Hospital Kwong Wai Shiu dibuka semula setelah kerja naik taraf S$96 juta
Hospital Kwong Wai Shiu dibuka semula pada Sabtu (6 Okt) selepas menjalani kerja naik taraf yang menelan belanja S$96 juta.
SINGAPURA: Hospital Kwong Wai Shiu dibuka semula pada Sabtu (6 Okt) selepas menjalani kerja naik taraf yang menelan belanja S$96 juta.
Hospital yang dibangunkan semula di Serangoon Road itu kini dilengkapi lebih 600 katil di wad-wad yang lebih selesa dan luas, sekali gus menjadikannya kemudahan rawatan terbesar di Singapura.
Mediacorp difahamkan bahawa 500 pesakit sudah mengisi katil hospital itu.
Antara tambahan-tambahan baru di kawasan hospital itu adalah bangunan 12 tingkat bagi khidmat rumah rawatan dengan ruang-ruang aktiviti yang bertema. Bangunan tersebut turut mempunyai pusat jagaan warga tua, yang setinggi dua tingkat, serta Garden Terrace yang direka khusus bagi para pesakit demensia.
Para pesakit dan pelawat juga boleh mengunjungi Pusat Perubatan Tradisional Cina (TCM) yang diubah suai atau Galeri Warisan yang baru.
Kemudahan-kemudahan latihan juga disediakan, termasuk Institut Latihan Masyarakat yang baru dirasmikan.
Selain menyediakan khidmat rawatan warga tua, hospital itu juga menawarkan khidmat pesakit luar serta khidmat pemulihan dan penjagaan harian.
Majlis pembukaan hospital berkenaan, bertepatan dengan sambutan ulang tahunnya yang ke 108, yang menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan lagi sejarah lama hospital tersebut dalam membantu golongan-golongan yang memerlukan.
PM Lee menambah bahawa rakan masyarakat seperti Hospital Kwong Wai Shiu melengkapi khidmat perubatan dan sosial yang ditawarkan oleh Pemerintah.
Sempena majlis hari ini, PM Lee juga menanam pokok Pink Mempat, bagi melambangkan manfaat yang bakal diraih generasi akan datang hasil usaha generasi sebelumnya. Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew menanam pokok Semarak Api atau Flame of the Forest ketika beliau pertama kali melawat hospital itu 55 tahun yang lalu.
Rancangan untuk kerja-kerja naik taraf selanjutnya sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.