Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA rampas alat pengewap elektronik, peralatan berkaitan bernilai sekitar S$200,000

Pengewap elektronik dan peralatan berkaitan yang dianggarkan bernilai hampir S$200,000 dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu siri serbuan pada minggu lalu, menurut agensi itu pada Jumaat (14 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jan 2022 01:37PM Dikemas Kini : 14 Jan 2022 09:00PM

SINGAPURA: Pengewap elektronik dan peralatan berkaitan yang dianggarkan bernilai hampir S$200,000 dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu siri serbuan pada minggu lalu, menurut agensi itu pada Jumaat (14 Jan).

Operasi selama 24 jam yang dijalankan pada 6 Januari itu menyasarkan seorang pengedar dan para penjual yang merupakan sebahagian daripada sebuah rangkaian pengedaran alat pengewap elektronik (vape), menurut HSA.

Beberapa serbuan dijalankan di tempat kediaman pengedar dan penjual termasuk sebuah hotel di Geylang serta rumah-rumah di Yishun dan Serangoon, menurut agensi itu.

Dua lelaki dan seorang wanita sedang membantu HSA dengan siasatan.

"Mereka menggunakan Telegram untuk secara haram mengiklankan dan membekalkan produk-produk terlarang itu kepada sejumlah besar individu menerusi kumpulan-kumpulan sembang tersebut," menurut HSA dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

"Salah seorang lelaki itu juga dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi siasatan berhubung kesalahan disyaki berkaitan dadah.

HSA "memantau rapi" rangkaian pengedaran vape di aplikasi sembang di mana pengguna tidak perlu mendedahkan nama, seperti di Telegram dan WeChat.

Para penyeludup dan penjual vape menggunakan wadah-wadah tersebut "dalam usaha untuk menjalankan kegiatan haram mereka itu secara sulit", ia menambah.

"Menerusi usaha pengawasan dan pengumpulan maklumat, HSA berjaya melumpuhkan rangkaian penjaja ini," tambah agensi itu.

"HSA akan terus memantau aktiviti haram sedemikian dan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap para pesalah."

Mengimport, mengedar, menjual dan menawarkan untuk menjual produk tembakau tiruan, termasuk vape dan peralatan berkaitannya adalah satu kesalahan di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan).

Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka didapati bersalah atas kesalahan untuk kali kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda maksimum sebanyak S$20,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Ia juga merupakan satu kesalahan untuk membeli, mengguna atau memiliki produk-produk seumpama itu. Pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$2,000 dan produk-produk tembakau terlarang itu akan dirampas.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan