Skip to main content

Singapura

Hospital privet SG akan kongsi rekod kesihatan pesakit dengan NEHR mulai 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital privet SG akan kongsi rekod kesihatan pesakit dengan NEHR mulai 2025

(Gambar hiasan: iStock/BongkarnThanyakij)

Diterbitkan : 09 Nov 2024 03:44PM Dikemas Kini : 09 Nov 2024 03:45PM
SINGAPURA: Kesemua sembilan hospital swasta di Singapura tidak lama lagi akan berkongsi rekod kesihatan pesakit masing-masing di platform nasional untuk memastikan kesinambungan penjagaan yang lebih baik bagi pelbagai penyedia khidmat jagaan kesihatan, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (9 Nov).

Sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR), yang diperkenalkan pada 2011, berfungsi sebagai pusat repositori untuk data kesihatan penting seperti diagnosis, ubat-ubatan, alahan dan laporan makmal.

Ia bermatlamat mengurangkan keperluan untuk para pesakit mengulangi sejarah perubatan mereka kepada pelbagai penyedia jagaan kesihatan atau menjalani ujian ulangan.

Hospital-hospital awam, yang mengendalikan 90 peratus beban kerja hospital akut di Singapura, sudah menggunakan NEHR, bersama dengan penyedia jagaan asas seperti poliklinik dan klinik doktor swasta (GP) atas inisiatif SG Lebih Sihat.

“Semua hospital privet kini juga komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Synapxe bagi memastikan sistem pengurusan hospital mereka bersedia untuk disepadukan dengan NEHR dan menyumbang maklumat kesihatan pada 2025,” menurut kementerian itu.

Synapxe ialah agensi teknologi kesihatan kebangsaan.

Untuk melindungi data pesakit, penyedia khidmat jagaan kesihatan yang menyumbang kepada atau mengakses NEHR mesti memenuhi syarat-syarat keselamatan siber dan data yang "teguh", menurut MOH.

“Ini termasuk langkah-langkah untuk melindungi maklumat kesihatan melalui kemas kini sistem dan perisian yang kerap dan tepat pada masanya, di samping melengkapkan para kakitangan dengan amalan-amalan siber, serta pelaporan wajib bagi insiden-insiden keselamatan siber dan pencerobohan data,” tambah kementerian itu.

MOH merancang untuk memperkenalkan undang-undang untuk mewajibkan sumbangan kepada NEHR.

Rang Undang-Undang Maklumat Kesihatan dijangka akan diluluskan di Parlimen tahun depan. "(Rang Undang-Undang) juga akan mewujudkan rangka kerja untuk mentadbir pengumpulan, akses, penggunaan dan perkongsian maklumat kesihatan yang selamat di seluruh ekosistem penjagaan kesihatan," tegas MOH.

Kumpulan-kumpulan hospital privet termasuk Hospital Farrer Park dan Raffles Medical menyatakan mereka sedang menyediakan sistem untuk berkongsi data dengan NEHR.

IHH Healthcare Singapore, yang menguruskan hospital-hospital seperti Gleneagles, Mount Elizabeth dan Parkway East, menyatakan bahawa ia menepati sasaran untuk memenuhi syarat-syarat teknikal dan keselamatan siber untuk menyertai NEHR pada 2025.

“Kami komited untuk menyediakan rangkaian jagaan kesihatan kami yang luas untuk disumbangkan kepada NEHR dan sudahpun memulakan perjalanan NEHR kami seawal 2018,” kata Encik Yong Yih Ming, Ketua Pegawai Operasi IHH Healthcare Singapore.

Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Medical Lee Suen Ming berkata kumpulan jagaan kesihatan itu tidak sabar untuk memainkan peranan melalui NEHR, sambil menambah bahawa ia telah meningkatkan sistem rekod perubatan elektroniknya sendiri sejak 2023.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita