Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hubungan antara PAP, NTUC perlu diteruskan dan diperkukuhkan, kata PM Lee

Hubungan antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) perlu diteruskan dan diperkukuhkan, sedang Singapura menghadapi ketidaktentuan global, satu fasa baru ekonomi dan gangguan teknologi, 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Oct 2019 03:32PM Dikemas Kini : 15 Oct 2019 09:20PM

SINGAPURA: Hubungan antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) perlu diteruskan dan diperkukuhkan, sedang Singapura menghadapi ketidaktentuan global, satu fasa baru ekonomi dan gangguan teknologi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (15 Okt).

"Hubungan simbiotik" itu adalah asas utama yang boleh mencegah perpecahan masyarakat yang dilihat di bahagian lain di dunia, daripada berlaku di Singapura.

Dalam ucaptama yang disampaikan di Persidangan Wakil-Wakil NTUC, Encik Lee memberi jaminan akan janji Pemerintah untuk mengutamakan para pekerja di tengah-tengah usaha pembangunan ekonomi dan sosial.

PERIKATAN TIGA PIHAK UNIK

Persidangan tahun ini yang diadakan di Orchid Country Club adalah "istimewa", kata perdana menteri, kerana ia menandakan ulang tahun ke-50 Seminar Pemodenan 1969.

Encik Lee berkongsi secara lanjut dalam ucapannya bahawa ia merupakan "detik penting" bagi kedua-dua PAP dan NTUC, sedang beliau juga menceritakan sejarah hubungan antara parti pemerintah dengan gerakan buruh itu.

"NTUC bukan lagi hanya sebuah institusi bagi tawar-menawar kolektif. Ia melihat dirinya sebagai rakan kongsi dalam perubahan ekonomi dan sosial Singapura," ujar Encik Lee mengenai Seminar Pemodenan 1969.

"Ini membawa kepada perikatan tiga pihak yang unik yang menyokong hubungan perindustrian harmoni selama separuh abad."

Hubungan perindustrian harmoni itu memangkin pelaburan dan pekerjaan manakala usaha memacu perindustrian membolehkan negara ini mendahului negara-negara lain di rantau ini dan berhubung dengan dunia.

Sedang ekonomi Singapura terus maju, gaji para pekerja dan taraf kehidupan meningkat dengan cepat, ujar Encik Lee.

PAP dan NTUC bekerjasama sebagai rakan kongsi sepanjang tempoh pertumbuhan rancak ini meskipun hubungan perikatan tiga pihak itu "hebat diuji" semasa kemelesetan ekonomi "menakutkan" pada 1985, krisis kewangan Asia pada 1997 dan krisis kewangan global pada 2008.

Pemerintah perlu mengambil "tindakan sukar dan perit" semasa tempoh kemelesetan, seperti memotong kadar Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan para menteri perlu meyakinkan pemimpin kesatuan bahawa langkah itu tidak dapat dielakkan.

"Dan paling sukar sekali adalah, PAP dan pemimpin kesatuan perlu meyakinkan rakyat Singapura dan para pekerja untuk menerima kenyataan yang pahit itu," tambah Encik Lee.

"Namun setiap kali, kami mengatasi masalah itu bersama, mengharunginya dan muncul lebih kuat dan lebih bersatu padu."

Bergerak ke hadapan, Encik Lee berkata hubungan antara pemimpin PAP dan NTUC perlu "diteruskan dan diperkukuhkan."

"Sekali lagi, kita mengharungi keadaan tidak menentu," ujarnya lagi.

"Dunia ini dipenuhi ketakpastian. Ekonomi kita memasuki fasa baru. Teknologi merubah banyak industri. Perniagaan baru mengganggu pemain industri yang sudah lama bertapak," kata Encik Lee.

Di tengah-tengah itu, para pekerja harus bersedia untuk perubahan, kata Encik Lee, sambil memberi jaminan bahawa bantuan akan disediakan bagi membantu mereka menjalani latihan bagi peranan-peranan baru, menangani perubahan mendadak dalam industri mereka dan kekal berdaya kerja.

"Pimpin mereka dan berikan mereka keyakinan bahawa kita boleh melaluinya bersama,"

"Ia bukan mudah tetapi kami akan melalui setiap langkah bersama anda," kata Encik Lee.

Menurutnya lagi, ini adalah unik kepada Singapura. Di negara-negara lain, para pekerja dibiarkan untuk membela nasib sendiri apabila mereka kehilangan pekerjaan.

Ramai lagi yang masih mempunyai pekerjaan pula berasa ketinggalan manakala orang ramai berasa marah apabila golongan elit dalam masyarakat "tidak mempunyai kesedaran" dan mereka merasakan diri mereka dipandang rendah.

"Kontrak sosial, kepercayaan (dan) pergantungan bersama sudah retak," kata PM Lee, "Orang ramai berasa marah kerana mereka mahu menjatuhkan sistem itu kerana ia tidak lagi bermanfaat untuk mereka (tetapi) apa yang berlaku selepas itu, tidak tahu."

Ini sebabnya gerakan populis semakin meningkat di kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Lebih dekat dengan Singapura, bantahan berterusan di Hong Kong menunjukkan rasa tidak puas hati yang mendalam dan meluas, dengan rungutan paling lantang adalah bagaimana "Satu Negara, Dua Sistem" boleh berjaya.

"Namun pada dasarnya juga adalah pendapat bahawa keprihatinan ekonomi dan sosial belum ditangani," ujar Encik Lee sambil menarik perhatian kepada kebimbingan berhubung kos perumahan yang mahal dan bagaimana generasi muda di Hong Kong semakin kehilangan keyakinan tentang masa depan mereka.

Situasi di Singapura agak berlainan daripada Hong Kong, tetapi ia juga memerlukan pemerhatian teliti, katanya.

"Kita perlu mengkaji secara dekat apa yang sedang berlaku di kesemua negara termasuk Hong Kong dan bertanya kepada diri kita: Dapatkan perpecahan sosial yang mendalam berlaku di sini? Bolehkan pecah belah sosial itu menimpa kita? Dan jawapan saya adalah ya jika kita tidak berhati-hati," katanya.

Encik Lee juga menambah Singapura sebagai sebuah negara yang kecil dan terbuka, tidak lali daripada kuasa-kuasa asas yang memecah belahkan negara-negara lain.

"Jika ia berlaku kepada kita, seperti apa yang berlaku di negara lain, kita akan menanggung akibat yang sama seperti negara-negara lain, malah lebih teruk kerana kita lebih terdedah kepada risiko.

"Ia akan menjadi mustahil untuk mentadbir Singapura, untuk melakarkan dan melaksanakan keputusan sukar atau merancang bagi kebaikan jangka panjang negara ini," kata Encik Lee.

"Keyakinan pada Singapura akan musnah. Singapura akan lenyap."

HUBUNGAN SIMBIOTIK

"Hubungan simbiotik" antara PAP dan NTUC adalah asas utama yang boleh bantu mengelakkan padah sebegitu, kata Encik Lee.

"PAP akan mengekalkan nilai-nilai asalnya dalam gerakan buruh."

Dengan tujuan asas bagi memajukan kebajikan dan masa depan para pekerja kita,

Pemerintah membangunkan perumahan yang dimampui, memberikan penjagaan kesihatan bermutu tinggi bagi semua peringkat umur, memastikan ketersediaan sekolah-sekolah prasekolah dan sekolah yang baik serta sistem pengangkutan awam yang cekap dan boleh dipercayai.

Ia juga mewujudkan pekerjaan dan peluang bagi para pekerja supaya dapat "memperkasakan setiap rakyat untuk mempertingkatkan mutu kehidupan mereka melalui usaha sendiri."

"Ini lebih baik daripada mempunyai sebuah pemerintah populis yang menyediakan wadah bagi keluhan penduduk atau memenuhi keinginan jangka pendek sehingga menjejaskan faedah jangka panjang," ujar Encik Lee.

Mengakhiri ucapannya, perdana menteri mengatakan janji yang diikrarkan oleh pemimpin perintis untuk mengekalkan para pekerja di tengah-tengah pembangunan ekonomi dan sosial, "kekal utama dan relevan hari ini seperti 50 tahun lalu."

Sumber : CNA/HA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan