Hotel Miramar tamat operasi akhir Oktober; 108 pekerja diberhentikan
Hotel Miramar Singapore akan menamatkan operasi perniagaannya pada akhir Oktober, menurut satu pengumuman pada Jumaat (29 Ogos).
Hotel Miramar Singapore. (Gambar fail: Laman web Hotel Miramar Singapore)
“Keputusan yang sukar ini dibuat selepas penilaian teliti dan menyeluruh terhadap prospek jangka panjang perniagaan hotel,” menurut pihak hotel dan Kesatuan Pekerja Makanan dan Minuman Bersekutu (FDAWU) dalam satu kenyataan bersama.
Dalam membuat keputusan untuk menamatkan operasi, pihak hotel sudah berunding dari awal dengan pihak kesatuan dan menunjukkan “tanggungjawab luar biasa serta komitmen dalam menyokong pekerja yang terjejas dan memastikan mereka dilayan dengan adil, bermaruah dan penuh hormat,” tambah kedua-dua pihak berkenaan.
Mereka menambah bahawa hotel akan menyediakan pakej pemberhentian kerja yang adil selaras dengan perjanjian bersama serta norma kesatuan sekerja.
Pakej pemberhentian kerja itu juga akan dilanjutkan kepada para pekerja di bawah skim penggajian semula, dengan bayaran tambahan diberikan sebagai pengiktirafan kepada para pekerja yang sudah lama berkhidmat.
“Ia juga membuat persetujuan dengan kesatuan untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada pekerja yang berkhidmat kurang daripada dua tahun,” menurut kenyataan itu.
Pihak kesatuan menyatakan bahawa ia sedang bekerjasama rapat dengan pihak hotel untuk menyokong pekerja yang terjejas dalam mendapatkan peluang pekerjaan baharu.
Pengarah urusan Hotel Miramar Singapore, Ken Lim, berkata: “Kami amat berterima kasih kepada rakan sekerja yang sudah lama berkhidmat, ramai di antara mereka telah mencurahkan puluhan tahun daripada hidup mereka kepada hotel ini, dengan ada yang berkhidmat sehingga 55 tahun.
“Mereka ini merupakan tulang belakang sebenar Hotel Miramar Singapore, dan kami amat menghargai khidmat serta kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi.
“Dalam konteks ini, kami bekerjasama rapat dengan FDAWU dalam semangat perkongsian, memastikan kepentingan dan kebajikan pekerja kekal menjadi keutamaan dalam setiap langkah yang kami ambil.”
Setiausaha agung FDAWU, Sankaradass S Chami, berkata: “Pihak kesatuan berasa sedih bahawa Hotel Miramar Singapore, salah satu ikon hospitaliti negara kita yang telah menyediakan pekerjaan-pekerjaan yang baik bagi ramai rakyat Singapura sepanjang tahun, akan menamatkan operasinya.
“Kami berterima kasih kerana biarpun pada saat ini, pihak pengurusan telah melangkaui perjanjian kolektif untuk menyokong pekerja yang terjejas, bekerjasama rapat dengan FDAWU bagi memastikan kebajikan pekerja diutamakan.
“Di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi, pihak pengurusan telah menunjukkan kepimpinan industri, empati dan teladan yang baik. Pendekatan kerjasama ini mencerminkan nilai hubungan kukuh antara pihak pengurusan dan kesatuan sekerja.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.