Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA siasat penjualan pita pelekat cegah nafas dari mulut, topi keledar khusus bagi bentuk kepala kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
HSA siasat penjualan pita pelekat cegah nafas dari mulut, topi keledar khusus bagi bentuk kepala kanak-kanak

(Gambar: Shopee)

Diterbitkan : 08 Dec 2022 01:41PM Dikemas Kini : 08 Dec 2022 02:13PM
SINGAPURA: Media sosial membantu dalam menyebarkan tip dan idea mengenai cara untuk membetulkan sebarang ketidaksempurnaan fizikal pada kanak-kanak.

Ini termasuk menampalkan pita pelekat di bibir kanak-kanak untuk menghentikan pernafasan melalui mulut pada sebelah malam hari serta topi keledar bagi membentuk tengkorak bayi menjadi bentuk yang diingini.

Sebuah laporan diterbitkan majalah Sixth Tone, yang berpangkalan di Shanghai, mengetengahkan bahawa semakin ramai ibu bapa mempercayai mereka boleh meningkatkan penampilan anak-anak mereka dengan menampalkan pita pelekat di mulutnya ketika dia tidur.

Ibu bapa yakin bahawa kaedah sebegitu dapat menghindari anak-anak mereka daripada mempunyai gigi yang bengkok dan senget serta membantu dalam perkembangan rahang.

Menurut rencana tersebut, produk-produk tersebut diuar-uarkan oleh para pempengaruh di platform media sosial China, sekali gus merancakkan lagi permintaannya daripada golongan ibu bapa muda.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura menyatakan bahawa pihaknya belum menerima sebarang maklum balas atau aduan berkaitan dengan produk-produk seumpama itu sejak dua tahun lalu.

Tiada laporan mengenai sebarang kesan sampingan disebabkan produk-produk berkenaan yang diterima setakat ini, jelas seorang jurucakap.

Para penjual yang berpangkalan di Singapura dilihat menyenaraikan produk-produk seperti 'pita pelekat antiberdengkur' (anti-snoring tapes) dan 'pelekat antipernafasan mulut' (anti-mouth breathing stickers) di wadah e-dagang seperti Shopee serta Lazada.

Produk-produk dijual pada harga antara S$1.69 hingga S$7 bagi setiap kotak yang mengandungi 30 pelekat. Menurut para penjual, kebanyakan produk tersebut diimport dari China.

Berdasarkan tinjauan di ruang ulasan wadah e-dagang tersebut, para pembeli yang dipercayai berpangkalan di Singapura memuat naik gambar-gambar anak mereka menggunakan pita pelekat apabila tidur. Mereka mendakwa produk itu membantu dalam mengelakkan anak-anak mereka daripada bernafas melalui mulut ketika tidur.

Menurut HSA, produk-produk seperti pita pelekat mulut itu dan topi keledar pembentukan kepala digolongkan sebagai peranti perubatan "berisiko rendah" - atau Kelas A - dan dikecualikan daripada pendaftaran produk.

Contoh produk-produk lain yang tersenarai sebagai peranti perubatan Kelas A adalah pembalut, kerusi roda dan pelitup pembedahan.

Para pengimport dan pemborong peranti perubatan itu dikehendaki mendapatkan lesen pengedar yang relevan dan memaklumkannya kepada HSA.

Bagi peranti perubatan di bawah kelas-kelas lain yang berisiko lebih tinggi, ia perlu didaftarkan dengan pihak berkuasa.

Di bawah Akta Produk Kesihatan, mereka yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga S$50,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Disebabkan Internet tiada sempadannya dan kesukaran untuk mengesahkan penjual serta keselamatan dan mutu produk-produk ini, pengguna amat dinasihatkan supaya membeli produk-produk ini daripada klinik atau farmasi runcit tempatan," jelas seorang jurucakap HSA.

HSA akan menyiasat penjualan online peranti perubatan sedemikian dan mengambil tindakan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran.

JANGAN GUNAKAN PITA PELEKAT PADA KANAK-KANAK, NASIHAT DOKTOR

Para doktor yang dihubungi Mediacorp memberi amaran terhadap penggunaan produk-produk sedemikian kerana ia menimbulkan risiko kepada kanak-kanak kecil.

"Ia berisiko kerana sesetengah kanak-kanak mungkin bernafas melalui mulut kerana mereka mempunyai masalah sinus yang menghalang saluran pernafasan mereka. Oleh itu, ia adalah sangat penting untuk (mereka) bernafas melalui mulut," jelas Dr Louis Tan, seorang pengamal perubatan umum di pusat perubatan StarMed Specialist Centre.

Tambah Dr Tan lagi, menampalkan pita pelekat di mulut untuk jangka waktu yang panjang juga boleh menyebabkan kerengsaan kulit.
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan