Hospital SG bergelut penuhi permintaan bagi pakar radiografi, ahli farmasi di tengah kekurangan pekerja jagaan kesihatan
SINGAPURA: Sesetengah peranan penting dalam khidmat jagaan kesihatan di Singapura, seperti jururadiografi dan ahli farmasi, kekurangan tenaga kerja, menurut beberapa hospital privet.
Keadaan semakin memburuk sejak pandemik COVID-19, dengan institusi-institusi jagaan kesihatan terpaksa menangani kekurangan jururawat dan karyawan kesihatan bersekutu.
Para pemain industri berkata kekurangan itu disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk penduduk yang semakin menua, teknologi baharu dan pengembangan infrastruktur jagaan kesihatan.
Sedang negara meningkatkan komitmennya terhadap khidmat jagaan kesihatan bersifat pencegahan, kehidupan sihat, dan pemeriksaan awal, peningkatan pada permintaan untuk peranan tersebut menyumbang kepada masalah kekurangan tenaga manusia.
"Buat masa ini, selain jururawat, kami sedang mencari jururadiografi, serta pakar sonografi dan ahli farmasi,” kata ketua pegawai IHH Healthcare Singapore Gan Kian Keong.
KARYAWAN KESIHATAN BERSEKUTU SEDANG DILATIH
Untuk menangani masalah kekurangan tenaga kerja, institusi-institusi pendidikan sedang berusaha untuk melatih karyawan kesihatan bersekutu untuk menyertai kira-kira 7,000 yang bertugas di Singapura sekarang ini.
Bagi program sarjana muda sains dengan kepujian selama empat tahun di Institut Teknologi Singapura (SIT) yang menawarkan program Radiografi Diagnostik, para pelajar akan belajar menghasilkan imej perubatan tubuh manusia, yang biasanya digunakan untuk mendiagnosis atau merawat penyakit atau kecederaan.
Profesor Madya Sharon Wong, ketua program tersebut, berkata walaupun tidak ada kekurangan pada jumlah pemohon setiap tahun, namun ia tetap mencabar untuk menyenarai pendek calon-calon yang berkaliber.
CABARAN MEMIKAT DAN MENGEKALKAN KAKITANGAN
Industri jagaan kesihatan juga mempunyai cabaran-cabarannya yang tersendiri.
Pelajar tahun ketiga Cik Lerene Tong berkata bahawa ramai rakan sekerjanya kerap terpaksa mengimbangi beban pesakit yang berat, dengan keletihan.
Beliau berharap lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk menarik dan mengekalkan bakat dalam sektor itu, seperti menggalak sikap yang lebih menghormati terhadap karyawan jagaan kesihatan dan persekitaran kerja yang lebih baik termasuk lebih banyak waktu rehat.
KEKURANGAN JURURAWAT
Kekurangan bakat untuk mengisi peranan-peranan penting ini menimbulkan tekanan ke atas hospital tatkala jururawat sudahpun kekurangan bekalan.
Untuk mengatasinya, para penyedia khidmat dan pengendali jagaan kesihatan terpaksa mencari bakat dari luar negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.