Skip to main content

Singapura

HSA beri amaran terhadap 3 produk selepas pengguna termasuk kanak-kanak 12 tahun alami kesan sampingan serius

Anggaran Waktu Membaca:
HSA beri amaran terhadap 3 produk selepas pengguna termasuk kanak-kanak 12 tahun alami kesan sampingan serius

B-Lian-S Herbal Cream, yang dicampur dengan steroid kuat dan agen antikulat, menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mengalami tanda regangan. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan, Pesakit)

Diterbitkan : 23 Jul 2026 09:47PM
SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (23 Jul) memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan membeli atau menggunakan tiga produk didapati mengandungi bahan perubatan yang diharamkan atau kuat, selepas tiga individu, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, mengalami kesan sampingan yang serius.

Tiga produk itu ialah C-Nine Dietary Supplement Product, Xue Ya Gao Zhong Feng Qing Cao Yao Cao dan B-Lian-S Herbal Cream. Ia dipasarkan sebagai suplemen atau produk herba, namun hasil ujian HSA mendapati ia mengandungi steroid, ubat antikulat dan sibutramina, bahan yang diharamkan di Singapura.

Dalam satu kes, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, berat badannya naik sebanyak enam kilogram dan mengalami tanda regangan pada kedua-dua kaki selepas menggunakan B-Lian-S Herbal Cream secara berkala selama dua bulan untuk merawat ekzema.

Krim itu dibeli ibunya daripada penjual yang berpangkalan di Malaysia melalui Facebook Messenger selepas melihat iklan di Facebook. Produk tersebut dipromosikan sebagai formulasi "ekstrak semula jadi" tanpa steroid, namun HSA mengesahkan ia mengandungi steroid kuat serta ubat antikulat.

Dalam lagi satu kes, seorang wanita mengalami debaran, loya, sentiasa dahaga dan hilang selera makan selepas mengambil produk suplemen pemakanan C-Nine. Ujian HSA mendapati produk itu mengandungi sibutramina, ubat pelangsing yang diharamkan di Singapura sejak 2010 kerana meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar, selain bahan julap yang tidak diisytiharkan.

Dalam kes ketiga, seorang wanita berusia lingkungan 60-an tahun mengambil Xue Ya Gao Zhong Feng Qing Cao Yao Cao selama 10 hari untuk sakit lutut, sakit belakang dan meningkatkan peredaran darah. Beliau kemudian mengalami simptom Sindrom Cushing. Ujian mendapati produk itu mengandungi dexamethasone, iaitu steroid kuat yang hanya boleh digunakan di bawah pengawasan doktor.

HSA menasihatkan pengguna Xue Ya Gao Zhong Feng Qing Cao Yao Cao atau Krim Herba B-Lian-S supaya berjumpa doktor dengan segera. Mereka dinasihatkan supaya tidak berhenti menggunakan produk ini secara tiba-tiba kerana ia mengandungi steroid yang kuat.

Mereka yang mengambil C-Nine Dietary Supplement Product pula dinasihatkan supaya menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat doktor jika berasa tidak sihat.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita