HSA tarik balik ubat suplemen kencing manis kerana mengandungi bahan terkawal
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin menarik balik sebuah suplemen glukosa darah selepas ia didapati mengandungi ubat kawal penyakit kencing manis yang diberikan hanya melalui preskripsi, tetapi ia tidak diisytiharkan.
Produk "CuraLin advanced glucose support" yang didapati mengandungi glibenclamide dan metformin. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)
Dalam satu kenyataan media, HSA memberi amaran kepada orang awam supaya tidak mengambil suplemen 'CuraLin advanced glucose support' kerana produk itu, yang dilabel sebagai mengandungi herba tradisional, didapati mengandungi ubat terkawal glibenclamide dan metformin dalam ujian rutin oleh pihak berkuasa.
Glibenclamide dan metformin adalah ubat terkawal yang hanya boleh diperoleh dengan preskripsi doktor dan digunakan untuk merawat kencing manis mellitus (kencing manis Jenis 2) di bawah pengawasan perubatan.
HSA telah mengarahkan LYC Nutrihealth, syarikat yang mengimport produk berkenaan dalam dua kumpulan supaya menghentikan semua penjualan dan menarik balik kesemua produk tersebut.
Ia menambah bahawa suplemen itu diimport dari Amerika Syarikat dan dibekalkan dalam pasaran tempatan dengan nombor tersebut: Kumpulan 2023-19650 dan Kumpulan 2023-19651, kedua-duanya luput pada September 2026.
Usaha menarik balik produk itu sedang dijalankan.
HSA memberi amaran penggunaan ubat glibenclamide atau metformin tanpa pemantauan perubatan boleh menyebabkan paras gula darah yang terlalu rendah, yang boleh mengakibatkan sawan dan koma.
"Kesan sampingan lain termasuk mual, muntah, cirit birit dan penyakit kuning kolestatik, yang berlaku apabila aliran hempedu tersekat atau menjadi perlahan."
Metformin juga boleh menyebabkan asidosis laktik - iaitu pengumpulan asid dalam darah - yang boleh memudaratkan, tambah HSA.
Para pesakit kencing manis yang makan suplemen ini bersama dengan ubat kencing manis yang diberikan oleh doktor juga berisiko mengambil ubat pada dos berlebihan disebabkan oleh kesan tambahan daripada ubat-ubat tersebut, menurut HSA.
'CuraLin advanced glucose support' dipasarkan sebagai suplemen yang bantu "memastikan paras gula darah yang sihat", "meningkatkan tahap tenaga' dan "bantu menyokong metabolisme karbohidrat dan lemak".
Ia dijual oleh beberapa penjual dan di platform e-dagang tempatan, termasuk Shopee dan Lazada.
"HSA telah bekerjasama dengan pentadbir platform e-dagang tempatan untuk memastikan penyenaraian produk-produk terjejas dipadamkan," menurut kenyataan itu, sambil menambah semua penjual dan pembekal harus menghentikan penjualan produk itu dengan serta-merta.
Mereka yang berasa kurang sihat selepas mengambil suplemen itu, terutama sekali jika mereka menghidap penyakit kencing manis atau sedang mengambil ubat rawat kencing manis yang lain, perlu berjumpa doktor.
"Mungkin terdapat kumpulan atau produk 'CuraLin advanced glucose support' yang dijual dalam pasaran. Jika ragu-ragu, para pengguna dinasihatikan supaya tidak membeli atau mengambil produk berkenaan," menurut HSA.
Berhubung pemulangan produk suplemen itu, para pengguna boleh menghubungi peruncit atau penjual di mana mereka mendapatkan produk itu.
HSA menyatakan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan tergas terhadap sesiapa yang menjual dan membekalkan produk yang didapati dicemari dengan bahan-bahan yang berbahaya.
Penjual dan pembekal boleh didakwa dan jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau denda sebanyak S$10,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.