Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hospital SG boleh arah pesakit pulang jika bertindak kasar, tidak perlukan bantuan perubatan mendesak

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital SG boleh arah pesakit pulang jika bertindak kasar, tidak perlukan bantuan perubatan mendesak

(Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 17 Mar 2023 03:08PM Dikemas Kini : 17 Mar 2023 03:16PM

SINGAPURA: Sebuah kumpulan kerja tiga pihak pada Jumaat (17 Mac) meminta  agar tindakan jelas diambil terhadap individu yang mengganggu pekerja jagaan kesihatan.

Ini termasuk  mengarah pesakit yang bertindak kasar dan tidak memerlukan rawatan perubatan yang mendesak supaya meninggalkan hospital. 

Selain itu, memberi amaran kepada pelaku, menolak permintaan yang tidak munasabah atau menghalang penjaga atau pelawat yang bertindak kasar  daripada memasuki premis berkenaan. 

Kumpulan kerja yang ditubuhkan pada April tahun lalu itu, turut menyarankan ditetapkan protokol aduan yang berkesan serta struktor sokongan bagi memberikan pekerja jagaan kesihatan keyakinan dan jaminan untuk membuat aduan mengenai sebarang kejadian  gangguan dan penderaan. 

"Lebih banyak harus dilakukan untuk menghentikan penganiayaan dan gangguan. Jadi, akibat daripada perbuatan itu  akan bertindak sebagai satu pencegahan dan pekerja jagaan kesihatan rasa dilindungi hasil dasar antipenderaan dan gangguan yang kukuh," menurut Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pencegahan Penderaan dan Gangguan Pekerja Jagaan Kesihatan. 

KADAR PENDERAAN & GANGGUAN TINGGI

Saranan itu dibuat selepas mendapatkan maklum balas  daripada lebih 3,000 pekerja jagaan kesihatan dan 1,500 orang awam menerusi tinjauan dan perbincangan kumpulan fokus yang diadakan pada separuh kedua tahun lalu. 

Kumpulan kerja itu mendapati lebih daripada dua dalam tiga pekerja jagaan kesihatan menyaksikan atau mengalami penderaan atau gangguan sepanjang tahun lalu. Sekitar sepertiga daripada semua pekerja jagaan kesihatan menyaksikan atau mengalami penderaan sekurang-kurangnya satu kali dalam seminggu. 

Pekerja jagaan kesihatan barisan hadapan, seperti ahli farmasi, pekerja khidmat pesakit dan jururawat, lebih berkemungkinan mengalami penderaan dan gangguan. 

Jenis penderaan dan gangguan yang paling biasa berlaku adalah dipekik, menerima kata-kata kesat dan diugut oleh pesakit dan penjaga untuk memfailkan aduan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja jagaan kesihatan. 

Pesakit dan klien (41 peratus) membentuk hampir separuh kes penderaan dilihat atau dialami pekerja jagaan kesihatan yang ditinjau, diikuti oleh penjaga dan pelawat (28 peratus). 

Perbuatan buli di tempat kerja dan gangguan oleh rakan sekerja dan penyelia membentuk 31 peratus daripada kes sedemikian. Ia biasanya dialami pekerja baru atau kakitangan lebih muda. Walaupun biasanya penderaan itu dilakukan menerusi kata-kata kesat, terdapat juga insiden penderaan fizikal dan gangguan seksual, menurut kumpulan kerja tersebut. 

"Kadar penderaan dan gangguan di semua premis jagaan kesihatan agak tinggi, termasuk penderaan secara lisan, fizikal, seksual dan online," menurut kumpulan kerja itu semasa menyimpul hasil dapatan dan kesan tinjauannya. 

Tambahnya, pekerja jagaan kesihatan kadangkala berkata penderaan dan gangguan itu satu kebiasaan sebagai sebahagian tugas mereka, yang menyebabkan mereka tidak menganggap sesetengah kelakuan itu sebagai satu penderaan atau gagal mengambil tindakan susulan. 

Tanggapan negatif berhubung proses membuat aduan - seperti memfailkan laporan di luar waktu bekerja, tindakan yang diambil terhadap pelaku dan bagaimana mereka akan dilihat oleh penyelia dan rakan sekerja - merupakan satu lagi faktor di sebalik kadar aduan penderaan dan gangguan yang "lebih rendah" berbanding yang sebenarnya berlaku. 

Menyifatkan hasil dapatan itu sebagai membimbangkan, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, jagaan kesihatan merupakan satu pekerjaan yang sebahagian besarnya dihormati, tetapi masih terdapat "segelintir masyarakat awam" yang tidak menunjukkan kelakuan baik terhadap pekerja jagaan kesihatan. 

"Mereka akan menuntut supaya pekerja jagaan kesihatan melakukan perkara yang tidak munasabah, dan kemudian mengugut atau mengatakan kata-kata kesat kepada mereka apabila tidak dapat apa yang mereka inginkan," kata Encik Ong dalam  satu sesi mendampingi pekerja mengenai menyokong pekerja jagaan kesihatan. 

"Meskipun jumlahnya sedikit, ia cukup untuk menjejas semangat (pekerja) dengan ketara," tambahnya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan