Hotel diberi sasaran kurangkan pelepasan di bawah pelan baru hala tuju kemampanan
SINGAPURA: Persatuan Hotel Singapura (SHA) dan
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) melancarkan pelan hala tuju kemampanan hotel hari ini (21 Mac), dengan dua sasaran utama untuk industri itu.
Sasaran pertama adalah, hotel-hotel di Singapura akan memulakan meneliti pelepasan karbon menjelang 2023, mengurangkannya menjelang 2030 untuk mencapai sifar pelepasan menjelang 2050.
Sasaran kedua adalah menjelang 2025, 60 peratus bilik hotel di Singapura - naik dari kurang 10 peratus - harus memperoleh sijil kemampanan hotel yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Hala tuju itu sejajar dengan Pelan Singapura Menghijau 2030 dan menetapkan "sasaran dan strategi yang jelas" untuk hotel-hotel menyesuaikan diri dalam usaha kemampanan mereka, menurut SHA dan STB dalam satu kenyataan media.
Ini akan membolehkan industri untuk menyumbang kepada matlamat pembangunan mampan, merebut peluang-peluang baru dalam Ekonomi Hijau, memperkukuhkan daya tahan perusahaan dan meraih segmen baru pelawat, menurut SHA dan STB.
Bercakap di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands, di mana Persidangan dan Pasaran Kemampanan Hotel diadakan, Menteri Negara Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, Alvin Tan
menyifatkan pelan hala tuju itu sebagai kemuncak perkongsian awam-swasta di bawah Persatuan Hotel Singapura (SHA) dan Jawatankuasa Kemampanan Hotel (HSC).
"Tujuan kami adalah untuk membantu para pemain industri menjadikan kemampanan sebagai bahagian penting dalam operasi dan untuk membantu memperoleh kelebihan daya saing melalui usaha kemampanan."
Ini bermakna, menyokong hotel membangunkan pelan kemampanan "holistik" yang selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, jelas beliau.
STB juga akan bekerjasama dengan industri hotel mengenai sasaran pelepasan yang jelas dan boleh diukur, kata Encik Tan.
Pelan hala tuju itu diperakui oleh HSC, yang ditubuhkan pada Mac 2020 untuk mempromosikan Singapura sebagai destinasi mampan.
Jawatankuasa itu terdiri daripada anggota daripada industri hotel dan wakil sektor awam.
Untuk membantu hotel mencapai sasaran, pelan hala tuju itu membentangkan empat strategi dan inisiatif yang berkaitan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.