Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hos penstriman live jual produk berjumlah $200,000 dalam 3 bulan meski kurang daya pendengaran

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wanita ini menjual produk-produk penjagaan kulit, beg berjenama mewah dan patung BE@RBRICK menerusi penstriman live. Sepanjang tempoh tiga bulan lalu, beliau sudah menjana hasil penjualan sekitar S$200,000 bagi syarikatnya. Beratus-ratus penonton mengikuti sesi penstrimannya setiap kali.

Lily Goh, 43 tahun, bukan seorang 'fashionista', pakar kecantikan atau pempengaruh. Anda tidak akan dapat menyaksikannya bergaya dalam gambar-gambar Instagram atau menampilkan trend solekan terkini di Instagram mahupun TikTok. Goh bukanlah seseorang 'kaki' beli-belah dan tentunya itu bukanlah sebab beliau memulakan sesi penstriman live.

Goh mengalami kurang daya pendengaran sejak dari dilahirkan lagi. Beliau mengimbau kembali pengalaman semasa zaman kanak-kanak dan belia di mana beliau dikecualikan serta dipinggirkan oleh anggota-anggota masyarakat yang sempurna daya pendengarannya.

"Saya membesar dalam persekitaran terpencil dalam dunia saya yang kurang daya pendengaran. Kebanyakan masa, saya ditindas dan dipinggirkan, lebih-lebih lagi daripada perbualan lisan. Saya berasa seolah-olah dibiarkan tanpa pengetahuan," luahnya. 

Ini mendorongnya untuk menyertai wadah perdagangan sosial online tempatan, Mdada. Beliau berharap untuk menggalak golongan kurang daya pendengaran supaya berasa lebih terlibat dalam setiap aspek kehidupan, termasuk penstriman live e-dagang, iaitu salah satu evolusi terbaru dalam perdagangan runcit online.

Meskipun majoriti penonton Mdada merupakan individu yang mempunyai daya pendengaran, Goh mengadakan sesi-sesi penstrimannya menggunakan Bahasa Isyarat Singapura (SgSL) yang digunakan oleh golongan kurang daya pendengaran di Singapura dengan menyebut sepatah dua kata dalam bahasa Inggeris.

Bagi Goh, ia bukan hanya sekadar bertujuan untuk mendekati golongan kurang daya pendengaran menerusi wadah hiburan dan membeli-belah.

Goh juga menanam harapan lebih mulia - beliau ingin membangkitkan kesedaran tentang golongan kurang daya pendengaran dan membuktikan kepada orang ramai bahawa golongan kurang daya pendengaran juga mampu melakukan segala apa saja yang dilakukan oleh orang yang boleh mendengar.

MENGATASI RINTANGAN

Goh menarik perhatian bahawa perhubungan antara seseorang yang kurang daya pendengaran dengan seseorang yang boleh mendengar dalam kehidupan harian sudah cukup mencabar.

Selain itu, seseorang yang kurang daya pendengaran juga mungkin tidak memahami bahasa basahan atau slanga. Sesetengah daripada mereka, termasuk Goh, juga mungkin tidak pasti bagaimana untuk menyebut perkataan tertentu dan sukar untuk difahami.

Dalam sesi penstriman live, di mana para pengacara perlu menampilkan sehingga 10 produk selain menghiburkan para penonton dengan bergandingan bersama seorang lagi hos selama dua bulan, cabaran-cabaran tersebut menjadi lebih berat.

"Pada mulanya saya teragak-agak," akui Goh. "Tetapi apabila pasukan Mdada memberi jaminan kepada saya bahawa mereka menginginkan supaya saya menjadi diri saya dan menggunakan bahasa isyarat, saya membuat keputusan untuk mencubanya."

Lantaran itu, pada 15 September 2022, Goh mengadakan sesi penstriman live yang pertama untuk menjual tiga produk kecantikan - krim mata, serum dan produk antipenuaan. Sesi itu disambut baik oleh para penonton dan banyak stok produk terjual.

"Selepas sesi itu, saya menerima beberapa pesanan dari rakan-rakan kurang daya pendengaran saya yang berbesar hati kerana sesi penstrimannya lebih mudah diakses dan melibatkan mereka buat julung-julung kalinya," kongsi Goh. 

Ini mendorong Goh untuk meneruskan perjalannya sebagai pengacara penstriman live.

BANYAK PERLU DIPELAJARI

Meskipun Goh berhasil mencatat kejayaan pada permulaannya, penstriman live tidak mudah untuk dijalankannya. Salah satu sebabnya adalah Goh biasanya digandingkan dengan pengacara yang bertutur dalam bahasa Inggeris atau Mandarin.

Goh, sebaliknya, tidak fasih berbahasa Inggeris dan tidak berturut dalam bahasa Mandarin langsung. Ia juga sukar baginya untuk sekadar membaca gerak bibir bagi melanjutkan perbualan semasa acara live.

Sungguhpun berdepan dengan rintangan sedemikian, Goh bekerja keras untuk mengasah kemahiran penstriman live. Pada mulanya, beliau bermula dengan menjual satu hingga tiga produk semasa sesi penstriman selama sejam. Lama-kelamaan, Goh berhasil menjual sehingga 10 produk dalam sesi selama dua jam.

MENCARI MAKNA DALAM KERJAYA

Goh sekarang sudah mengadakan sesi penstriman lebih 50 jam secara keseluruhannya dengan Mdada. Antara sesi yang paling bermakna bagi Goh adalah acara yang diadakan dengan JOURNEY, iaitu jenama di bawah naungan badan bukan untung TOUCH Community Services, yang mewakili mereka yang kurang daya intelek.

Sebagai seorang penerima bantuan TOUCH Community Services dahulu, Goh teruja dapat menjual produk bernilai lebih S$10,000 bagi JOURNEY, dengan menampilkan produk kraftangan individu kurang daya intelek. Ia termasuk beg jinjing, payung, bekas makanan dan kantung. Hasil penjualan disalurkan secara langsung kepada para pembuatnya.

MENGATASI RINTANGAN KOMUNIKASI

Goh berbangga dapat menghos dengan menggunakan bahasa isyarat. Dalam kalangan kira-kira 150 penonton yang menyaksikan sesi penstrimannya pada waktu malam, kebanyakan daripada mereka merupakan penonton yang boleh mendengar.

Sedari itu, Goh belajar untuk mendakapi jati dirinya dan budaya masyarakat kurang daya pendengaran serta mempercayai bahawa bahasa isyarat memainkan peranan besar. Sebelum menjadi pengacara penstriman live, beliau mengajar bahasa isyarat secara bebas selama lebih 15 tahun.

Kini, Goh menyebarkan minatnya terhadap bahasa isyarat menerusi penstriman live, dengan mengajar perkataan-perkataan mudah dalam bahasa tersebut kepada para pengacara lain dan juga penonton.

Sumber : CNA/ZM/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan