Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hospital masih terlalu sibuk; pekerja jagaan kesihatan hadapi "tekanan hebat", kata Ong Ye Kung

Biarpun terdapat "petanda baik"bahawa gelombang Omicron sudah mencapai kemuncaknya, hospital dan klinik awam masih lagi amat sibuk dengan pekerja jagaan kesihatan berada di bawah "tekanan hebat", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (11 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital masih terlalu sibuk; pekerja jagaan kesihatan hadapi "tekanan hebat", kata Ong Ye Kung

Jabatan Kecemasan di Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Biarpun terdapat "petanda baik" bahawa gelombang Omicron sudah mencapai kemuncaknya, hospital dan klinik awam masih lagi amat sibuk dengan pekerja jagaan kesihatan berada di bawah "tekanan hebat", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (11 Mac).

Bercakap di sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19, Encik Ong berkata jumlah purata kes tempatan COVID-29 buat tujuh hari mencatatkan paras kemuncak pada 26 Februari lalu dengan sekitar 18,300 kes.

Sedari itu, jumlah kes merosot "dengan stabil dan secara bertahap-tahap" kepada sekitar 16,300 setakat Khamis.

Beliau menambah kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 0.93.

“Ini bermakna jika ia kekal pada 0.93, dalam tempoh empat hingga lima minggu, jumlah kes akan kurang sebanyak separuh. Tetapi kami menjangkakan nisbah mingguan akan terus merosot pada hari-hari akan datang," ujarnya.

Pihak berkuasa juga berharap jumlah kes harian yang merosot itu akan berlaku lebih cepat pada hari-hari mendatang, tambah beliau.

Meskipun kadar penggunaan unit jagaan rapi (ICU) "masih dalam tampungannya", wad-wad biasa - terutama jabatan kecemasan - "terbeban".

Seiring dengan kemerosotan pada jumlah kes jangkitan harian, Encik Ong menarik perhatian jumlah kes yang dikendalikan jabatan kecemasan pada tempoh ini jatuh dari sekitar 3,000 kes sehari kepada 2,800 kes sehari - "tetapi ia masih bilangan yang sangat tinggi".

MENYOKONG INSTITUSI JAGAAN KESIHATAN

Bagi menyokong hospital, MOH meningkatkan tenaga kerja dengan bantuan anggota medik serta penyelia daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) serta sekitar 300 pelajar kejururawatan yang sedang melanjutkan pengajian dalam diploma lanjutan.

Lebih ramai pesakit di hospital awam juga dipindahkan ke tempat lain seperti hospital swasta dan kemudahan rawatan COVID-19 (CTF).

Encik Ong menarik perhatian sebelum ini terdapat lebih 4,000 katil di kemudahan seumpama itu tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya dengan kadar penggunaan antara 10 hingga 10 peratus sahaja.

Namun setelah kemudahan itu disusun semula dan tenaga kerja digabungkan, kadar penggunaan adalah sekitar 50 hingga 60 peratus.

Selain itu, kemasukan ke jabatan kecemasan dikurangkan dengan bekerjasama dengan rakan-rakan kerja seperti Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), yang kini membawa pesakit yang stabil secara kliikal langsung ke CTF dan bukannya ke hospital awam terlebih dahulu.

Mulai minggu ini, pihak berkuasa juga mula mengalihkan sesetengah kes bukan COVID-19 dari hospital awam ke kemudahan lain seperti hospital swasta dan CTF, kata Encik Ong.

Bagi pesakit yang memerlukan pemantauan dan pengurusan keadaan kronik mereka, kemudahan khusus sudahpun ditubuhkan seperti dewan di Connect@Changi, tambah beliau.

“Dengan semua usaha ini, kami berjaya memindahkan, secara purata, 470 pesakit setiap hari untuk keluar dari wad hospital awam dan (jabatan kecemasan).

“Kes COVID-19 di hospital sudah merosot dari paras kemuncak sekitar 1,700 kepada 1,450 sekarang tetapi seperti saya katakan, ia masih angka yang tinggi. Kami perlu meneruskan usaha ini untuk meringankan beban hospital awam, khususnya jabatan kecemasan.

Encik Ong juga menggesa anggota masyarakat agar memainkan peranan mereka dalam meringankan beban ke atas pekerja jagaan kesihatan dengan tidak pergi ke jabatan kecemasan hospital melainkan perlu.

Beliau menambah: "Saya berbesar hati dengan kakitangan jagaan kesihatan atas dedikasi dan kerja keras berterusan anda untuk kekal menjalankan tugas anda meskipun menghadapi beban kerja yang amat berat.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kerja kami, hospital privet dan mereka yang mengendalikan CTF serta juga GP kami, rakan kongsi jagaan asas kami, atas segala sokongan anda dan membahu beban kerja ini."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan