Hubungan muhibah dengan negara-negara Timur Tengah bolehkan SG terus hantar bekalan bantuan ke Gaza : Dr Maliki
Lantaran itu, Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman menjelaskan bahawa Singapura tidak mengambil jalan untuk mengasingkan Israel dalam krisis yang sedang bergolak di Timur Tengah.
Beliau mengulas lebih lanjut mengenai ucapan yang disampaikannya semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam wawancara bersama wartawan Izwan Ohtman.
"Jika kita mengasingkan diri kita ataupun mengasingkan mana-mana pihak, ia bermakna bahawa kita tidak akan dapat berbincang, tidak akan dapat mencari jalan huraian bagi krisis ataupun apa yang menjadi punca pertikaian tersebut ataupun mencari huraian jalan baharu untuk redakan keadaan yang merumitkan," ujar Dr Maliki yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
"Di sinilah kita melihat bagaimana bukan sahaja Singapura tapi negara-negara di Timur Tengah dan negara-negara Arab yang sebelum ini sudahpun mempunyai hubungan diplomatik bersama dengan Israel, mereka juga tidak menghentikan hubungan mereka. Mereka tidak menyekat hubungan mereka, malah mereka bekerjasama untuk mencari huraian berbincang dengan pihak Israel dan juga pihak Hamas," tambahnya.

"Jika kita lihat tahun lalu, kumpulan Angkatan Udara Singapura telah berusaha untuk membawa barangan-barangan yang telah disediakan untuk para penduduk Gaza menerusi ‘airdrop’ atau pun di mana kita menggunakan pesawat MRTT kita untuk menggugurkan barangan-barangan kepada Gaza. Jika kita tidak mempunyai hubungan untuk berbincang dengan pihak Israel, kita sukar untuk mendapat kebenaran untuk menggunakan pesawat kita melalui ruang udara Israel untuk menjalankan ‘exercise’ atau menjalankan misi tersebut," jelas Dr Maliki.
"Kita juga telah menggunakan pelabuhan Ashdod di Israel untuk membawa barangan yang telah kita sediakan untuk para penduduk Gaza. Ini memberi contoh bahawa jika kita tidak mengambil pendekatan keterlibatan ataupun kita mengambil keputusan untuk mengasingkan Israel daripada meja rundingan, kita tidak akan dapat mencari huraian sedemikian. Jadi yang penting pada kita ialah memastikan kita dapat terus memberi bantuan-bantuan kemanusiaan kepada para penduduk Gaza," tambahnya lagi.
Meskipun krisis Timur Tengah masih bergolak, Dr Maliki mengingatkan potensi besar ekonomi di rantau itu dan Singapura perlu meneroka peluang untuk mengembangkan pasarannya.
Ini sedang rantau itu juga melihat Singapura sebagai rakan dagang yang diyakini dan berwibawa serta sebagai gerbang untuk mengembangkan pasaran ke ASEAN.
"Kita melihat bagaimana Qatar, UAE, Arab Saudi membuka pejabat-pejabat perdagangan mereka di Singapura dan mereka melihat ini sebagai satu langkah yang baik untuk mereka melihat peluang-peluang yang ada di rantau ini dan sama juga kita dengan mereka. Kita boleh menjadi saluran bagi mereka juga dan kita melihat bagaimana peluang-peluang yang ada di negara-negara Timur Tengah sedang dikecapi oleh syarikat-syarikat Singapura. Banyak syarikat Singapura di sana, ramai rakyat Singapura bekerja di Oman, Qatar, UAE dan Saudi," kata Dr Maliki.

Ini akan dipertingkatkan lagi dengan penubuhan Majlis Kerjasama Strategik yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dan Putera Mahkota Saudi Mohammed Bin Salman.
Ia merupakan yang pertama antara Singapura dengan sebuah negara Timur Tengah dan yang pertama bagi Arab Saudi di Asia Tenggara.
Kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua pihak mengukuhkan kerjasama lebih-lebih lagi dengan inisiatif Wawasan 2030 oleh Arab Saudi.
Selain Timur Tengah, hubungan dan kerjasama antara Singapura dengan negara-negara jiran termasuk Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam juga bertambah kukuh.
Bagi jiran terdekat iaitu Malaysia, Dr Maliki berkata penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menawarkan peluang besar bagi kedua-dua negara.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, zon ekonomi itu disasarkan untuk menarik 100 projek.

Bagi Brunei pula, kerjasama dalam keselamatan makanan, pendidikan dan pembangunan mampan juga dipertingkatkan.
Begitu juga dengan Indonesia yang bekerjasama dengan Singapura dalam bidang-bidang tenaga boleh diperbaharui, pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.
Dengan perkembangan ini, Dr Maliki berharap syarikat-syarikat Melayu akan merebut peluang tersedia disebabkan oleh kelebihan yang mereka miliki.
"Syarikat-syarikat Melayu kita dikatakan mempunyai 'critical edge', ada kelebihan dalam persaingan kerana pertama mereka memahami budaya rantau ini di Malaysia, Indonesia dan Brunei misalnya. Budaya negara-negara ini berhubungan kerana kita menggunakan bahasa Melayu, cara kita merendahkan benteng yang mungkin menjadi penghalang untuk bekerjasama. Kedua ialah banyak sektor yang sedang berkembang di negara-negara jiran kita," jelas Dr Maliki.
Menurutnya juga, kemajuan negara-negara jiran baik untuk Singapura dan kestabilan rantau ini.
Dengan jumlah penduduk secara keseluruhan di ASEAN iaitu seramai 660 juta orang, rantau ini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dan menjanjikan peluang ekonomi yang besar.
"Banyak pelabur asing melihat ASEAN sebagai 'a region to watch' atau rantau yang menarik perhatian kerana potensi itu dan rakyat Singapura, para pedagang Singapura. Syarikat-syarikat Singapura harus melihat ASEAN sebagai tempat di mana kita harus terus berkembang dan kita merasa yakin bahawa dengan apa yang telah kita lakarkan sejauh ini menerusi ASEAN, menerusi perjanjian-perjanjian yang telah dilakar bersama, kita dapat meraih bersama dengan jiran-jiran tetangga kita," kata Dr Maliki.
SG60 - DETIK RAIKAN HUBUNGAN DUA HALA
Sempena SG60 juga, Dr Maliki merasakan ia penting untuk Singapura mengimbas kembali bagaimana untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala.

"Kita perlu mencari ruang untuk Singapura relevan kepada dunia kerana jika kita tidak relevan pada dunia, dunia tidak akan memandang kepada kita. Kita merupakan negara yang kecil dan negara kecil, mungkin senang untuk mereka melupakan Singapura. Mengapa Singapura berjaya selama 60 tahun ini kerana kita begitu relevan kepada bukan sahaja rakan-rakan kita di negara-negara lain tapi kita mencari peluang. Peluang untuk bukan sahaja ekonomi kita berkembang di rantau-rantau lain tapi untuk mendapat kepercayaan dari negara-negara lain," kata Dr Maliki.
Dalam pada itu, penting juga untuk rakyat Singapura memahami keputusan dan pendekatan yang diambil pemerintah berhubung dasar-dasar luarnya adalah demi kepentingan Singapura.
"Ini merupakan satu aspek penting di mana rakyat Singapura harus faham. Harus faham bahawa bukan mudah untuk kita mencari ruang dan memastikan tempat kita di dunia dihargai dan difahami oleh rakan-rakan kita. Saya di Kementerian Ehwal Luar sering kali keluar ke negara lain untuk pertama menjalin hubungan yang erat. Kedua mendapat kepercayaan mereka. Ketiga mencari ruang untuk kita membuka peluang mengembangkan ekonomi kita. Apa yang kita lakukan pemerintah ataupun pandangan pemerintah, pendirian pemerintah, pendekatan pemerintah adalah demi kepentingan Singapura," tegas Dr Maliki.
Beliau juga berharap rakyat Singapura akan terus berusaha dan tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dicapai negara setakat ini kerana potensi titik merah ini jauh lebih besar lagi.
"Kita harus mencari ruang-ruang baharu. ‘Never at an End Point’. Kalau kita mengambil prinsip kita sudah sampai, kita tidak akan berjaya. 60 tahun ke hadapan, kita tidak tahu arah tuju kita. Kita harus memahami bahawa prinsip yang penting ialah ‘we are always work in progress’. Kita harus terus mencari ruang-ruang baharu," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.