Skip to main content

Singapura

HSA, MOE lancar usaha banteras vape di 6 institut pengajian tinggi

Seorang lelaki ditangkap dalam operasi penguatkuasaan vape yang dijalankan selama tiga minggu oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Kementerian Pendidikan (MOE) di enam institut pengajian tinggi (IHL).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Oct 2025 05:15PM Dikemas Kini : 02 Oct 2025 09:25PM
SINGAPURA: Seorang lelaki ditangkap dalam operasi penguatkuasaan vape yang dijalankan selama tiga minggu oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Kementerian Pendidikan (MOE) di enam institut pengajian tinggi (IHL).

Institut-institut berkenaan merangkumi universiti dan politeknik.

Seorang lelaki berusia 24 tahun didapati memiliki dua vape serta 10 komponen berkaitan di dalam kampus semasa operasi dijalankan antara 8 hingga 29 September.

Dia dikenakan notis denda dan didenda di tempat kejadian, manakala vape dan komponen tersebut dirampas, menurut kenyataan bersama pihak berkuasa pada Khamis (2 Okt).

Pada awal September, pihak media turut dipelawa untuk menyaksikan salah satu operasi penguatkuasaan bagi membanteras vape di sebuah institut pengajian tinggi.

Identiti dan lokasi institut berkenaan tidak boleh didedahkan atas sebab kerahsiaan (confidentiality) operasi.

Selama tiga jam pada lewat petang, pegawai berpakaian preman dari HSA membuat pemeriksaan mengejut di asrama kediaman pelajar.

Para penghuni kelihatan terkejut dengan kehadiran mereka, dengan ada yang bertanya apa yang sedang berlaku.

Pasukan penguat kuasa berpecah kepada tiga kumpulan untuk memeriksa semua blok di kampus, termasuk ruang umum seperti bilik dobi dan pantri.

Tiada vape ditemui, namun seorang penghuni ditangkap kerana memiliki rokok seludup dan dikenakan tindakan sewajarnya.

Di IHL, pesalah kali pertama yang didapati menghisap vape akan menerima surat amaran dan boleh dikenakan denda oleh institut atau perintah khidmat masyarakat, atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga akan diusir dari asrama dan hilang kelayakan untuk memegang jawatan kepimpinan pelajar, menyertai pertandingan, meraih peluang ke luar negara serta menerima biasiswa dan anugerah.

Pesalah berulang pula boleh digantung pengajian, manakala mereka yang menggunakan Kpod – vape yang dicampur etomidate – berdepan risiko dihentikan daripada meneruskan pengajian.

Kaunseling turut ditawarkan bagi membantu pelajar memahami akibat perbuatan mereka serta bertanggungjawab atas keputusan mereka, menurut pihak berkuasa.

ROKOK SELUDUP

Secara berasingan, lima individu berusia antara 20 dan 25 tahun didapati memiliki rokok yang tidak dibayar cukai semasa operasi penguatkuasaan itu, menurut HSA dan MOE.

Mereka sudah dirujuk kepada pihak Kastam Singapura bagi siasatan lanjut.

Pihak berkuasa menambah bahawa operasi penguatkuasaan bersama itu akan dilaksanakan secara progresif di enam lagi institut pengajian tinggi yang lain.

Selain penguatkuasaan, institut-institut tersebut juga bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bagi meningkatkan kesedaran penuntut tentang bahaya vape dan amalan gaya hidup bebas vape melalui program-progran interaktif, sambil menekankan bahawa kakitangan serta pemimpin dalam kalangan penuntut turut menjalani latihan.

Para penuntut juga dimaklumkan mengenai undang-undang dan peraturan terhadap tindakan menghisap rokok dan vape semasa sesi taklimat orientasi bagi penuntut baharu.

Mereka diwajibkan untuk melengkapkan e-modul orientasi dan taklimat tentang tatalaku pelajar yang turut merangkumi peraturan yang melarang penggunaan vape.

Operasi serupa bagi membanteras vape pernah dijalankan di kawasan kejiranan, daerah pusat perniagaan serta rangkaian pengangkutan awam.

Tindakan tegas Singapura terhadap vape berkuat kuasa pada 1 September, dengan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan vape.

Antara 1 hingga 21 September, seramai 656 individu ditangkap atas kesalahan berkaitan vape, termasuk 44 yang disahkan memiliki vape dicampur etomidate.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita