Skip to main content

Singapura

Hubungan lebih erat dengan Australia, New Zealand akan manfaatkan rakyat SG dengan ketara: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Hubungan lebih erat dengan Australia, New Zealand akan manfaatkan rakyat SG dengan ketara: PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong disambut dengan upacara pōwhiri di New Zealand, iaitu satu upacara tradisional oleh kaum Māori. (Gambar: Facebook/Lawrence Wong)

Diterbitkan : 11 Oct 2025 07:01PM Dikemas Kini : 11 Oct 2025 11:47PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong berkata pada Jumaat (10 Okt) bahawa hubungan yang lebih erat dengan Australia dan New Zealand “sudah tentu akan membawa manfaat yang ketara” kepada rakyat Singapura.

PM Wong, yang melakukan lawatan sulung ke kedua-dua negara sebagai perdana menteri, telah melancarkan Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) yang dipertingkatkan dengan Australia pada Rabu, dan pada Jumaat meningkatkan hubungan dengan New Zealand ke tahap CSP.

Antara perjanjian yang dimeterai ialah rangsangan kepada kerjasama keselamatan dan ketersambungan ekonomi antara Singapura dan Australia, serta mempertingkatkan perdagangan bekalan penting antara Singapura dan New Zealand semasa berlaku krisis.

Bercakap kepada media Singapura pada akhir lawatannya, PM Wong berkata Australia dan New Zealand adalah "rakan kongsi yang paling rapat dan paling dipercayai" Singapura.

PM Wong berkata bahawa apabila hubungan perdagangan dinaikkan ke tahap CSP, "kami mahu memastikan hubungan itu terus diperkukuhkan", katanya lagi.

"Memang ada peluang dalam hubungan dengan Australia dan New Zealand. Kami telah memeterai CSP dengan Australia selama 10 tahun, menaik tarafnya sekarang, dan kami kini menaik taraf hubungan dengan New Zealand ke tahap CSP juga," tambah PM Wong.

Manfaat ketara mungkin dalam bentuk lebih banyak peluang, kerana akan terdapat lebih banyak aliran perdagangan dan pelaburan serta lebih banyak pelaburan ke Singapura yang akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Singapura.

Beliau menambah bahawa mungkin terdapat manfaat lain - seperti dengan perjanjian 'pertama seumpamanya' dengan New Zealand untuk berdagang barangan keperluan walaupun dalam masa krisis, dan Memorandum Persefahaman yang sama dengan Australia.

"Oleh kerana pada masa krisis, semasa berlaku gangguan, kita boleh rasa terjamin dengan bekalan penting seperti makanan yang datang melalui Singapura kepada rakyat negara ini," kata PM Wong.

"Jadi ini semua adalah cara konkrit di mana kita akan mendapat manfaat."

"SEMUA YANG KITA KEJAR ADALAH UNTUK MANFAAT RAKYAT"

Apabila ditanya tentang bagaimana manfaat daripada hubungan perdagangan yang dipertingkatkan ini akan disampaikan kepada rakyat Singapura, PM Wong berkata bahawa langkah pertama adalah melalui perniagaan.

"Oleh kerana syarikat-syarikat perniagaan perlu memahami peluang yang ada melalui perjanjian perdagangan bebas, melalui perjanjian pelaburan, melalui perkongsian ekonomi hijau," kata PM Wong.

"Penerima utama dari segi manfaat ini, dalam kebanyakan aturan seperti ini, adalah syarikat-syarikat perniagaan."

Sebagai contoh, perjanjian dua hala sedemikian boleh membantu syarikat-syarikat perniagaan Singapura boleh "melakukan lebih banyak" di luar negara, manakala perniagaan asing juga boleh tertarik dengan Singapura, yang akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan di sini.

Walaupun kebanyakan rakyat Singapura mungkin tidak bersedia atau berminat untuk mengetahui butiran setiap perjanjian dua hala, PM Wong berkata maklumat sedemikian tetap akan didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, apa yang lebih penting bagi kebanyakan rakyat Singapura ialah kehidupan mereka semakin bertambah baik, terdapat pekerjaan yang tersedia dan harga yang dimampui.

"Jadi ia bukan mengenai butiran tertentu dan dari segi teknikal perjanjian itu, tetapi hasil konkrit," katanya. "Jadi semua yang kita kejar adalah untuk mencapai tujuan ini."

“Jadi daripada terlalu memikirkan caranya, kami mahu mencapai tindakan konkrit yang akan membawa kepada hasil yang lebih baik untuk rakyat Singapura.”

Walaupun Singapura "secara naluri" lebih condong ke arah ASEAN, China dan India serta ekonomi Asia Timur yang lain untuk menjalin kerjasama, PM Wong berkata Australia dan New Zealand juga harus dilibatkan dalam gabungan itu.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kedua-dua negara adalah ekonomi terbuka dan maju yang melengkapkan Singapura dalam pelbagai aspek, seperti perdagangan, inovasi, ketersambungan dan kemampanan.

"Terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama dengan menyelaraskan piawai, memperhalusi proses perniagaan, menyatukan masyarakat perniagaan kita dan kemudian menetapkan piawai baharu yang lebih bercita-cita tinggi, contohnya, dalam perdagangan digital, dalam ekonomi hijau, atau dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI)," kata PM Wong.

Ini adalah cara-cara bagaimana Australia, New Zealand dan Singapura boleh mencipta rangka kerja dan menetapkan piawai untuk diikuti oleh negara-negara lain, tambahnya.

Beliau menambah bahawa mewujudkan rangka kerja ini adalah "demi kepentingan bersama kita".

"Oleh kerana kami selalu mengatakan bahawa kami mahukan rantau yang tidak dikuasai oleh mana-mana kuasa tunggal, yang menolak persaingan, yang terus melibatkan semua kuasa besar," katanya lagi.

Oleh itu, kerjasama dalam persekitaran baharu ini tidak boleh dihadkan hanya kepada negara-negara di rantau ini sahaja, tambah PM Wong.

"Kami tidak mahu dunia yang akan berakhir dalam lingkungan pengaruh yang bersaing atau blok bersifat eksklusif," katanya lagi.

"Kami mahukan rantau yang terbuka dan inklusif, dan kerjasama kami dengan Australia dan New Zealand akan memanfaatkan semua pihak."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita