Hospital Tan Tock Seng jalin kerjasama dengan NTU, dakapi perubatan tradisional Cina dalam jagaan pesakit
Selepas diserang angin ahmar pada Julai lalu, Encik Tan Kay Chuan kini dalam proses pemulihan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) - dengan bantuan rawatan yang agak berbeza.
Lelaki berusia 60 tahun itu menerima rawatan akupunktur sebanyak dua kali seminggu sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya.
Amalan perubatan tradisional Cina (TCM) seperti itu mungkin menjadi sebahagian daripada rawatan pesakit dalam arus perdana di Singapura tidak lama lagi, di bawah satu inisiatif baharu yang bertujuan untuk menggabungkan amalan perubatan Timur dan Barat dalam sistem jagaan kesihatan negara.
Pada Khamis (9 Okt), TTSH memeterai kerjasama dengan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk meneroka bagaimana TCM dapat melengkapi perubatan Barat dalam bidang pengurusan kesakitan, pemulihan dan rawatan paliatif.
Hospital tersebut kini menawarkan pelbagai rawatan TCM seperti akupunktur dan bekam.
Ia kini sedang berusaha untuk menyepadukan rawatan tersebut dengan kaedah perubatan Barat agar ia menjadi sebahagian daripada pelan jagaan pesakit yang lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, kelompok jagaan kesihatan TTSH, iaitu NHG Health, sudah menyerahkan model perubatan integratif tersebut sebagai cadangan kepada ruang ujian yang dikawal selia Kementerian Kesihatan (MOH).
Sejak Januari tahun ini, MOH menjalankan ujian dan penilaian bagi 18 jenis rawatan TCM berasaskan bukti di hospital awam di bawah Inisiatif Ruang Ujian Integratif TCM. Rawatan tersebut termasuk akupunktur untuk migrain, pemulihan selepas angin ahmar dan penjagaan berkaitan barah.
MENGUJI MASA DEPAN TCM
Pengerusi Lembaga Perubatan (Penyelidikan) NHG Health, Profesor Benjamin Seet, berkata beliau berharap kerjasama antara TTSH dengan NTU dapat membuka laluan kepada pihak berkuasa untuk memperluas skim subsidi agar merangkumi lebih banyak jenis rawatan tradisional di klinik-klinik dan hospital-hospital awam.
Pada masa ini, subsidi hanya diberikan bagi rawatan akupunktur untuk sakit belakang dan leher.
“Saya fikir potensi rawatan ini jauh lebih luas daripada itu,” katanya kepada wartawan di Kongres Kesihatan dan Bioperubatan Singapura yang diadakan di Singapore Expo, di mana perkongsian TTSH-NTU diumumkan.
Menurut Prof Seet, ruang ujian tersebut akan membolehkan TTSH menguji dan mengumpul bukti klinikal berhubung kaedah rawatan yang lebih berkesan untuk pesakit.
“Ia mungkin melibatkan peluasan penggunaan akupunktur ke bidang lain. Ia mungkin melibatkan teknik lain seperti tuina atau akutekanan. Ia akhirnya juga mungkin melibatkan pemberian rawatan herba,” kata beliau.
“Kami mahu melaksanakannya dalam persekitaran yang dikawal ketat, supaya kami dapat mengumpul bukti untuk menentukan apa yang berkesan (dan) apa yang tidak berkesan. Akhirnya, bukti ini akan membimbing amalan klinikal pada masa depan.”
Pengarah Sains Bioperubatan dan Perubatan Cina NTU, Profesor Madya Linda Zhong, berkata universiti itu akan bekerjasama dengan doktor dan pakar kesihatan bersekutu di TTSH untuk menilai kesesuaian pesakit bagi rawatan TCM.
“(Kami kemudian akan) menentukan dalam keadaan apa rawatan akupunktur sesuai digunakan, berapa kerap ia perlu dilakukan, dan tempoh rawatan yang sesuai untuk pesakit. Ini bagi memastikan keselamatan pesakit, dan selepas itu kami boleh menilai keberkesanannya,” kata beliau.
PELAJAR NTU AKAN JALANI LATIHAN KLINIKAL
Mulai 2027, pelajar Perubatan Cina NTU juga akan menjalani latihan klinikal selama 13 minggu di hospital tersebut, selama tiga jam seminggu pada tahun akhir pengajian mereka.
Langkah itu bertujuan melatih generasi baharu pengamal TCM untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap rawatan yang menggabungkan perubatan Timur dan Barat.
Menurut tinjauan kesihatan penduduk nasional pada tahun 2022, seorang daripada lima orang dewasa di Singapura menggunakan TCM setiap tahun, dengan hampir 40 peratus daripada mereka turut menggabungkannya dengan rawatan Barat.
“Pelajar kami juga dilatih dalam sains bioperubatan dan perubatan Barat, serta diajar asas penyelidikan klinikal supaya mereka boleh menggunakan bahasa yang sama ketika menerangkan sejarah pesakit, diagnosis dan rawatan,” kata Prof Madya Zhang.
Setiausaha Agung Persatuan Doktor Cina Singapura, Teo Chun Yong, berkata beberapa rawatan TCM seperti bagi kesakitan kronik dan masalah kesuburan semakin mendapat sambutan.
Malah, pekerja hijrahan juga beralih kepada TCM untuk menguruskan kesakitan akibat kecederaan di tempat kerja agar mereka boleh sembuh dan kembali bekerja dengan lebih cepat, katanya.
Di Institusi Perubatan Chung Hwa, yang berperanan sebagai ibu pejabat persatuan itu dan menempatkan klinik TCM, para pengamal kini menggunakan alat diagnostik moden untuk pemeriksaan lidah dan denyutan nadi, jelas Encik Teo.
Langkah itu diambil bagi menyahut seruan pemerintah agar lebih banyak rawatan TCM dilaksanakan berdasarkan bukti saintifik.
“Saya (tidak fikir) kita perlu mengubah segalanya dalam sekelip mata dan berkata: 'Anda mesti terima TCM',” kata Encik Teo kepada program "Singapore Tonight" terbitan Mediacorp.
“Saya fikir apa yang boleh kita lakukan adalah mencari titik persamaan supaya kita dapat bekerjasama demi kebaikan pesakit."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.