Skip to main content

Singapura

Hospital privet baharu berdasarkan tender tanah harga tetap dirancang di timur SG

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital privet baharu berdasarkan tender tanah harga tetap dirancang di timur SG

Gambar hiasan. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 09 Apr 2026 02:17PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 02:27PM
Singapura: Pemerintah merancang untuk melepaskan sebuah tapak di bahagian timur Singapura untuk sebuah hospital akut privet bukan untuk keuntungan yang baharu, yang akan diletakkan di bawah pendekatan tender tanah harga tetap, menyediakan satu lagi pilihan kos rendah untuk jagaan kesihatan privet.

Ia akan menjadi pelepasan tanah pertama untuk sebuah hospital privet dalam hampir dua dekad jika pemerintah meneruskan rancangannya, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (9 Apr).

Hospital ini boleh menampung 300 hingga 400 katil, tambah Encik Ong, semasa menyampaikan ucapan sempena ulang tahun ke-65 Hospital Mount Alvernia - satu-satunya hospital akut privet bukan untuk keuntungan di Singapura.

"Di bawah model sedemikian, para pembida kemudian akan bersaing bukan berdasarkan berapa banyak mereka bersedia untuk membayar tanah tersebut, tetapi faktor kualitatif lain, seperti model jagaan mereka, kecekapan kos, pendekatan untuk merekrut dan membangunkan tenaga kerja, dan komitmen serta dasar mereka terhadap jagaan kesihatan yang dimampui," kata Encik Ong, mengenai model harga tetap.

Selain itu, pemerintah juga akan melaksanakan sekatan ke atas saiz bil, supaya bil hospital adalah "sebahagian kecil pasaran dan tidak boleh menerajui pasaran".

Pada 2024, Singapura mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan model hospital akut privet bukan untuk keuntungan yang baharu untuk melengkapi penjagaan kesihatan awam dengan lebih baik dan meningkatkan pilihan penduduk untuk penjagaan kesihatan privet kos rendah.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengundang para pengendali khidmat jagaan kesihatan privet untuk menyertai rundingan industri untuk model tersebut.

Encik Ong berkata pada Khamis (9 Apr) bahawa peningkatan kos hospital privet sebahagiannya didorong oleh perlindungan insurans tambahan yang terlalu murah hati selama ini, yang menggalakkan pesakit dan penyedia perkhidmatan untuk menggunakan khidmat penjagaan kesihatan secara berlebihan.

Perlindungan insurans yang kukuh juga menyokong model operasi hospital privet yang menjurus ke arah penjagaan yang lebih mahal.

"Kali terakhir pemerintah membuka tender tanah untuk hospital privet adalah kira-kira 20 tahun yang lalu. Tanah itu diperolehi dengan harga bidaan yang tinggi dan hari ini kita mempunyai hospital privet mewah yang menduduki tanah tersebut," katanya.

"Dalam proses itu, penjagaan kesihatan awam juga kehilangan ramai karyawan penjagaan kesihatan yang baik kepada hospital privet, yang mana satu pengalaman yang memeritkan. Pengalaman itu telah menjadikan Kementerian Kesihatan (MOH) sangat berhati-hati tentang mempunyai lebih banyak hospital privet."

RESPONS MENGGALAKKAN

MOH telah mengadakan rundingan dengan banyak pihak berkepentingan mengenai hospital privet bukan untuk keuntungan, kata Encik Ong.

"Kami mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada bakal pengendali dan penderma serta dermawan yang berminat. Saya percaya kita boleh menjadikan projek ini satu projek yang baik yang akan mengukuhkan ekosistem penjagaan kesihatan, dan melibatkan ramai pihak berkepentingan di luar penjagaan kesihatan awam."

"Masih terdapat beberapa isu penting yang perlu ditangani, dan saya berharap kita dapat mencapai keputusan pada separuh kedua tahun ini, untuk melancarkan tender," tambahnya.

Pemerintah telah memperkenalkan langkah-langkah dalam usaha untuk membendung peningkatan premium insurans dan kos penjagaan kesihatan privet.

Bulan ini, syarikat-syarikat insurans kesihatan privet melancarkan satu set perlindungan tambahan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu yang baharu, dengan pengurangan premium antara 16 dan 55 peratus, selaras dengan keperluan baharu MOH untuk perlindungan tambahan yang lebih berpatutan.

Mei lalu, MOH dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan pendekatan tender baharu untuk klinik am di Bartley Beacon. Di bawah pendekatan baharu ini, mutu penjagaan akan menyumbang 70 peratus daripada penilaian tender, dan sewa akan menyumbang 30 peratus.

Ia berlaku selepas sebuah syarikat penjagaan kesihatan membuat bidaan sewa bulanan yang berjaya sebanyak S$52,188 di Tampines.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita