Hubungan AS-China antara kesan perang Ukraine terhadap Asia Pasifik: PM Lee
PM Lee Hsien Loong di dialog dengan Richard Hass, presiden Majlis Hubungan Luar Negeri di Washington DC pada 30 Mac 2022. (Gambar: Jeremy Long)
WASHINGTON: Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin tegang adalah salah satu kesan yang mungkin perlu dihadapi Asia Pasifik akibat perang di Ukraine, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Washington pada Rabu (30 Mac).
Ketika memberikan pandangannya di dialog yang dianjurkan badan pemikir Amerika, Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), PM Lee juga berkata jika "keputusan gila dan kesilapan sejarah" adalah alasan untuk menceroboh negara lain, ramai di rantau Asia Pasifik akan berasa "sangat tidak selamat".
Dalam sesi selama sejam itu yang dikendalikan bekas diplomat dan presiden CFR Richard Haas, PM Lee berkata: “Apa yang berlaku di Ukraine pasti akan memberi kesan besar kepada hubungan AS-China.
“Anda berharap dengan perbincangan Presiden Biden dengan Presiden Xi di peringkat tertinggi, terdapat pemikiran secara rasional dan hubungan itu akan bertahan. Dalam erti kata lain, tidak menjadi lebih teruk daripada apa yang ada sekarang,” tambahnya.
“Tetapi anda tidak tahu, di sebalik usaha terbaik kedua-dua pihak dan jika hubungan antara AS dan China bertambah teruk, terdapat kesan besar bagi seluruh Asia Pasifik dan dunia."
"RASA TIDAK SELAMAT"
Perang Ukraine, yang bermula pada 24 Februari apabila Rusia menyerang negara jirannya, juga merosakkan rangka kerja antarabangsa bagi perdamaian, undang-undang dan ketenteraman, melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan membahayakan kedaulatan serta integriti wilayah semua negara, terutama sekali negara-negara kecil, kata PM Lee.
“Jika sesuatu prinsip diterima, bahawa keputusan gila dan kesilapan sejarah adalah alasan untuk menceroboh orang lain, saya fikir ramai di antara kita akan berasa tidak selamat di Asia Pasifik, malah juga di seluruh dunia.”
Di peringkat global pula, apa yang dahulunya adalah situasi "menang bersama" - walaupun terdapat perselisihan faham - mengenai isu-isu seperti perdagangan, perubahan iklim dan nuklear kini sudah berubah, kata PM Lee.
"Sekarang keadaannya ialah satu pihak menang manakala yang satu lagi kalah - anda mahu pihak lain itu jatuh, hancurkan ekonominya," kata PM Lee. "Jadi, bagaimanakah kebanyakan negara, jika boleh, bersatu dan bekerjasama dengan satu sama lain dan tidak terjerumus dalam huru-hara, sistem memandang ke dalam atau anarki?"
Ini adalah "kebimbangan besar" bagi Singapura, yang bergantung kepada globalisasi untuk mencari rezeki, katanya kepada puluhan pemimpin industri dan pegawai yang menghadiri acara itu. Ramai lagi menonton secara online melalui penstriman langsung.
CHINA BERDEPAN "SOALAN KURANG SELESA"
Ditanya jika krisis Ukraine satu "pengalaman mencabar" bagi China, PM Lee menjawab bahawa China dikemukakan beberapa "soalan kurang selesa".
Ini kerana serangan itu melanggar integriti wilayah, kedaulatan dan tidak campur tangan - prinsip yang "sangat dipegang kuat China".
"Jika anda boleh lakukan demikian kepada Ukraine dan jika Donbas boleh dianggap sebagai sebahagian wilayah dan mungkin republik," kata PM Lee, dengan Encik Haas mencelah bertanya "Bagaimana dengan Taiwan?"
“Atau bahagian lain bukan Han China?” jawab Perdana Menteri. "Jadi, itu soalan yang sangat sukar."
PM Lee juga berkata: "Saya tidak fikir di rantau ini, dengan China enggan menjauhkan diri dari Rusia, menjejas negara itu."
Meskipun negara-negara di rantau ini mungkin bimbang tentang kedaulatan dan prinsip piagam PBB, mereka juga mahu menjalin hubungan dengan China. Beberapa negara juga mempunyai hubungan penting dengan Rusia, tambahnya.
"Jadi hakikat bahawa China sudah mengambil pendirian sendiri dan menganggap anda sebagai peminta bantuan untuk menyelesaikan masalah Rusia dan mereka berkata baik, selesaikan masalah anda sendiri," kata Encik Lee.
Sementara itu, krisis Ukraine juga menunjukkan perlunya untuk mempunyai institusi di Asia Pasifik yang mungkin dapat mengelakkan konflik.
Rantau itu kata PM Lee tidak mempunyai versi NATOnya sendiri, maka institusi yang boleh "membawa negara dari kedua-dua belah pihak untuk berunding - dan melibatkan AS, melibatkan China, melibatkan negara yang lebih dekat dengan satu atau pihak yang lain" akan diperlukan.
Institusi sedemikian juga perlu membolehkan penyesuaian "yang sangat sukar", iaitu "bagaimana untuk melibatkan China yang akan menjadi lebih maju... namun tidak menjadi beban terhadap seluruh dunia dan boleh diterima AS".
PERUBAHAN IKLIM
PM Lee juga ditanya sama ada beliau bimbang tumpuan baru terhadap keselamatan tenaga di Eropah akibat krisis Rusia-Ukraine menjejas tindakan iklim dan dunia semakin kesuntukan masa.
"Saya sangat bimbang tentang iklim," jawabnya, sambil menambah bahawa usaha yang dilakukan sekarang "tidak mencukupi".
Singapura memandang isu perubahan iklim dengan "sangat serius", kerana ia adalah sebuah negara pulau dengan kawasan rendah. Namun, sedang negara itu melaksanakan langkah-langkah mengurangkan kesan iklim dan sudah menetapkan sasaran sifar karbon "sekitar pertengahan abad", ia hanya membentuk jumlah kecil daripada pelepasan global.
Singapura juga kekal bergantung kepada inisiatif-inisiatif global, kemajuan teknologi dan juga keamanan antarabangsa.
PM Lee juga menarik perhatian bagaimana Singapura mungkin perlu membelanjakan S$100 bilion dalam tempoh 100 tahun untuk menangani perubahan iklim dan paras air laut yang meningkat.
“Saya masih yakin dan kami akan melakukannya. Tetapi harap maklum bahawa 100 tahun bukanlah titik akhir, ia hanyalah pencapaian pertama.”
Ditanya sama ada Singapura mungkin bersedia untuk meneruskan eksperimen geo-kejuruteraan, PM Lee berkata: "Kami tidak mempunyai pendirian rasmi tetapi secara peribadi, saya bersedia untuk melakukan beberapa projek perintis."
Sebahagian besar dialog pada Rabu tertumpu pada konflik Ukraine, dengan PM Lee juga diminta pandangannya mengenai keadaan di Korea Utara dan Myanmar, serta pelibatan Amerika di rantau itu.
Rombongan Singapura yang hadir di majlis itu termasuk Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dan Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo.
PM Lee, yang akan berada di AS sehingga 2 April telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris dan pegawai AS lain semasa di Washington.
Beliau dijadual bertemu Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, serta pemimpin industri dan sektor kewangan di New York.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.