Skip to main content

Singapura

HSA rayu orang ramai derma darah susuli kutipan merosot pada musim cuti akhir tahun

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) merayu agar lebih ramai penderma darah tampil pada Isnin (22 Dis), di tengah-tengah penurunan bermusim dalam jumlah kutipan darah.
Anggaran Waktu Membaca:
HSA rayu orang ramai derma darah susuli kutipan merosot pada musim cuti akhir tahun
Gambar fail yang menunjukkan seorang wanita yang sedang menderma darah. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)
SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) merayu agar lebih ramai penderma darah tampil pada Isnin (22 Dis), di tengah-tengah penurunan bermusim dalam jumlah kutipan darah.

Akhir tahun biasanya menyaksikan penurunan sehingga 20 peratus dalam jumlah kutipan darah, menurut HSA dalam satu kenyataan media.

Awal tahun lalu, bekalan darah Kumpulan O di Singapura jatuh ke paras kritikal dengan simpanan negara mempunyai bekalan darah kurang dari enam hari.

Memastikan simpanan minimum selama sembilan hari adalah penting bagi kesiapsiagaan kecemasan Singapura, menurut HSA pada Isnin.

“Tambahan pula, para penderma yang melancong ke negara atau wilayah dengan penyakit bawaan serangga mungkin tidak layak menderma sehingga empat bulan selepas mereka kembali, yang berpotensi menjejaskan bekalan darah dalam bulan-bulan akan datang,” menurut pihak berkuasa.

“Oleh itu, ia adalah penting bagi para penderma yang layak untuk tampil pada tempoh ini untuk meningkatkan bekalan.”

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung memberi amaran bahawa Singapura mungkin berdepan risiko kekurangan bekalan bagi jenis darah tertentu pada akhir tahun.

“Kita kadang-kadang lupa tentang tempoh ketidaklayakan selepas melakukan perjalanan,” kata beliau dalam satu catatan di Facebook pada Isnin.

“Saya juga tidak terkecuali. Saya pergi ke Afrika Selatan untuk menghadiri mesyuarat G20 pada November, dan tidak boleh menderma darah sehingga Mac tahun depan.”

Rayuan untuk penderma darah itu dibuat menjelang kenaikan had umur maksimum bagi penderma kali pertama daripada 60 kepada 65 tahun, bermula 2 Januari 2026.

Para penderma baharu boleh menderma darah sehingga sehari sebelum ulang tahun ke-66 mereka, manakala para penderma berulang boleh meneruskan sehingga sehari sebelum ulang tahun ke-76 mereka.

Pelonggaran peraturan itu, yang diumumkan pada awal tahun ini, dibuat selepas data HSA, berdasarkan penderma berumur sehingga 60 tahun, menunjukkan bahawa reaksi buruk menurun seiring dengan usia dalam kalangan penderma kali pertama, selaras dengan dapatan antarabangsa.

“Menaikkan had umur penderma mencerminkan komitmen kami untuk memastikan bekalan darah yang mampan bagi keperluan kesihatan Singapura,” kata ketua eksekutif HSA, Raymond Chua.

“Dengan penuaan penduduk, ia adalah penting untuk kita memanfaatkan setiap peluang yang selamat untuk memperluaskan kumpulan penderma sambil mengekalkan piawaian keselamatan yang tertinggi untuk para penderma dan penerima.”

Untuk layak menderma darah, penderma mesti berada dalam keadaan sihat secara umum, tidak mempunyai simptom jangkitan, mempunyai berat sekurang-kurangnya 45 kilogram, dan memenuhi paras hemoglobin minimum 12.5gram per desiliter (g/dL) bagi wanita dan 13.0g/dL bagi lelaki.

Para penderma boleh memuat turun aplikasi mudah alih DonateBlood di kedai aplikasi Apple dan Google App untuk membuat janji temu dan mengurangkan masa menunggu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita