Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hubungan AS-China ibarat bermain api; boleh cetus konflik

"Tiada sesiapa yang sengaja mahukan peperangan, malangnya kita sendiri bermain dengan api dan itulah padah dan bahaya yang terbesar," kata DPM Lawrence Wong.

Anggaran Waktu Membaca:
Hubungan AS-China ibarat bermain api; boleh cetus konflik

Peluru berpandu yang dilancarkan di China. (Gambar: Lai Qiaoquan/Xinhua melalui AP, Gambar fail)

SINGAPURA: Amerika Syarikat dan China sedang mengambil langkah-langkah yang akan membawa dunia ke tempat yang lebih berbahaya, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (15 ogos), sambil memberi amaran bahawa negara-negara itu mungkin secara tidak sengaja bergelut dalam konflik buruk.

DPM Wong berkata demikian dalam wawancara dengan ketua penyunting Bloomberg News John Micklethwait mengenai hubungan AS-China, selepas Speaker Dewan AS Nancy Pelosi mengadakan lawatan ke Taiwan awal bulan ini. Lawatannya mencetuskan kemarahan China, yang menjalankan latihan-latihan tentera di sekeliling Taiwan dan mengenakan sekatan-sekatan perdagangan ke atas pulau itu.

DPM Wong berkata hubungan antara kedua-dua kuasa besar itu sudahpun tegang menyusuli insiden baru-baru ini seperti konflik Rusia-Ukraine, dan bahawa lawatan Cik Pelosi mengeruhkan lagi ketegangan tersebut.

"Itulah risiko yang boleh berlaku, bahawa kita mula melihat keputusan-keputusan yang diambil kedua-dua negara, yang boleh membawa kita kepada keadaan yang lebih berbahaya," jelasnya.

"Boleh saja insiden-insiden yang tidak diingini nyaris-nyaris berlaku atau kemalangan terjadi di sekitar Selat Taiwan atau di Laut China Selatan. Ia pernah berlaku sebelum ini."

Apabila ditanya apa kemungkinan China akan menceroboh Taiwan, DPM Wong menjawab "agak sukar untuk memberi jawapan" terutama sekali sedang keadaan menjadi semakin tidak menentu. AS tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan tetapi ia terikat dengan undang-undang Amerika untuk menyediakannya dengan sumber-sumber untuk mempertahankan diri.

"Taiwan tentu sekali satu titik tolak. Dengan mudah ia boleh menjadi sangat berbahaya, seperti yang sudah kita lihat dalam insiden baru-baru ini, dan boleh juga bertambah buruk dengan agak pantas, bukan kerana salah satu pihak sengaja mahukan ini berlaku, kerana seperti yang saya katakan, kedua-dua pihak memahami natijahnya dan benar-benar tidak mahukan konflik," kata DPM Wong.

"Pucuk kepimpinan di kedua-dua pihak memahami keadaan ini. Namun seperti yang mereka katakan, tiada sesiapa yang sengaja mahukan peperangan, malangnya kita sendiri bermain dengan api dan itulah padah dan bahaya yang terbesar."

Encik Wong meramalkan "hubungan berkonflik" antara AS dengan China dijangka kekal bagi satu tempoh yang agak panjang, sambil menambah meskipun kedua-dua negara mempunyai persefahaman tentang "satu China", keadaan itu kian berubah.

SINGAPURA "BUKAN NEGARA SEKUTU" AS

Apabila DPM Wong ditanya sama ada lawatan Cik Pelosi memberi jaminan bahawa AS akan menyokong negara-negara sekutunya, dan sama ada beliau merasakan Singapura adalah negara bersekutu AS, DPM Wong berkata: "Kami bukan negara bersekutu kepada Amerika."

"Kami melaksanakan dasar asing kami sendiri berdasarkan kepentingan teras kami dalam cara yang berprinsip," kata beliau, sambil menambah Singapura sentiasa berpegang kepada dasar "satu China".

DPM Wong berkata Singapura mahu menghasilkan rangka kerja dalam Asia Pasifik, khususnya di Asia Tenggara, di mana semua kuasa besar termasuk AS dan China mempunyai kepentingan di rantau ini.

"Kami berpendapat ia akan menyumbang kepada konfigurasi lebih stabil, dengan persahabatan bersama, di mana semua orang mempunyai kepentingan di sini dan harapannya ia akan meningkatkan kebergantungan antara satu sama lain dan membantu menjadikannya konfigurasi yang lebih stabil," kata beliau.

Encik Micklethwait kemudian merujuk kepada bagaimana ekonomi China sedang tidak saling bergandingan - mengalihkan tumpuan daripada pertumbuhan ekonomi kepada kawalan ekonomi - yang memaksa perniagaan dan penduduk di Hong Kong ke Singapura, dan bertanya sama ada Singapura meraih manfaat daripada langkah itu.

DPM Wong memberi respons bahawa "kami tidak bergembira apabila tempat lain di sekeliling kami mengalami kesukaran dan berdepan dengan natijah negatif."

"Kami selalu mahukan Singapura menjadi kubu kestabilan dan peluang walaupun dalam dunia yang tidak menentu dan berbahaya," kata beliau.

"Kami mahu melihat dunia ini makmur dan kami mahu melihat kestabilan di merata dunia. Kami mahu melihat ekonomi ini berfungsi dalam sistem berbilang peringkat yang berlandaskan undang-undang."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan