Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hospital tidak akan lagi peruntukkan wad khas buat pesakit COVID-19, kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
02:21 Min
Hospital tidak akan lagi peruntukkan wad khas buat pesakit COVID-19, kata Ong Ye Kung
Diterbitkan : 08 Nov 2022 02:03PM Dikemas Kini : 08 Nov 2022 09:02PM

SINGAPURA: Hospital-hospital tidak akan lagi memperuntukkan wad tertentu bagi menampung para pesakit COVID-19, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (8 Nov). 

Menarik perhatian kepada kadar vaksinasi yang tinggi dan tahap daya imun yang baik terhadap penyakit teruk dalam kalangan penduduk, Encik Ong berkata hospital harus dibenarkan untuk menilai para pesakit berdasarkan kemudaratan klinikal serta keutamaan bagi mendapatkan rawatan dan tidak menguruskan pesakit COVID-19 mengikut piawai yang berbeza. 

"Pendekatan kami untuk hidup bersama COVID-19 perlu diperluaskan kepada operasi hospital juga. Sudah tiba masanya kami mengambil pendekatan lebih longgar dan seimbang bagi peruntukan katil hospital," katanya. 

Berucap di Parlimen, Encik Ong berkata hospital-hospital akan meneruskan amalan semasa menggunakan katil pengasingan bagi pesakit yang mengalami penyakit berjangkit, termasuk COVID-19, sekiranya
dinilai dari segi klinikal sebagai mempunyai kecenderungan lebih tinggi menyebabkan jangkitan merebak.

"Pelonggaran ini penting bagi hospital-hospital kita untuk membantunya memanfaatkan penggunaan katil. Dalam keadaan kekurangan katil, ia akan memberi kesan ketara," kata Encik Ong. 

Encik Ong berkata sedemikian semasa menjawab pertanyaan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai langkah-langkah untuk menangani masalah kekurangan katil hospital yang berterusan.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa masa menunggu untuk kemasukan ke hospital melonjak kepada selama 50 jam di sesetengah hospital pada bulan lalu disebabkan jumlah tinggi pesakit di jabatan kecemasan awam (ED) di seluruh negara. 

Data terkini yang disediakan Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan bahawa masa menunggu median untuk dimasukkan ke wad dari jabatan kecemasan adalah antara satu jam hingga 21.7 jam untuk minggu yang berakhir pada 23 Oktober. 

Dalam kalangan hospital yang dipantau MOH, perangkaan terkini menunjukkan kadar penggunaan katil harian adalah antara 79.7 peratus hingga 98.7 peratus untuk minggu bermula dari 23 hingga 29 Oktober. 

Untuk mengurangkan lanjut kesesakan di jabatan kecemasan pada jangka pendek, Encik Ong berkata Singapura akan mengaktifkan lebih banyak Kemudahan Jagaan Peralihan (TCF). 

Sebagai kemudahan jagaan perantaraan, TCF boleh membantu membebaskan katil-katil akut di hospital apabila ia mengambil pesakit yang stabil dari segi perubatan dari hospital-hospital awam sementara mereka menunggu untuk dialihkan ke kemudahan jagaan jangka panjang atau pertengahan atau sehingga sudah dimuktamadkan bahawa mereka dibenarkan pulang.

Buat masa sekarang, terdapat tiga TCF yang beroperasi di bawah pengendali privet di wad-wad Hospital Masyarakat Sengkang, Expo Dewan 10 dan Hospital Crawfurd. Secara keseluruhan, ia mampu menampung sekitar 400 katil, kata Encik Ong. 

Beliau menambah perlu ada "kerjasama teguh" antara setiap TCF dan hospital awam supaya TCF yang dikendalikan secara privet mempunyai keyakinan untuk menerima pesakit yang dipindahkan dari hospital awam, dengan jaminan bahawa sekiranya ia memerlukan sebarang bantuan klinikal, hospital awam berkenaan akan menghulurkan tangan. 

Mengambil contoh TCF Hospital Masyarakat Sengkang - yang menjalin bekerjasama kukuh dengan Hospital Besar Sengkang (SKH), Encik Ong berkata lebih banyak hospital akan digandingkan dengan TCF. 

Ia termasuk Hospital Besar Changi (CGH) yang akan digandingkan dengan Expo Dewan 10, yang dikendalikan oleh Raffles Medical Group, serta antara Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dengan Hospital Crawfurd. 

Menteri itu menambah MOH sedang giat berusaha untuk membangunkan TCF baru di bahagian utara dan barat negara di mana masing-masing akan bekerjasama dengan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH). 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan