Skip to main content

Singapura

Hospital masyarakat awam pertama SG dijadikan rumah jagaan psikiatri

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital masyarakat awam pertama SG dijadikan rumah jagaan psikiatri

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 09 Jul 2024 06:42PM

SINGAPURA: Hospital Masyarakat Bright Vision di Hougang tidak lama lagi akan dijadikan sebagai sebuah rumah jagaan psikiatri untuk memenuhi keperluan masa depan bagi khidmat penjagaan di rumah tumpangan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Kemudahan dengan sebanyak 318 katil, yang merupakan hospital masyarakat awam pertama di Singapura, dijangka akan meningkatkan kapasiti katil psikiatri sebanyak kira-kira 20 peratus.

Walaupun MOH tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu, para pakar berkata ia boleh direka untuk menampung pelbagai jenis keadaan psikiatri.

Ia akan menjadi salah satu daripada dua rumah jagaan psikiatri yang dirancang sebagai sebahagian daripada Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Nasional yang diumumkan pada tahun lalu.

Mediacorp difahamkan bahawa sebuah lagi rumah jagaan yang baharu akan dibangunkan daripada kemudahan jagaan kesihatan yang tidak lagi digunakan buat masa ini.

Hospital Masyarakat Bright Vision, yang terletak di Yio Chu Kang Road, telah ditukar menjadi kemudahan jagaan COVID-19 semasa pandemik. Ia tidak lagi digunakan pada masa ini.

Ia dibuka pada 2001 tetapi pemilikannya telah diserahkan kepada SingHealth - kumpulan institusi penjagaan kesihatan terbesar di Singapura - sedekad kemudian disebabkan oleh cabaran-cabaran pengurusan.

Apabila ia diubah menjadi sebuah rumah jagaan psikiatri, mungkin terdapat wad untuk orang dewasa yang lebih tua dengan demensia serta bagi mereka yang kurang upaya pembelajaran dan jenis penurunan kognitif yang lain, kata Profesor Madya Andy Ho, ketua psikologi di Sekolah Sains Kemasyarakatan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

KAPASITI SEDIA ADA

Pada masa ini terdapat lapan rumah jagaan yang menyediakan katil-katil psikiatri di Singapura, dengan jumlah kapasiti kira-kira 1,400 katil psikiatri.

Ini termasuk Rumah Jagaan St Andrew, Sunlove Home dab Surya Home, yang terletak di sekitar Buangkok.

MOH menyatakan pada Oktober tahun lalu bahawa selain dua rumah jagaan psikiatri yang baharu, ia akan membangunkan sebuah rumah pemulihan psikiatri.

Pakar kesihatan awam Jeremy Lim berkata Institut Kesihatan Mental (IMH), yang menyediakan hampir 2,000 katil psikiatri, tidak cukup untuk memenuhi keperluan semasa.

Profesor Madya Ho menarik perhatian bagaimana kesedaran kesihatan mental telah meningkat dalam masyarakat, dengan lebih ramai orang mendapat diagnosis dan menerima sokongan.

"Justeru, saya menjangkakan permintaan bagi kemudahan sedemikian akan meningkat pada masa akan datang," tambahnya.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita