Skip to main content

Singapura

Hubungan baik dengan pemerintah bantu bertindak secara bebas demi rakyat, kata Presiden Halimah dalam ucapan terakhir

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Sep 2023 08:01PM Dikemas Kini : 15 Sep 2023 11:01AM
SINGAPURA: Dalam ucapan perpisahan Presiden Halimah selaku Ketua Negara, beliau menekankan tentang bagaimana rizab negara, yang dibangunkan bertahun-tahun lamanya oleh para pemimpin terdahulu, jelas membuahkan hasil.

Ini kerana ia membolehkan Singapura untuk bertindak dengan pantas, terutama sekali semasa pandemik COVID-19, kerana terdapat keyakinan bahawa negara ini mempunyai sumber yang mencukupi.

Lantaran itu, Presiden Halimah menyentuh tentang hubungan baik yang terjalin dengan Pemerintah, yang membolehkan beliau bertindak secara bebas demi mengutamakan kepentingan rakyat.

"Secara keseluruhan, saya mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Pemerintah, berdasarkan sifat saling menghormat, mempercayai dan pemahaman yang jelas tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing.

"Hubungannya sentiasa menjaga jarak dan dijalankan dengan penuh wajar dan sopan. Semua soalan dan permintaan saya untuk maklumat dilayan dengan serius, dan saya selalu dapat jalankan tanggungjawab saya dengan benar dan bebas," kata Puan Halimah.

Presiden Halimah juga percaya, seorang Presiden memainkan peranan penting untuk menyatukan masyarakat.

Oleh itu, beliau memberi tumpuan untuk menjadikan masyarakat Singapura yang lebih prihatin dan adil.

"Menerusi naungan saya untuk pelbagai perkara serta usaha mendekati masyarakat, saya menyokong pelbagai perkara dan mendekati rakyat Singapura dari pelbagai lapisan.

"Sepanjang menjadi Presiden, saya berusaha untuk dekat bersama rakyat, merasmikan lebih daripada 1,400 acara masyarakat. Saya menjadikan Istana lebih mudah diakses, terutama untuk rakyat Singapura yang selalunya tidak berpeluang untuk melawatnya, termasuk pesakit pusat hospis dan mereka yang menghidap penyakit motor neuron.

"Penambahan yang dilakukan kepada Taman Istana, terutama Taman Inklusif, untuk menjadikannya lebih mesra kerusi roda bagi mereka yang sukar untuk bergerak. Saya juga mendekati pelbagai masyarakat, seperti mereka yang kurang upaya atau menghadapi masalah kesihatan mental," kata Presiden Halimah.

Beliau juga berkongsi bahawa aspek diplomasi merupakan bahagian penting tugasnya.

Beliau berjaya melakukan 21 lawatan ke luar negara, termasuk 12 lawatan rasmi untuk meningkatkan imej Singapura di persada dunia.

Menurutnya, sebagai Ketua Negara wanita pertama Singapura yang juga daripada kaum minoriti, peranan beliau sebagai Presiden membolehkan masyarakat antarabangsa melihat bagaimana prinsip meritokrasi dan kepelbagaian sebenarnya wujud.

Presiden Halimah berkata: "Saya sedar bahawa selaku Presiden wanita pertama, saya mempunyai peluang tersendiri untuk memberi inspirasi kepada golongan wanita dan anak-anak perempuan.

"Ramai yang berkongsi betapa mereka bersemangat melihat seorang Ketua Negara wanita serta mesej yang cukup penting tentang kedudukan wanita dalam masyarakat."
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita