Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA kesan bahan cemar, terlarang pada 2 produk ini

"Bahan-bahan perubatan kuat (manjur)" yang boleh menyebabkan kesan sampingan teruk kepada pengguna dikesan pada dua produk, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (27 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
HSA kesan bahan cemar, terlarang pada 2 produk ini

Produk-produk AK-II Phenomenal King dan Premium Pro S Flash. (Gambar: HSA)

SINGAPORE: "Bahan-bahan perubatan kuat (manjur)" yang boleh menyebabkan kesan sampingan teruk kepada pengguna dikesan pada dua produk, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (27 Apr).

Anggota masyarakat dinasihatkan supaya jangan membeli atau menggunakan AK-II Phenomenal King, yang membuat tuntutan ia boleh merawat mati pucuk dan pil melangsingkan badan Premium Pro S Flash.

Kedua-dua produk itu dijual melalui wadah e-dagang seperti Carousell, Lazada, Shopee dan Qoo10 serta Facebook.

HSA sudahpun bekerjasama dengan wadah-wadah tersebut untuk memadamkan penyenaraian produk-produk itu dan mengeluarkan amaran kepada para penjualnya, menurut penguasa tersebut.

"Berwaspada terhadap produk yang menjanjikan hasil kesan pantas atau membuat tuntutan berlebihan. Ia mungkin mengandungi bahan cemar yang boleh memudaratkan kesihatan anda dengan teruk," menurut HSA.

PRODUK MENGANDUNGI 60 KALI LEBIH BANYAK DOS UBATAN BIASA

HSA menjalankan ujian ke atas AK-II Phenomenal King, iaitu produk yang dipasarkan sebagai produk asli bagi menaikkan syahwat untuk lelaki dan ia membuat tuntutan "seolah-olah tiada kesan sampingan".

Pihak berkuasa mendapati produk tersebut mengandungi 60 kali lebih banyak dos biasa tadalafil, ubat preskripsi yang digunakan untuk merawat mati pucuk.

Menurut HSA, penggunaan tadalafil secara salah boleh membahayakan dan meningkatkan risiko mengalami kesan sampingan teruk termasuk serangan jantung, angin ahmar, rasa berdebar-debar, kadar degupan jantung tidak stabil dan priapisme (membangkitkan nafsu syahwat pada kelamin yang menyakitkan dan terlalu lama).

Ia juga berpotensi menyebabkan tekanan darah rendah yang boleh mengancam nyawa dalam kalangan pengguna yang mengambil ubat-ubatan jantung, khususnya yang mengandungi nitrat, tambah penguasa itu.

BAHAN TERLARANG DIKESAN PADA PIL PELANGSING

HSA mengesan paras tinggi sibutramina iaitu sejenis ubat terlarang bagi menurunkan berat badan dalam Premium Pro S Flash.

Produk itu juga dijual sebagai kapsul merah jambu dan putih tanpa sebarang arahan jelas tentang sama ada kedua-dua kapsul itu seharusnya diambil berasingan atau secara serentak.

Premium Pro S Flash diiklankan sebagai mengandungi bahan-bahan asli seperti ginseng merah, daun sej merah serta keladi dan dipasarkan sebagai versi terbaru produk pelangsing Flash Slim.

Sibutramina dilarang di Singapura sejak 2010 menyusuli peningkatan pada risiko serangan jantung dan angin ahmar, menurut HSA.

Bahan itu juga boleh menyebabkan masalah jantung serius dan gangguan sistem saraf pusat termasuk psikosis dan halusinasi.

"Semua penjual dan pembekal mesti berhenti menjual AK-II Phenomenal King dan Premium Pro S Flash dengan serta-merta. HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap sesiapa yang menjual dan/atau membekalkan produk-produk yang didapati dicampur dengan bahan-bahan perubatan cemar."

Penjual dan pembekal boleh dikenakan pendakwaan dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun dan/atau didenda tidak melebihi S$10,000.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tentang penjualan dan pembekalan produk haram itu boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di talian 6866-3485 semasa waktu pejabat atau mengirimkan emel kepada hsa_is [at] hsa.gov.sg.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan