Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HPB sasar kurangkan pengambilan sodium rakyat S'pura sebanyak 15% dalam lima tahun

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tidak dapat dinafikan, masyarakat Singapura gemarkan makanan mereka.

Namun tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti makanan yang tinggi kandungan gula, lemak dan garam semakin meningkat.

Lantaran itu Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menyasarkan untuk mengurangkan pengambilan sodium rakyat S'pura sebanyak 15% dalam lima tahun.

Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NHPS) menunjukkan lebih daripada 30 peratus penduduk Singapura berusia antara 18 dengan 74 tahun menghidap tekanan darah tinggi antara 2019 dengan 2020.

"Dalam kalangan masyarakat Melayu, peratusan peningkatan penyakit darah tinggi naik kepada 37.5 peratus pada 2019 hingga 2020. Ini berbanding dengan 2017 di mana kadar tekanan darah tinggi di kalangan masyarakat Melayu hanya 23.1%," dedah Cik Badriyah Jamaludin dari Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Menurut Tinjauan Pemakanan Kebangsaan 2019, penduduk Singapura mengambil hampir seganda jumlah garam yang disarankan setiap hari.

Secara purata rakyat Singapura mengambil 3,600 miligram sodium atau dua sudu teh garam sehari, melebihi 2,000 miligram sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

75 peratus daripadanya adalah garam, sos dan perasa makanan yang ditambah daripada makanan yang di masak sendiri atau dibeli. Daripada jumlah itu, dua pertiga garam ditambah semasa penyediaan makanan.

HPB sedang bekerjasama dengan rangkaian pasar raya untuk menawarkan lebih banyak pilihan garam rendah sodium yang lebih dimampui mulai bulan depan.

Sebagai permulaan, ia menyediakan geran kepada pembekal garam untuk meningkatkan pengeluaran produk itu  dan menjualnya pada harga yang lebih rendah.

Setakat ini hampir 150 syarikat katering telah beralih menggunakan garam dan sos yang rendah sodium dan bilangannya dijangka meningkat.

HPB juga berusaha menggalak para pengendali kedai kopi dan para pegerai di pusat-pusat makanan untuk beralih kepada garam rendah sodium.

Pengarah Shereen's Kitchen, Arifin Mohd Rahim dan isteri. (Gambar: Rosli A Razak)

Satu daripada syarikat yang sudah melakukan peralihan ialah syarikat katering Shereen's Kitchen. 

Ia menggunakan garam yang rendah kandungan sodium sejak menyertai Program Makanan Lebih Sihat HPB pada 2018.

Jenis garam yang mengandungi potassium atau 'K-Salt' yang digunakan di syarikat katering itu mengandungi 20 peratus lebih rendah sodium berbanding 40 peratus bagi garam biasa.

Ini meskipun harganya sehingga tujuh kali lebih mahal.

"Kita gunakan garam ini dalam masakan cuma sedikit saja jadi tidak banyak perbezaan antara harga dan kita pun tidak menaikkan harga disebabkan guna garam rendah sodium. Alhamdulillah, mereka semua (para pelanggan) menerima dengan baik. Masakannnya rasanya semua sama," ujar pengarah Shereen's Kitchen, Encik Arifin Mohd Rahim.

Beliau berkata beliau membuat perubahan itu kerana berasa bertanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat tentang pemakanan yang lebih sihat.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan