Hospital Besar Ng Teng Fong & Hospital Masyarakat Jurong timbang sepadukan Sistem Pendinginan Daerah
Dua hospital di Jurong mungkin menjadi yang pertama dalam sektor jagaan kesihatan di Singapura untuk menggunakan Sistem Pendinginan Daerah (DCS) untuk alat hawa dingin menyusuli pemeteraian perjanjian dengan pengendali aset Keppel pada Khamis (5 Jun).
Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Masyarakat Jurong akan menjadi institusi penjagaan kesihatan awam pertama yang meneroka kemungkinan untuk mengintegrasikan loji Sistem Pendinginan Daerah Keppel. (Gambar: Kampus Kesihatan Jurong)
Di bawah Memorandum Persefahaman (MOU), Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Masyarakat Jurong - sebahagian daripada Kampus JurongHealth - akan meneroka kemungkinan menyepadukan DCS Keppel.
Sistem itu akan melengkapi dan mengoptimumkan lagi langkah kecekapan sedia ada, yang berpotensi menjimatkan kewangan dan mengurangkan jejak karbon mereka, kata kedua-dua hospital dalam satu kenyataan media.
Buat masa ini, kedua-dua hospital itu bergantung terutamanya kepada sebuah pusat bekalan air dingin untuk pelbagai keperluan, termasuk pendinginan 24 jam untuk bilik pembedahan, unit rawatan rapi dan peralatan perubatan. Institusi-institusi jagaan kesihatan juga memerlukan sistem pendingin sekiranya berlaku gangguan.
PILIHAN CEKAP TENAGA
Untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, DCS menggunakan teknologi seperti penyimpanan tenaga haba dan kawalan bijak, menurut kedua-dua hospital. Sistem itu juga boleh menyediakan pendinginan yang lebih andal dan konsisten, meminimumkan risiko gangguan pada operasi dan meningkatkan keselesaan pesakit.
Tidak seperti sistem pendinginan konvensional, di mana setiap bangunan mempunyai pendinginnya sendiri, loji Sistem Pendinginan Daerah (DCS) menjana air dingin dan mengedarkannya melalui paip bawah tanah ke rangkaian bangunan untuk alat-alat hawa dingin.
Di Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Masyarakat Jurong, air dingin akan disalurkan ke zon-zon pendinginan kritikal seperti makmal dan unit rawatan rapi. Penukar haba akan menyalurkan air dingin ke unit pengendalian udara dalaman mereka, kemudian mengembalikan air suam ke loji Keppel untuk proses pendinginan semula dan penggunaan semula.
Selain hospital-hospital, DCS Keppel akan memberi perkhidmatan kepada pembangunan masa depan di Daerah Tasik Jurong, termasuk pejabat, taman perniagaan dan kediaman.
Memandangkan pelbagai jenis bangunan menggunakan sistem pendinginan pada masa yang berbeza dalam sehari, permintaan untuk pendinginan akan dibahagi-bahagikan, mengurangkan permintaan waktu sibuk dan meningkatkan kecekapan tenaga.
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memberikan Keppel kontrak untuk membangunkan pelan pendinginan daerah di sana pada Jun 2023. Keppel menganggarkan kontrak itu akan menjana kira-kira S$950 juta untuk syarikat itu selama 30 tahun, menurut kenyataan tersebut.
Loji itu mempunyai kapasiti sekitar 29,000 tan penyejukan (RT), bersamaan kapasiti pendinginan sekitar 19,000 unit 1.5 tan alat hawa dingin isi rumah.
Ia akan menyediakan perkhidmatan air dingin dan sistem pendinginan kepada sekitar 1.4 juta meter persegi keluasan lantai kasar, atau hampir 200 padang bola.
Cik Cindy Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Infrastruktur Keppel, berkata Sistem Pendinginan Daerah (DCS) dijangka membawa kepada pengoptimuman lagi 2 peratus pada kecekapan tenaga.
"Dengan penjimatan tenaga dan pengoptimuman kos ini, jumlah penjimatan kos kitaran hayat dijangka lebih S$7 juta dalam tempoh 30 tahun akan datang," tambahnya.
Profesor Madya Dan Yock Young, Ketua Pegawai Eksekutif kedua-dua hospital, berkata khidmat jagaan kesihatan menggunakan "jumlah tenaga dan air yang banyak" dan menjana sisa perubatan.
"Sebagai salah satu penyumbang utama kepada krisis iklim, adalah penting untuk kami melihat ke arah usaha mengoptimumkan kecekapan tenaga," katanya.
Beliau menambah bahawa loji pendinginan daerah boleh mengurangkan keperluan untuk menggantikan dan menyelenggara alat pendingin. Ini seterusnya boleh mengosongkan beberapa ruang atas bumbung dan bilik loji hospital, yang digunakan untuk menempatkan menara pendingin dan penyejuk sedia ada, untuk aktiviti lain yang bermakna seperti penjagaan dan terapi pesakit.
Ketua Pegawai Kemampanan kedua-dua hospital itu, Encik Ng Kian Swan, menyifatkan MOU itu sebagai "batu loncatan" untuk kedua-dua institusi "meneroka cara bagi menyelamatkan bumi".
"Kerjasama ini boleh menetapkan penanda aras baharu dalam sektor jagaan kesihatan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.