Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HSA kesan bahan cemar, terlarang dalam 2 produk kesihatan ini

Anggaran Waktu Membaca:
HSA kesan bahan cemar, terlarang dalam 2 produk kesihatan ini

Produk "Traditional Herbs Preparation XPE" (kiri) dan "FS++ Slimming Supplements By JPJ Slim" (kanan). (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 01 Mar 2022 03:01PM Dikemas Kini : 01 Mar 2022 03:01PM

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hari ini (1 Mac) memberi amaran kepada masyarakat agar tidak mengambil dua produk kesihatan yang didapati mengandungi "bahan-bahan cemar yang berbahaya" selepas dua individu melaporkan kesan buruk setelah mengambilnya.

Dua produk itu ialah "Traditional Herbs Preparation XPE" dan "FS++ Slimming Supplements By JPJ Slim".

Enam bahan ubatan yang kuat termasuk steroid dan antibiotik ditemui pada produk pertama manakala produk yang kedua mengandungi bahan terlarang sibutramina, menurut HSA dalam kenyataan medianya.

“Bahan-bahan cemar ini boleh menyebabkan kesan sampingan serius pada individu," tambahnya.

SAKIT SENDI TAMBAH BURUK SELEPAS BERHENTI AMBIL PRODUK

Seorang wanita berusia 60an tahun mengambil "Traditional Herbs Preparation XPE" selama sembilan bulan untuk mengurangkan rasa sakit pada sendinya. Beliau menerima produk itu daripada seorang rakan yang memperolehinya dari Malaysia, menurut HSA.

Meskipun sakit sendi yang dialami wanita itu cepat hilang, ia bertambah buruk apabila beliau berhenti mengambil produk itu atau mengurangkan dosnya. Ini menyebabkan doktor beliau mengesyaki bahawa produk tersebut mungkin mengandungi bahan-bahan tidak diisytiharkan seperti steroid dan ubat tahan sakit.

HSA menguji produk itu dan mendapati enam bahan ubatan - dexamethasone (sejenis steroid), chlorpheniramine (antihistamine), ibuprofen (ubat antiradang bukan steroid), lovastatin (ubat merendahkan tahap kolestrol), chloramphenicol dan tetracycline (kedua-duanya antibiotik).

Penggunaan steroid seperti dexamethasone buat jangka panjang tanpa kawal selia boleh menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat dan membawa kepada kencing manis, sindrom "Cushing" - muka berupa bulat seperti bulan dan obesiti pada bahagian atas badan dengan lengan yang kurus - serta kesan sampingan serius lain.

BAHAN TERLARANG AKIBATKAN INSOMNIA, KEKELIRUAN

Seorang lagi pelanggan mengalami insomnia, pening kepala dan kekeliruan selepas mengambil "FS++ Slimming Supplements" yang dibeli daripada wadah media sosial tempatan yang memaparkan testimoni pengguna mengenai hasil badan langsing dengan pantas.

Produk itu didapati mengandungi sibutramina iaitu ubat menurunkan berat badan yang diberikan berdasarkan preskripsi sahaja. Bahan itu dilarang pada 2010 kerana peningkatan risiko serangan jantung serta angin ahmar.

HSA menambah sejak dari itu, ia sudah bekerjasama dengan pentadbir wadah berkenaan agar segera memadamkan penyenaraian terjejas tersebut. Siasatan ke atas penjual itu sedang dijalankan.

Pengguna yang membeli atau mengambil mana-mana produk itu dinasihatkan supaya berhenti menggunakannya dengan serta-merta dan pergi berjumpa doktor sekiranya mereka tidak sihat atau prihatin tentang kesihatan mereka.

Penjual dan pembekal produk-produk tersebut juga mesti berhenti menjualnya dengan serta-merta.

Mereka yang didapati bersalah menjual dan membekalkan produk-produk yang didapati dicemari dengan bahan ubat-ubatan terlarang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

HSA menasihatkan masyarakat agar berhati-hati terhadap produk-produk yang membuat tuntutan berlebihan atau menjanjikan keputusan yang pantas tanpa diduga kerana ia mungkin mengandungi bahan-bahan yang boleh membahayakan kesihatan seseorang.

Pengguna juga harus berhati-hati apabila membeli produk secara online atau daripada rakan-rakan.

Pihak berkuasa itu menekankan tiada cara "cepat dan mudah" untuk menurunkan berat badan dan orang ramai harus mengawal berat badan mereka melalui pemakanan yang seimbang serta senaman.

Sumber : Today/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa