Hotline Jagaan Nasional henti operasi 31 Dis 2022

(Gambar hiasan: Unsplash)
SINGAPURA: Talian Hotline Jagaan Nasional akan berhenti beroperasi mulai 8.00 malam, 31 Disember ini.
Dalam satu kenyataannya, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan jumlah panggilan ke talian itu sudah turun 85 peratus pada Oktober lalu, daripada bilangannya pada Mei 2020.
Ia menyusuli langkah melonggarkan sekatan COVID-19 dan peralihan kepada kehidupan bersama penyakit itu.
Mulai 8.00 malam 31 Disember semua panggilan ke Talian Hotline Jagaan Nasional akan disalurkan ke talian-talian bantuan lain termasuk yang disokong Institut Kesihatan Mental (IMH) dan Samaritans of Singapore.
Talian hotline itu dilancarkan semasa tempoh pemutus rantaian COVID-19 dikuatkuasakan pada April 2020.
Ia merupakan hotline yang menyediakan bantuan kepada penduduk yang mengalami tekanan perasaan akibat pandemik COVID-19.
Sehingga 1 Nov 2022, talian itu menguruskan lebih 76,500 panggilan bagi sokongan emosi, isu kesihatan mental serta isu-isu berkaitan rumah tangga dan keluarga.
Sejak ia ditubuhkan, lebih 900 karyawan kesihatan mental, khidmat sosial dan relawan terlatih menghulurkan khidmat mereka untuk mengendalikan talian tersebut.
Buat masa ini ia diuruskan oleh karyawan khidmat sosial dan relawan terlatih dari Viriya Community Services.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.