Skip to main content

Singapura

Hospital Raffles jalankan ujian COVID-19 percuma ekoran barisan panjang di pusat saringan

Pihak berkuasa kesihatan menyatakan pada Rabu (5 Mei) bahawa pihaknya mendapatkan khidmat dari Hospital Raffles bagi menjalankan ujian swab COVID-19 secara percuma setelah ribuan orang mengunjungi empat pusat penyaringan daerah pada Isnin (3 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital Raffles jalankan ujian COVID-19 percuma ekoran barisan panjang di pusat saringan

Petikan dari Google Maps.

Diterbitkan : 05 May 2021 06:32PM Dikemas Kini : 05 May 2021 06:35PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa kesihatan menyatakan pada Rabu (5 Mei) bahawa pihaknya mendapatkan khidmat dari Hospital Raffles bagi menjalankan ujian swab COVID-19 secara percuma setelah ribuan orang mengunjungi empat pusat penyaringan daerah pada Isnin (3 Mei), apabila ujian awam terhadap mereka yang mungkin terdedah kepada kelompok jangkitan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) bermula.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menyatakan mereka yang berada di tempat-tempat yang dikunjungi kes-kes TTSH semasa tempoh berjangkit mereka boleh terus ke hospital swasta itu di North Bridge Road bagi menjalani ujian percuma sehingga 16 Mei.

Jawapan bersama daripada MOH dan HPB menyatakan terdapat "minat mendalam" dalam kalangan mereka ini untuk menjalani ujian di klinik-klinik jenis "swab dan hantar pulang" dan di empat pusat penyaringan daerah di Bishan, Ang Mo Kio, Pasir Ris dan Jurong East pada hari pertama ujian untuk orang awam dijalankan pada 3 Mei.

Ini antara lain disebabkan oleh cuti sempena Hari Buruh yang jatuh pada 3 Mei, menurut MOH dan HPB.

Kesemuanya sekitar 1,500 ujian swab dijalankan bagi individu-individu ini, menurut kedua-dua agensi itu.

"Dengan kadar tinggi pengambilan ujian swab dalam kalangan individu-individu ini, pusat penyaringan daerah telah meningkatkan keupayaan dan melanjutkan waktu operasi pada 3 Mei, termasuk terus beroperasi pada waktu makan tengah hari supaya dapat melakukan ujian swab ke atas lebih ramai individu," menurut kenyataan itu.

Bagi "meningkatkan lagi keupayaan ujian", pihak berkuasa mendapatkan khidmat dari Hospital Raffles untuk menjalankan ujian itu, tambahnya.

Pada Isnin (3 Mei), Mediacorp melaporkan waktu menunggu giliran pada sebelah pagi adalah antara tiga dengan lima jam di pusat-pusat di Ang Mo Kio, Pasir Ris dan Bishan dengan orang ramai beratur sejauh lebih 200 meter dari sesetengah pusat penyaringan.

Sebahagian daripada mereka diberikan jadual untuk menjalani ujian swab, namun menjelang waktu tengah hari, ramai yang diberitahu supaya kembali ke sana pada hari yang lain kerana slot sudah kehabisan.

Para kakitangan di pusat-pusat ujian memberitahu Mediacorp bahawa mereka mendapatinya sukar untuk menguruskan barisan orang ramai yang beratur dan melaksanakan jarak selamat 1 meter antara para mereka.

MOH dan HPB menyatakan: "Bagi memastikan langkah pengurusan selamat terus dipatuhi dan mengurangkan kesesakan, nombor giliran dibahagikan di pusat-pusat itu supaya para individu boleh kembali ke pusat penyaringan daerah itu pada kemudian hari atau pada hari yang lain untuk menjalani ujian swab mereka."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita