Skip to main content

Singapura

HSA nilai semula hukuman bagi semua kesalahan vape, bukan sekadar kes Kpod

Anggaran Waktu Membaca:
HSA nilai semula hukuman bagi semua kesalahan vape, bukan sekadar kes Kpod

Arahan terhadap vape di luar Mahkamah Negara. (Gambar: CNA/Lydia Lam)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Aug 2025 02:43PM Dikemas Kini : 25 Aug 2025 07:40PM
SINGAPURA: Pendakwa daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) akan menilai semula hukuman bagi semua kes vape, bukan sahaja yang melibatkan Kpod, menurut mahkamah pada Isnin (25 Ogos).

Kpod adalah alat pengewap elektronik yang mengandungi jus vape yang dibubuh etomidate, iaitu agen anestetik yang akan disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah pada bulan September.

Pendakwa HSA, Jolene Chia, memberitahu mahkamah daerah pada Isnin bahawa Hakim Daerah Wong Li Tein sudah memberi arahan kepada HSA "secara keseluruhan" supaya menilai semula hujahan hukuman bukan sahaja bagi kesalahan Kpod tetapi juga kesalahan vape biasa.

Cik Chia memaklumkan perkara itu kepada Hakim Daerah Wong Peck semasa memohon penangguhan empat minggu bagi kes Orison Toh Chun Kee, 28 tahun.

Toh berdepan empat tuduhan berkaitan vape, termasuk memiliki 1,639 set vape dalam keretanya pada September 2024 dengan tujuan untuk dijual.

Toh sepatutnya mengaku bersalah pada Isnin, tetapi Cik Chia memohon penangguhan berdasarkan arahan yang diberikan oleh Hakim Wong Li Tein pada Jumaat.

Cik Chia berkata Hakim Wong Li Tein juga menangguhkan dua perbicaraan pengakuan bersalah pada Jumaat atas arahan beliau kepada HSA untuk menilai semula hukuman bagi kesalahan vape.

Pihak pendakwa sebelum ini menyatakan pihaknya akan memohon hukuman penjara seminggu dan denda untuk Toh.

Menyusuli arahan Hakim Wong Li Tein, Cik Chia memberitahu peguam bela Toh bahawa pihak pendakwa mungkin akan mengubah hujahan dan memohon hukuman yang lebih berat.

Hakim Wong Peck mencadangkan bahawa ini menyusuli ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lawrence Wong, dan Cik Chia bersetuju.

Encik Wong dalam ucapannya pada 17 Ogos berkata Singapura akan menganggap kesalahan menghisap vape sebagai isu dadah dan meningkatkan penguatkuasaan.

"Setakat ini kami menganggap menghisap vape seperti tembakau - paling berat, kami kenakan denda. Tetapi itu sudah tidak mencukupi," katanya, sambil menambah pihak berkuasa akan mengenakan hukuman yang "jauh lebih berat", termasuk penjara.

Peguam bela Toh, Encik Sameer Amir Melber dari Gabriel Law Corporation, membantah penangguhan itu, berkata kes ini dijadualkan untuk pengakuan bersalah sejak Julai dan ditangguhkan ke Isnin bagi pihak pendakwa menilai semula hujahan hukuman mereka.

"Saya rasa berikutan arahan Hakim Daerah Wong Li Tein, saya terpaksa menangguhkan kes ini kerana ada penilaian semula kedudukan keseluruhan dan kami mahu memastikan kesaksamaan dalam hukuman," kata Hakim Wong Peck.

Apabila ditanya sama ada empat minggu mencukupi, pendakwa HSA berkata beliau berkata bahawa beliau dimaklumkan bahawa empat minggu akan diberikan sebagai "penilaian pertama".

Pengakuan bersalah itu dijadualkan pada 25 September.

Atas tuduhan memiliki vape yang merupakan produk tiruan tembakau untuk dijual, Toh boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita