Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hostel diperintah gantung operasi; 16 orang didenda kerana tidak pakai pelitup muka

Sebuah hostel yang membenarkan para tetamunya tinggal untuk "tujuan santai" kini diperintah supaya menggantung operasi selama 30 hari, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Ahad (18 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Oct 2020 06:34PM Dikemas Kini : 18 Oct 2020 08:36PM

SINGAPURA: Sebuah hostel yang membenarkan para tetamunya tinggal untuk "tujuan santai" kini diperintah supaya menggantung operasi selama 30 hari, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Ahad (18 Okt).

Lima lagi cawangan kedai makanan dan minuman (F&B) pula masing-masing didenda S$1,000 kerana melanggar langkah pengurusan keselamatan COVID-19, tambah agensi itu dalam satu kenyataan media.

Selain itu, 16 orang didenda kerana tidak memakai pelitup muka.

Menurut siasatan STB, Hawaii Hostel membenarkan lebih 260 tetamu menempah bilik untuk bersantai sejak 17 Sep.

Buat masa ini, hostel-hostel hanya dibenarkan menerima tetamu jika persekitaran rumah mereka tidak boleh diakses, atau sekiranya tempat tinggal mereka tidak sesuai disebabkan keadaan kerja atau domestik.

Hostel itu, yang terletak di 171A Bencoolen Street, juga sebelum ini membuat kenyataan palsu kepada duta-duta jarak selamat bahawa para pelanggan mereka adalah para penginap jangka panjang dan bukannya tetamu yang membuat tempahan bersantai, menurut STB.

Tambahan lagi, hostel itu gagal mencatat tujuan para tetamu menginap di sana, seperti diperlukan oleh Akta (Langkah-Langkah Sementara) COVID-19.

Hawaii Hostel akan menggantung operasi dari 11 Okt hingga 9 Nov, dan tidak dibenarkan menerima tempahan baru semasa tempoh ini.

5 CAWANGAN F&B DIDENDA DEK LANGGAR PERATURAN KESELAMATAN

Sebanyak lima cawangan F&B juga masing-masing didenda S$1,000 dari 8 Okt hingga 13 Okt kerana melanggar langkah-langkah keselamatan COVID-19, menurut STB dalam satu kenyataan.

Bagus Sio Good di Far East Plaza, Chuan Yang Ji Mutton Soup Steamboat di South Bridge Road, The Hot Gathering di Upper Cross Street dan Komala's Restaurant di Serangoon Road gagal memastikan jarak selamat 1 meter antara para pelanggan yang sedang duduk, menurut pihak berkuasa.

Sebuah lagi restoran, Beauty in a Pot di The Centrepoint, menerima tempahan untuk lebih lima orang, menurut STB. Para pegawai penguatkuasaan mendapati bahawa restoran itu membenarkan enam orang duduk di meja yang sama.

Antara 6 Okt hingga 14 Okt, STB juga mengeluarkan denda-denda - bernilai antara S$300 hingga S$1,000 - kepada 16 orang yang tidak memakai pelitup muka.

STB menambah bahawa dua lagi cawangan juga disiasat kerana melaksanakan perniagaan meskipun tidak dibenar berbuat demikian.

Pesalah-pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 kerana melanggar langkah-langkah COVID-19.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan