Skip to main content

Singapura

HSA rampas ubat batuk kodeina, pil haram bernilai S$53,000 di Geylang

Lebih 80 liter ubat batuk kodeina yang dihasilkan secara haram dan 32,000 pil pelbagai ubatan dirampas dari sebuah apartmen di Geylang pada Rabu (8 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
HSA rampas ubat batuk kodeina, pil haram bernilai S$53,000 di Geylang

Lebih 80 liter ubat batuk kodeina dan 32,000 pil pelbagai ubatan dirampas dari sebuah apartmen di Geylang pada 8 Mei. (Gambar-Gambar: HSA)

Diterbitkan : 09 May 2019 09:28AM Dikemas Kini : 09 May 2019 09:32AM

SINGAPURA: Lebih 80 liter ubat batuk kodeina yang dihasilkan secara haram dan 32,000 pil pelbagai ubatan dirampas dari sebuah apartmen di Geylang pada Rabu (8 Mei).

Dalam satu kenyataan, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan pil-pil yang dirampas itu termasuk ubat tidur seperti midazolam, nitrazepam dan diazepam serta ubat-ubatan lain seperti pil kodeina.

Nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan sekitar S$53,000.

Menurut HSA, pihaknya menjalankan operasi penguatkuasaan di Geylang pada sebelah pagi Rabu (8 Mei) bersama para pegawai polis dari Divisyen Polis Bedok. Ini menyusuli aduan yang diterima daripada orang awam mengenai ubat batuk kodeina yang dijual secara haram di sebuah kedai kopi dekat Lorong 20 Geylang.

Hasil pemantauan mendedahkan bahawa produk-produk haram tersebut disimpan di sebuah apartmen berhampiran.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa apartmen itu digunakan untuk secara haram menghasilkan dan menyimpan ubat batuk tersebut serta ubat-ubatan lain. Produk-produk itu adalah untuk tujuan dijual secara haram di Geylang," menurut HSA.

Dua lelaki dan seorang wanita diberkas semasa operasi yang dijalankan terhadap apartment tersebut.

Ketiga-tiga suspek, yang berusia antara 20 hingga 28 tahun, sedang membantu HSA dalam siasatan berhubung penghasilkan dan pembekalan ubat-ubatan haram tersebut.

Related article image

Ubat batuk kodeina biasanya digunakan untuk menahan batuk. Ia dianggap sebagai ubat farmasi dan hanya boleh diberikan oleh seorang ahli farmasi atau pakar perubatan yang berlesen, menurut HSA lagi.

Pengarah Cawangan Penguatkuasaan HSA, Annie Tan, berkata ubat batuk yang dibuat di kemudahan-kemudahan yang tidak berlesen membahayakan dan boleh meninggalkan kesan buruk terhadap kesihatan kerana ia dihasilkan di dalam sekitaran yang kurang baik tanpa kawalan mutu yang sesuai.

Cik Tan menasihati para pengguna supaya membeli ubat-ubatan seumpama itu daripada sumber-sumber berlesen seperti dari klinik-klinik berdaftar ataupun farmasi-farmasi yang diluluskan.

Sesiapa yang didapati bersalah mengimport, menghasilkan dan/atau membekalkan produk-produk kesihatan yang diharamkan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau didenda sehingga S$50,000.

Orang awam digalak supaya melaporkan sebarang keigatan haram yang melibatkan ubat batuk dan ubat-ubatan yang diharamkan kepada Cawangan Penguatkuasaan HSA.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita