Hubungan ekonomi SG dengan Kazakhstan, Uzbekistan boleh berkembang 4 hingga 5 kali ganda dalam sedekad: SM Lee
Hubungan ekonomi antara Singapura dengan Kazakhstan dan Uzbekistan boleh berkembang empat hingga lima kali ganda dalam tempoh 10 tahun ini, sekali gus membantu mempelbagaikan ekonomi Singapura, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong.
- Lee Hsien Loong menyatakan potensi hubungan ekonomi Singapura dengan Kazakhstan dan Uzbekistan berkembang empat hingga lima kali ganda dalam 10 tahun akan datang.
- Singapura dan Uzbekistan bersetuju meneroka Perjanjian Dagangan Bebas untuk membuka peluang ekonomi baharu, sementara FTA dengan Kazakhstan sudah wujud.
- Uzbekistan masih kurang dikenali syarikat Singapura, namun FTA dijangka dapat mengurangkan risiko dan ketidakpastian perniagaan di sana.
- Kazakhstan dan Uzbekistan sedang membangunkan tenaga nuklear, yang dilihat Lee sebagai contoh penting untuk Singapura dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Menggulung lawatan rasminya ke Kazakhstan dan Uzbekistan, Encik Lee berkata terdapat peluang untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan, pertanian, pembangunan lapangan terbang dan tenaga.
Ini sedang Singapura berusaha mengembangkan hubungan ekonominya melangkaui pasaran tradisional, dengan sistem perdagangan global semakin menghadapi tekanan.
Menurut Encik Lee, Asia Tengah menawarkan satu lagi alternatif bagi Singapura untuk meluaskan hubungan ekonominya.
"Terdapat minat di kedua-dua belah pihak. Jika kita boleh mengembangkannya dalam tempoh 10 tahun ini sebanyak empat atau lima kali ganda, saya fikir ini adalah sesuatu yang akan menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi kita," kata beliau.
"Ia tidak akan menggantikan sepenuhnya rakan-rakan dagang utama yang kami ada, tetapi ia akan menjadi tambahan yang berguna."
TEROKA FTA DENGAN UZBEKISTAN
Singapura sudah mempunyai Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) yang melibatkan Kazakhstan.
Semasa lawatan Encik Lee, Singapura dan Uzbekistan turut bersetuju untuk meneroka FTA bagi membuka laluan baharu untuk memperluaskan hubungan ekonomi.
Encik Lee berkata Uzbekistan masih merupakan pasaran yang kurang dikenali oleh kebanyakan syarikat Singapura, sekali gus menimbulkan ketidakpastian dan persepsi mengenai risiko menjalankan perniagaan di negara itu.
"Bagi kebanyakan syarikat Singapura, Uzbekistan bukan pasaran yang dikenali.
"Mereka tidak tahu bagaimana ia beroperasi. Mereka tidak pasti. Maka itu, mereka berfikir bahawa tahap ketidakpastiannya adalah tinggi. Jadi, mereka berfikir terdapat risiko, dan jika anda mempunyai FTA, ia akan membantu mengurangkan risiko," kata beliau.
PEMBANGUNAN TENAGA NUKLEAR
Encik Lee turut menarik perhatian kepada langkah Kazakhstan dan Uzbekistan untuk membangunkan tenaga nuklear, yang menurut beliau boleh menjadi sesuatu yang dipelajari Singapura.
Beliau berkata langkah kedua-dua negara pengeluar minyak dan gas itu menunjukkan bahawa tenaga nuklear mungkin perlu menjadi sebahagian daripada usaha sesebuah negara untuk mengurangkan pelepasan karbon.
"Ini mengesahkan apa yang kita tahu - jika kita mahu mengurangkan karbon, cuba menjauhi minyak dan gas dan arang batu bagi tenaga dan janakuasa, bagi banyak negara, nuklear perlu menjadi sebahagian daripadanya," kata Encik Lee.
Beliau menarik perhatian bahawa meskipun Kazakhstan dan Uzbekistan merupakan negara pengeluar minyak dan gas, kedua-duanya masih melihat keperluan untuk membangunkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga mereka.
"Jadi, apa lagi negara yang tiada minyak dan gas. Jika anda cuba kurangkan karbon, apakah laluan ke hadapan?" tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.