Skip to main content

Singapura

Hubungan Amerika-China saling menjejaskan, kedua-dua pihak rugi jika terus bersaing, kata PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Hubungan Amerika-China saling menjejaskan, kedua-dua pihak rugi jika terus bersaing, kata PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong berucap di Siri Penceramah Terkemuka Singapore Press Club pada 8 Jun 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 10:32PM Dikemas Kini : 08 Jun 2026 10:33PM
SINGAPURA: Sementara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet terperangkap dalam keadaan "saling memusnahkan" semasa Perang Dingin, Amerika Syarikat dan China kini mungkin berada dalam dinamik "saling menjejaskan", kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (8 Jun).

Dalam hubungan sedemikian, "sebarang percubaan oleh satu pihak untuk mengenakan sekatan ke atas pihak yang lain akan mencetuskan tindak balas daripada pihak lawan, dan akhirnya kedua-dua pihak akan menjadi lebih rugi," kata Encik Wong.

Memandangkan adanya dinamik baharu ini, beliau berharap ia dapat menjadi faktor penstabil antara kedua-dua belah pihak serta memberi galakan untuk mereka menguruskan perbezaan pendapat dengan baik.

Encik Wong berkata demikian dalam satu sesi dialog sempena Eminent Speaker Series anjuran Singapore Press Club, yang diadakan di auditorium Pusat Berita SPH Media di Toa Payoh.

Walaupun ia adalah satu perkara yang baik apabila pemimpin Amerika Syarikat dan China, iaitu Presiden Donald Trump dan Xi Jinping, bertemu baru-baru ini dalam satu sidang puncak yang berjalan lancar, "itu tidak bermakna semua masalah telah selesai", kata Encik Wong.

"Malah, masih terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua negara. Namun, saya rasa kedua-dua pihak semakin sedar bahawa mereka perlu hidup bersama secara aman. Ekonomi kedua-dua negara ini terlalu saling bergantung antara satu sama lain," kata beliau.

"Ia mengingatkan saya kepada apa yang berlaku semasa Perang Dingin, apabila orang ramai bercakap tentang MAD - mutually assured destruction (saling memusnahkan). Mungkin sekarang dinamik yang sama sedang berlaku, tetapi dalam bentuk MAD yang berbeza - mutually assured disruption (saling menjejaskan)."

Encik Wong berkata persaingan sengit akan terus berlaku antara kedua-dua negara, tetapi beliau berharap ia tidak akan melarat menjadi konfrontasi atau konflik secara terbuka.

"Adalah menjadi kepentingan bagi Amerika dan China untuk mengekalkan rangka kerja strategik ini dan memastikan adanya kestabilan dalam hubungan mereka," katanya.

Mengenai perkara ini, beliau menambah bahawa negara-negara Asia Tenggara mahu terus melibatkan kedua-dua kuasa besar tersebut di rantau ini, di samping mengekalkan dan mengembangkan hubungan dengan pihak lain seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

"Dari sudut pandangan Asia, kami juga tidak mahu melihat dunia yang berpecah kepada pengaruh kuasa-kuasa yang bersaing - di mana satu kawasan dikuasai oleh satu kuasa tunggal di Asia, satu lagi kawasan di hemisfera Barat, dan satu lagi kawasan di Eropah, dan seterusnya," kata Encik Wong.

"Saya rasa aturan dan pembahagian seperti itu tidak akan stabil. Ia hanya akan membawa kepada lebih banyak persaingan dan permusuhan, malah akhirnya boleh mencetuskan konflik. Itu bukanlah aturan yang kami mahukan."

JALIN HUBUNGAN DENGAN BANYAK RAKAN NEGARA

Walaupun dunia kini mempunyai banyak kuasa besar, "bukan semua kuasa ini adalah sama", kata Encik Wong.

Amerika Syarikat kekal sebagai kuasa yang paling dominan dalam aturan dunia baharu ini "bagi tempoh masa yang boleh dijangka" dan terus mempunyai "kepentingan yang besar di rantau ini", katanya.

Semasa sesi dialog itu, Encik Wong menarik perhatian bahawa ada sesetengah pihak yang beranggapan Amerika syarikat semakin merosot.

"Ada yang berfikir bahawa Amerika semakin merosot, akan mula berundur, dan hanya akan menumpukan perhatian kepada kawasan mereka sendiri sahaja. Kami tidak rasa perkara itu akan berlaku," katanya.

Encik Wong menyatakan bahawa orang ramai sudah lama meramalkan kemerosotan Amerika, termasuk ketika beliau sendiri masih bergelar seorang pelajar. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Wisconsin-Madison dan Universiti Michigan-Ann Arbor.

"Saya merupakan seorang pelajar di Amerika ketika semua orang berkata, 'Jepun akan menguasai dunia'. Perkara itu tidak berlaku, dan dari semasa ke semasa Amerika membuktikan ramalan itu salah. Ia terus menjadi sebuah ekonomi yang dinamik dan sangat inovatif," katanya.

Sementara itu, China juga kekal sebagai "pemain yang sangat penting, rakan utama kepada semua negara kita di Asia Tenggara" melalui hubungan perdagangan dan pelaburan yang besar serta meluas dengan negara-negara di rantau ini.

Lebih jauh daripada itu, terdapat rakan kongsi seperti Eropah, India, dan GCC, yang mana Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mahu terus jalin hubungan, kata Encik Wong.

"Kami mahu mengambil pendekatan pelbagai hala yang aktif untuk membawa masuk semua pihak utama ini, supaya mereka semua mempunyai kepentingan di Asia Tenggara. Itulah pendekatan kami," katanya.

Singapura akan mengambil alih jawatan pengerusi bagi blok 11 anggota itu pada tahun hadapan.

Apabila ditanya mengenai lawatan Menteri Luar Vivian Balakrishnan ke Korea Utara baru-baru ini, Encik Wong menjelaskan bahawa ia adalah atas jemputan daripada negara tersebut sempena sambutan ulang tahun hubungan kedua-dua belah pihak pada tahun lepas.

"Pendekatan kami cukup mudah: kami mahu berkawan dengan semua orang," katanya. "Ini tidak bermakna kami bersetuju dengan semua perkara yang mereka lakukan. Kami tidak bersetuju, tetapi itu tidak seharusnya menghalang kami daripada membuka ruang komunikasi, serta terus mengekalkan persahabatan dan hubungan dengan mereka."

Beliau menambah bahawa Korea Utara juga memandang Singapura sebagai sebuah negara yang boleh dipercayai, serta menghargai hubungan dan interaksi antara kedua-dua belah pihak.

"Itulah salah satu sebab utama mengapa mereka bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak di Singapura antara Amerika dan DPRK," katanya, merujuk kepada pertemuan pada tahun 2018 antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

"Itulah pendekatan kami dalam dasar luar negara: Kami mempunyai pendirian, kami menyatakan dengan jelas kepentingan negara kami, tetapi kami terus berkawan dengan seberapa banyak negara yang boleh. Bukankah sentiasa lebih baik mempunyai lebih banyak kawan daripada kurang berkawan?" kata Encik Wong.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita