Skip to main content

Singapura

HQ baru Casa Raudha dibuka; ruang selamat untuk mangsa keganasan rumah tangga

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keganasan dalam keluarga memberi kesan mendalam, terutamanya kepada kanak-kanak.

Ia menuntut langkah segera untuk melindungi mangsa serta membantu mereka melalui situasi sukar.

Namun, usaha itu memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk memberikan sokongan yang berterusan.

Hal itu ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa merasmikan pembukaan ibu pejabat baru rumah perlindungan Casa Raudha di Bedok pada Sabtu (22 Feb).

PENDEKATAN LEBIH HOLISTIK DALAM DALAM TANGANI KEGANASAN RUMAH TANGGA

Dinamakan Casa Raudha Cares, kemudahan baharu yang terletak di 26 New Upper Changi Road itu mencerminkan misi kukuh badan tersebut untuk menyokong para mangsa keganasan rumah tangga di Singapura.

Cik Zaharah Ariff, Pengarah Eksekutif Casa Raudha, berkata: "Sebelum kewujudan HQ baharu ini, semua perkhidmatan kami, termasuk perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak, beroperasi dari satu lokasi. Walaupun kami berusaha untuk memisahkan fungsi pentadbiran dan sokongan daripada kawasan kediaman, mempunyai semuanya di bawah satu bumbung menghadirkan cabaran tersendiri."

Beliau menambah, "Dengan pengembangan perkhidmatan kami untuk menyokong Individu yang Menyebabkan Kemudaratan (PWCH), kami menyedari keperluan untuk ruang yang neutral di mana pasangan dan individu boleh mendapatkan kaunseling dalam persekitaran yang selamat dan menyokong.

"HQ baharu ini membolehkan kami menyediakan ruang tersebut, memastikan kedua-dua mangsa dan individu yang ingin mengubah tingkah laku mereka mempunyai tempat yang selamat untuk menangani isu berkaitan keganasan rumah tangga."

Selain itu, pusat itu juga dibuka kepada orang awam, termasuk mereka yang mengalami penderaan serta individu yang ingin belajar bagaimana mereka boleh menyokong rakan atau ahli keluarga yang berdepan dengan keganasan rumah tangga.

"Mangsa yang datang ke Casa Raudha Cares akan menjalani penilaian keselamatan, dan jika mereka memerlukan perlindungan segera, kami boleh memudahkan kemasukan terus ke tempat perlindungan kami serta merujuk mereka kepada sumber sokongan komuniti lain," jelas beliau.

Dua tempat perlindungan Casa Raudha, tambah beliau, akan terus memberikan perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak yang berada dalam bahaya akibat keganasan rumah tangga.

Perkhidmatan itu kekal sebagai keutamaan utama.

"Namun, kami kini dapat meningkatkan intervensi berasaskan komuniti dengan menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada kedua-dua mangsa dan Individu yang Menyebabkan Kemudaratan (PWCH). Ini bermaksud individu boleh mendapatkan bimbingan profesional dan akses kepada sumber sokongan sebelum keadaan mereka menjadi lebih buruk sehingga memerlukan penempatan di tempat perlindungan," jelas beliau.

KELUARGA YANG KUKUH DAN STABIL ASAS KEPADA MASYARAKAT

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menekankan bahawa "keluarga yang kuat dan stabil adalah latar belakang masyarakat kita. Ia juga menjadi asas bagi anak-anak kita untuk membesar dengan sihat, stabil daripada segi emosi, dan menjadi individu yang seimbang serta mampu mencapai potensi terbaik mereka."
Pembukaan ibu pejabat Casa Raudha Cares yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Beliau menambah, "Oleh itu, kita tahu bahawa keganasan rumah tangga memberi kesan yang mendalam, terutamanya kepada kanak-kanak. Saya sangat gembira melihat pelbagai program yang sedang kita jalankan."

DPM Heng juga menekankan langkah penting yang perlu diambil apabila berhadapan dengan isu keganasan dalam keluarga.

"Yang paling segera yang perlu kita lakukan adalah untuk menjaga mangsa, memastikan mereka dapat pulih dengan baik, dan bahawa mereka boleh menyesuaikan diri. Hanya apabila keluarga kuat, terutamanya ibu-ibu, mereka dapat mula menyokong anak-anak dan membantu mereka membesar."

Beliau menekankan lagi, "Kita juga mesti menggalakkan keluarga, termasuk kita semua, untuk melaporkan keganasan dalam keluarga bagi mendapatkan bantuan, kerana saya percaya bahawa kita boleh berbuat sesuatu. Seringkali, orang bimbang untuk melaporkan isu ini. Tetapi jika kita tidak melakukannya, masalah ini akan berterusan dan akan bertambah buruk."
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita