Skip to main content

Singapura

Hotel baharu bakal dibuka di kampus Kent Ridge NUS pada separuh pertama 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Hotel baharu bakal dibuka di kampus Kent Ridge NUS pada separuh pertama 2026

Hotel yang mempunyai 185 bilik ini akan ditempatkan berhampiran Sekolah Pengkomputeran dan Fakulti Seni dan Sains Kemasyarakatan. (Gambar: NUS)

Diterbitkan : 27 Oct 2025 10:44PM Dikemas Kini : 27 Oct 2025 10:45PM
  • Sebuah hotel baharu akan dibuka di kampus Kent Ridge Universiti Nasional Singapura (NUS) pada separuh pertama 2026.
  • The Ridge, yang mempunyai 185 bilik, adalah "hotel kampus" yang direka bentuk untuk mahasiswa, ahli akademik dan karyawan yang melawat universiti itu, menurut lamannya.
  • Dengan tiga jenis bilik, tetamu juga akan menerima internet berkelajuan tinggi, khidmat pentadbiran sepanjang masa dan kemudahan mesyuarat untuk persidangan di kampus, menurut laman tersebut.
  • Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, NUS menyaksikan banyak kunjungan pelancong - mereka pada mulanya membanjiri kantin, bas ulang-alik dan perpustakaan, menjejas kehidupan di kampus.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebuah hotel baharu akan dibuka di kampus Kent Ridge Universiti Nasional Singapura (NUS) pada separuh pertama 2026.

The Ridge, yang mempunyai 185 bilik, adalah "hotel kampus" yang direka bentuk untuk mahasiswa, ahli akademik dan karyawan yang melawat universiti itu, menurut lamannya.

Hotel itu terletak di Computing Drive, yang berhampiran dengan Sekolah Pengkomputeran dan Fakulti Seni dan Sains Sosial NUS.

Dengan tiga jenis bilik, tetamu juga akan menerima internet berkelajuan tinggi, khidmat pentadbiran sepanjang masa dan kemudahan mesyuarat untuk persidangan di kampus, menurut laman tersebut.

Tetamu juga akan mendapat akses kepada kemudahan NUS Society yang terpilih, termasuk kolam renang dan pusat kecergasan di Kent Ridge Guild House yang terletak berhampiran.

Mediacorp sudah pun bertanya kepada NUS mengapa hotel dibina di kampus dan siapa yang bakal mengendalikannya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, NUS menyaksikan banyak kunjungan pelancong - mereka pada mulanya membanjiri kantin, bas ulang-alik dan perpustakaan, menjejas kehidupan di kampus.

Universiti tersebut mengambil tindakan pada 2024 untuk mengurangkan kebimbangan pelajar, seperti mengarahkan bas pelancongan supaya tidak membuat hentian di University Town (UTown), menghalang pelancong daripada menaiki bas ulang-alik di kampus dan melatih mahasiswa untuk memimpin lawatan berpandu.

Selain langkah-langkah tersebut, NUS turut menyekat akses ke dua ruang makan di UTown dan perkhidmatan bas ulang-alik di kampus selama satu minggu pada 2024, sempena tempoh cuti Golden Week China dari 1 hingga 7 Oktober.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita