Skip to main content

Singapura

HSA beri amaran terhadap 'tonik kesihatan', produk Anita iBrow selepas pelanggan alami reaksi buruk

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada para pengguna hari ini (22 Jan) agar jangan membeli dan menggunakan dua produk kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Jan 2018 03:30PM Dikemas Kini : 23 Jan 2018 12:16AM

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada para pengguna hari ini (22 Jan) agar jangan membeli dan menggunakan dua produk kesihatan.

Ini selepas seorang pengguna dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan seorang lagi kulit mukanya mengelupas akibat bahan kimia.

Kedua-dua produk tersebut adalah Ure Tonic Herbal Traditional dari Malaysia, dan "krim muka dalam botol-botol berwarna cokelat tanpa label" yang juga dikenali sebagai RDL Hydroquinone Tretinoin Babyface Solution 3 dari kedai solek Anita iBrow di Dhoby Xchange.

Menurut kenyataan media HSA, seorang wanita berusia 50an tahun minum tonik herba dari Malaysia itu selama lebih setahun setiap hari untuk "menguatkan badannya". "Beliau mengalami sindrom Cushing, keadaan yang disebabkan penggunaan bahan steroid bagi jangka masa panjang," tambah beliau.

Wanita tersebut mengalami "komplikasi", termasuk tekanan darah yang rendah dan sistem imuniti tubuh yang lemah menyebabkan beliau menghidap radang paru-paru dan sepsis yang mengancam nyawa melibatkan kerosakan tisu dan organ.

Beliau dimasukkan ke ICU dan kini dirawat sebagai pesakit luar.

Seorang lagi wanita dalam lingkungan 20an tahun, mengalami "kulit muka yang mengelupas dan kelecuran" selepas menggunakan krim muka dari Anita iBrow setiap hari selama dua hingga tiga hari, menurut HSA.

Pihak berkuasa menyatakan tukang solek di kedai tersebut membeli krim RDL Hydroquinone Tretinoin Babyface Solution 3 secara online. Beliau kemudiannya menuangnya ke dalam botol-botol kaca yang dijual sebagai "air ajaib" untuk mencerahkan kulit pelanggan. Bagaimanapun, sebaliknya berlaku dan kulit pelanggan menjadi "gelap dan merah serta gatal," memerlukan rawatan oleh pakar kulit.

HSA menyatakan pihaknya sudah mengarah pekerja kecantikan itu, yang kini membantu siasatan, berhenti menggunakan dan membekalkan krim tersebut.

"JUMPA DOKTOR SECEPAT MUNGKIN": HSA

Pihak berkuasa menasihati para pengguna yang mengambil tonik tersebut untuk "jumpa doktor secepat mungkin" kerana tidak mengambil steroid tanpa jagaan perubatan sepatutnya boleh menyebabkan "gejala serius" seperti kekeliruan, kelemahan dan tekanan darah yang rendah.

Mereka yang menggunakan produk-produk dari Anita iBrow dan mengalami keadaan buruk juga harus berjumpa dengan doktor.

Para pengguna juga diberi amaran untuk tidak menggunakan sebarang krim muka yang tidak mempunyai sebarang label dari kedai tersebut, juga produk-produk yang mengandungi bahan-bahan perubatan seperti hydroquinone dan tretinoin, yang mempunyai kesan sampingan yang serius jika digunakan tanpa pengawasan perubatan.

"Berhati-hati apabila membeli produk-produk kesihatan daripada sumber-sumber yang tidak dikenali, walaupun jika ia disyorkan oleh rakan atau saudara mara. Tiada siapa yang boleh memastikan kandungan produk tersebut, dari mana dan cara ia dihasilkan," nasihat HSA.

"Elakkan daripada membeli atau menggunakan produk-produk kesihatan yang tidak dilabel dan berhati-hati terhadap produk-produk yang menjanjikan hasil yang cepat. Produk-produk seperti ini mungkin mengandungi bahan-bahan berbahaya yang boleh menyebabkan kesan kesihatan yang serius."

HSA memberi amaran kepada para penjual dan pembekal untuk "segera" berhenti membekalkan "produk-produk haram yang mengandungi bahan-bahan perubatan barat yang terlarang".

Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga S$100,000.  

Sumber : CNA/FA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita