentingan kedua-dua negara, kata beliau kepada para wartawan semasa menggulung lawatan lima hari ke Beijing.

Bagi pihak Singapura, persiapan sudah dijalankan untuk melibatkan para menteri generasi keempat, seperti Menteri Kewangan Heng Swee Keat, yang terlibat secara aktif dalam pelbagai peranan baik di peringkat wilayah mahupun bagi projek-projek dua hala.

Satu contoh adalah Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) tahunan - iaitu platform tertinggi bagi rundingan kerjasama antara Singapura dengan China.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean dilantik sebagai pengerusi bersama, para menteri lebih muda turut bekerja rapat dengannya, kata Encik Lee.

Dengan penyusunan terbaru Kabinet - di mana Encik Heng akan menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1 Mei dan Encik Teo dilantik sebagai Menteri Kanan - Encik Heng juga akan mengambil alih tugas sebagai pengerusi bersama JCBC.

"Kami sudah memberitahu pihak China ... dan mereka kata ya, mereka mengalu-alukannya," kata Encik Lee.

"Mereka mengenali beliau kerana beliau pernah berinteraksi dengan mereka bagi banyak acara, termasuk semasa Presiden Xi (Jinping) dan Perdana Menteri Li (Keqiang) melakukan lawatan ke Singapura. Beliau menemani mereka jadi mereka mengenali beliau dengan lebih dekat," tambahnya.

"Saya rasa pihak China ingin mengukuhkan hubungan dan persahabatan ini," kata PM Lee. "Ini menjadi kepentingan kedua-dua negara. Ia bukan demi kepentingan peribadi atau dengan pemimpin tertentu saja.

JALURAN EKONOMI LALUAN SUTERA

Encik Lee berada di Beijing untuk menghadiri forum tiga hari Jaluran Ekonomi Laluan Sutera, di mana beliau turut menyampaikan dua ucapan.

Awal sebelum itu pada Isnin, Encik Lee mengadakan mesyuarat berasingan dengan Presiden Xi. Beliau juga bertemu dengan PM Li dan mereka sama-sama menyaksikan pemeteraian beberapa kerjasama baru antara Singapura dan China.

Di pertemuan tersebut, para pemimpin mengesahkan hubungan kukuh dan kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara, menurut Pejabat Perdana Menteri.

Mereka turut membincangkan kemajuan yang dicapai oleh ketiga-tiga projek peringkat pemerintah.

Presiden Xi turut mengalu-alukan penyertaan Singapura dalam Forum Jaluran Ekonomi Laluan Sutera, serta kerjasama rapat dan meluas antara kedua-dua negara di bawah Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera, termasuk dalam bidang ketersambungan prasarana, ketersambungan kewangan, kerjasama negara ketiga serta khidmat profesional dan guaman.

Para pemimpin juga mengesahkan betapa pentingnya untuk JCBC diadakan setiap tahun bagi membimbing kerjasama dua hala itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan