Hospital Mount Elizabeth bukan yang termahal, berdasarkan semakan Mediacorp
Walaupun terkenal dengan harga premium yang dikenakan, hospital Mount Elizabeth tidak sentiasa mengenakan bayaran paling tinggi dalam kalangan penyedia jagaan kesihatan swasta di Singapura, berdasarkan semakan Mediacorp terhadap data bil perubatan.
Pemandangan Hospital Mount Elizabeth (Orchard) (kiri) dan Hospital Mount Elizabeth Novena. (Gambar: Laman web Hospital Mount Elizabeth)
Berdasarkan bayaran yang biasanya dikenakan bagi 10 prosedur perubatan yang sering dilakukan seperti yang disenaraikan di portal perbandingan kos Kementerian Kesihatan (MOH), Mount Elizabeth hanya berada di kedudukan teratas bagi tiga kes. "Bil biasa" merujuk kepada kos median yang dibayar pesakit pada 2023.
Walaupun Hospital Mount Alvernia didapati lebih murah dalam beberapa kes, ia dikecualikan daripada perbandingan Mediacorp kerana hospital tersebut beroperasi sebagai sebuah institusi bukan untuk mengaut keuntungan.
Dalam tiga kes di mana Mount Elizabeth mengenakan bayaran paling tinggi, Mount Elizabeth Novena mengenakan bayaran 5.1 peratus lebih tinggi bagi artroskopi lutut, 11.3 peratus lebih tinggi bagi pembedahan hernia dan 38.2 peratus lebih tinggi bagi pembedahan apendiks berbanding hospital swasta paling mahal berikutnya.
Namun, data yang sama menunjukkan bahawa Mount Elizabeth tidak semestinya pilihan yang paling mahal. Sebagai contoh, prosedur pemeriksaan usus besar pada siang hari dan pembedahan kecil pada iris mata di Mount Elizabeth Orchard dan Novena adalah lebih murah berbanding beberapa hospital swasta lain.
Syarikat insurans Great Eastern mengumumkan pada Selasa (17 Jun) bahawa ia sudah menghentikan pengeluaran sijil pra-kebenaran bagi pemegang polisi yang dimasukkan ke dua hospital Mount Elizabeth. Sijil tersebut masih tersedia bagi hospital dan pusat pembedahan siang hari yang lain.
Pra-kebenaran merujuk kepada kelulusan awal syarikat insurans untuk menampung kos rawatan perubatan.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami mendapati bahawa beberapa hospital swasta mengenakan bayaran jauh lebih tinggi berbanding yang lain bagi rawatan yang sama, hasil klinikal yang sama, tahap kerumitan yang serupa, dan juga bagi prosedur yang kurang rumit,” kata syarikat insurans itu sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp pada Khamis.
“Perbezaan kos keseluruhan bil biasanya antara 20 hingga 30 peratus, tetapi ada kalanya lebih tinggi dalam beberapa kes.”
Berdasarkan data MOH, bayaran yang biasanya dikenakan terhadap pesakit yang menjalani artroskopi lutut – satu prosedur pembedahan untuk mendiagnosis masalah pada sendi lutut – di Mount Elizabeth Novena adalah S$22,559, manakala di Mount Elizabeth Orchard bayarannya ialah S$22,208. Bayaran yang dikenakan Hospital Gleneagles iaitu S$21,456 adalah lebih murah.
Bagi pembedahan membuang apendiks, Mount Elizabeth Novena mengenakan bayaran S$30,808 berbanding S$22,297 di Hospital Raffles. Untuk pembedahan hernia, Mount Elizabeth Novena mengenakan bayaran S$35,944, iaitu lebih tinggi daripada bayaran S$32,288 yang dikenakan Hospital Gleneagles.
Sebaliknya, pembedahan kecil pada iris mata untuk merawat glaukoma adalah lebih murah di Mount Elizabeth Orchard (S$2,367) dan Novena (S$2,602) berbanding Farrer Park (S$3,874).
Selain data MOH, Mediacorp turut menyemak bil terperinci daripada Mount Elizabeth Orchard, Parkway East dan Gleneagles sepanjang dua tahun lalu. Mount Elizabeth mengenakan bayaran sedikit lebih tinggi bagi perkakas biasa seperti alas kebersihan dan suntikan lignokain (1.7 hingga 7.7 peratus lebih tinggi), tetapi lebih murah bagi perkakas lain seperti elektrod ECG.
Mount Elizabeth Orchard dan Novena dikendalikan oleh IHH Healthcare Singapore, penyedia jagaan kesihatan swasta terbesar di negara ini. Hospital lain di bawah IHH – termasuk Gleneagles dan Parkway East – tidak terkesan oleh penggantungan sijil pra-kebenaran oleh Great Eastern.
Mediacorp sudah menghubungi IHH dan Great Eastern untuk mendapatkan ulasan mereka mengenai perbezaan harga tersebut.
Dalam jawapannya, IHH mengatakan bahawa perbandingan saiz bil biasa dalam kalangan hospital-hospital dan menafsirkannya secara “zahirnya sahaja” adalah “terlalu mudah” dan “mengelirukan” dalam menggambarkan nilai dan kemampuan setiap hospital.
"Jadual Prosedur Pembedahan adalah senarai prosedur yang disusun dengan memberi tumpuan kepada tujuan dan hasil prosedur pembedahan. Ia tidak mencerminkan laluan akses pembedahan atau teknologi, kemudahan dan peralatan yang digunakan. Ia juga tidak mencerminkan kepakaran dan kemahiran pengamal jagaan kesihatan yang terlibat," kata jurucakap IHH.
Jurucakap itu juga berkata bahawa kedua-dua hospital Mount Elizabeth, disebabkan tahap "kelengkapan dan keupayaan" mereka, cenderung untuk menerima kes yang lebih rumit merentasi semua kepakaran, kerana para doktor juga membuat "pilihan aktif" dalam menempatkan pesakit berdasarkan kepentingan klinikal terbaik mereka.
“Oleh itu, adalah wajar purata bil di dua hospital ini lebih tinggi berbanding kemudahan lain,” tambah jurucakap itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.