Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hospital Ng Teng Fong lancarkan klinik baru bagi kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Para ibu bapa di kawasan barat negara kini mempunyai satu lagi pilihan bagi keperluan kesihatan anak-anak mereka.

Sebuah klinik kanak-kanak baru dilancarkan di Hospital Besar Ng Teng Fong pada Sabtu (18 Mac).

Ia bertujuan untuk menampung permintaan yang meningkat seiring dengan jumlah keluarga muda yang bertambah di kawasan berkenaan.

Klinik Kanak-kanak NUWoC @ NTFGH itu menawarkan khidmat rawatan pediatrik buat pesakit bayi sehingga remaja berumur 16 tahun.

Ia dirasmikan oleh Setiausaha Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam.
(Gambar: Ng Teng Fong Hospital)
LEBIH BANYAK PILIHAN UNTUK DAPATKAN RAWATAN PEDIATRIK BUAT ANAK

Pembukaan klinik kanak-kanak itu melegakan banyak ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang menetap di daerah Jurong.

Ini termasuk pasangan Encik Muhammad Nasiruddin, 34 tahun dan Cik Nurul Fadhilah, 33 tahun.
(Gambar: Nurfazirah Azman)

"Dengan pembukaan klinik ini, penduduk di sebelah barat Singapura diberikan pilihan sama ada mereka mahu ke NUH, Bukit Panjang UCC ataupun Ng Teng Fong. Langkah-langkah sebegini mengurangkan masa menunggu dan juga rasa keresahan ketika menjaga anak-anak mereka. Mereka boleh membawa anak-anak pulang ke rumah untuk mendapatkan rehat yang lebih bermutu," ujar Encik Muhammad Nasiruddin.

Anak lelakinya, Thufa’il Muhammad Nasiruddin, 6 tahun dan anak perempuannya, Aa’fiyah Muhammad Nasiruddin, 3 tahun, mendapatkan rawatan buat sakit semput dan jangkitan kuman di klinik berkenaan.

BERI TUMPUAN KEPADA TUMBESARAN, PEMAKANAN & PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Klinik yang dikelolakan oleh pakar-pakar pediatrik itu dibuka sejak 20 Februari lepas dan sudah merawat 200 pesakit setakat ini.

(Gambar: Ng Teng Fong Hospital)
"Klinik ini akan memberi tumpuan lebih teliti dalam bidang tumbesaran, pemakanan dan perkembangan kanak-kanak. Di sini, kita juga akan menawarkan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang cerewet dalam pemilihan makanan, kanak-kanak dan remaja yang menghidapi masalah obesiti, penyakit alahan dan pelbagai lagi penyakit kanak-kanak am," kata Dr Nicholas Ng, Perunding, Pediatrik di NTFGH.

Selain itu, ibu bapa juga tidak perlu buat janji temu untuk mendapatkan rawatan di klinik itu.

"Klinik kita boleh dikunjungi pesakit dari beberapa segi, termasuk pelanggan 'walk-in' dan juga pesakit yang dirujuk daripada bilik kecemasan, poliklinik doktor keluarga dan juga daripada NUH. Klinik baru ini akan mempunyai laluan penjagaan yang lancar terutamanya kerana kita berkongsi perkhidmatan serta sistem rekod yang antara NUH dan NUP," tambah Dr Nicholas Ng.
(Gambar: Ng Teng Fong Hospital)
SISTEM REKOD DI BAWAH 'ONE CARE PLAN'

Sistem rekod pesakit bersepadu Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) di bawah 'One Care Plan' merangkumi rekod pesakit daripada NTFGH, Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Poliklinik Universiti Nasional (NUP).

Ia membolehkan pakar pediatrik di NTFGH untuk menyemak rekod-rekod pesakit dengan lebih mudah.

Selain itu, pesakit yang dirujuk dari Jabatan Kecemasan (ED), poliklinik atau melalui doktor keluarga (GP) CHAS akan terus menerima rawatan bersubsidi.
(Gambar: Ng Teng Fong Hospital)

ACARA 'HEALTH ON TRACK' BERI PANDUAN GAYA HIDUP LEBIH SIHAT

Perasmian klinik tersebut bersamaan dengan acara tahunan "Health On Track (HOT)" yang dianjurkan NTFGH dan Hospital Masyarakat Jurong (JCH).

Ia merupakan edisi keempat dan diadakan pada skala terbesar tahun ini dengan acara diadakan buat tiga hari iaitu pada 11, 18 dan 25 Mac.

Antara kegiatan yang disediakan memaparkan kesejahteraan di rumah dan di dalam masyarakat dengan tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan untuk keluarga melalui gaya hidup untuk kekal sihat serta mencegah penyakit kronik.

"Saya gembira sekali dapat terus bekerjasama dengan Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Masyarakat Jurong kerana mereka memainkan satu peranan penting dalam masyarakat kita untuk terus membina infrastruktur bagi penduduk di sini," kata Setiausaha Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam.

(Gambar: Nurfazirah Azman)
Lebih 300 penduduk kawasan barat Singapura, pemimpin akar umbi, pesakit dari NTFGH dan JCH hadir untuk memeriahkan lagi acara tersebut.

"Kita juga ada acara 'Health on Track' yang telah memberikan maklumat dan pelbagai aktiviti untuk penduduk di kawasan barat, ini memberikan mereka sedikit panduan juga saluran di mana mereka dapatkan informasi untuk perbaiki gaya hidup mereka," tambah beliau.

Cik Rahayu juga berharap usaha sama ini dapat diteruskan dalam masa akan datang dan diperkenalkan di lebih banyak kawasan di barat negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan