Hubungan ASEAN-AS 'sihat', namun perlu ambil kira hubungan AS-China: PM Lee
Hubungan antara Amerika Syarikat dengan China mempunyai kesan mendalam terhadap ASEAN, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (15 Nov).
SINGAPURA: Hubungan antara Amerika Syarikat dengan China mempunyai kesan mendalam terhadap ASEAN, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (15 Nov).
Semasa berucap di Sidang Puncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) di Singapura, PM Lee berkata meskipun Singapura gembira melihat hubungan antara ASEAN dengan AS kukuh dalam bidang-bidang seperti pertahanan dan keselamatan siber, perkongsian kedua-dua pihak harus dilihat berlatarkan hubungan AS-China.
"Hubungan AS-China adalah hubungan dua hala paling penting dan ia mempunyai kesan mendalam terhadap ASEAN," kata PM Lee.
"Negara-negara ASEAN ingin melibatkan diri dengan kedua-dua AS dan China, dan kami juga ingin meluaskan skop dan faedah kerjasama kami ke tahap maksimum.
"Oleh itu, kami berharap hubungan AS-China akan kekal stabil dan baik."
Sejak tahun lalu, China dan Amerika Syarikat mengenakan cukai beratus bilion dolar terhadap barangan masing-masing, menjejas pasaran kewangan sejagat.
"WAWASAN KAMI" TIDAK MENGECUALIKAN SEBARANG NEGARA: PENCE
Semasa menyampaikan ucapan pembukaan di sidang puncak itu, Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence berkata setiap orang bersetuju bahawa "empayar dan sikap agresif tidak ada tempat di Indo-Pasifik" dan Amerika Syarikat sudah mengambil tindakan tegas bagi menggalak wawasan itu di rantau tersebut.
"Wawasan kami bagi Indo-Pasifik tidak mengecualikan sebarang negara," kata Encik Pence.
"Ia hanya memerlukan setiap negara untuk menghormati jiran-jiran mereka dan menghormati kedaulatan negara masing-masing serta undang-undang antarabangsa.
Beliau juga berkata ASEAN adalah sebahagian "utama" wawasan Amerika Syarikat di rantau itu.
Encik Pence, yang menyifatkan ASEAN sebagai rakan yang "penting dan tidak dapat diganti", turut mengumumkan kerjasama Bandar-Bandar Bijak AS-ASEAN di sidang puncak tersebut.
"Usaha ini akan menggalak pelaburan baru Amerika dalam bidang prasarana digital di rantau ini, sekaligus meningkat kemakmuran dan keselamatan di Asia Tenggara," kata beliau.
PM Lee, yang juga mengatakan bahawa ASEAN dan Amerika Syarikat harus memperkukuhkan lagi perkongsian dalam teknologi digital, mengalu-alukan perkongsian tersebut. Beliau menambah bahawa tujuannya dalam bidang prasarana, tenaga dan teknologi infokom adalah sejajar dengan keutamaan ASEAN.
ASEAN KONGSI KEPRIHATINAN AS BERHUBUNG ANCAMAN TERHADAP KEAMANAN DAN KESTABILAN DI RANTAU
Menyentuh mengenai keselamatan, PM Lee berkata ASEAN akan terus berkongsi keprihatinan Amerika Syarikat mengenai isu-isu yang mengancam keamanan dan kestabilan serantau.
Merujuk kepada Sidang Puncak AS-Korea Utara yang diadakan di Singapura, PM Lee berkata mesyuarat yang diadakan pada Jun lalu adalah langkah pertama menuju keamanan berkekalan di kawasan bebas senjata nuklear di Semenanjung Korea.
Namun, beliau berkata usaha itu akan memakan masa.
"Kami menggesa semua pihak supaya terus bekerjasama ke arah matlamat yang dikongsi bersama ini," kata PM Lee sambil menambah bahawa ini termasuk pelaksanaan pantas dan tuntas deklarasi yang bertujuan menghapuskan senjata nuklear.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.