Skip to main content

Singapura

'Hormati legasinya': Pemimpin SG peringati ulang tahun ke-10 pemergian Lee Kuan Yew

Anggaran Waktu Membaca:
'Hormati legasinya': Pemimpin SG peringati ulang tahun ke-10 pemergian Lee Kuan Yew

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 23 Mar 2025 12:33PM Dikemas Kini : 23 Mar 2025 12:35PM
SINGAPURA: Para pemimpin Singapura memperingati ulang tahun ke-10 pemergian Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew pada Ahad (23 Mac), dengan menyanjungi kepimpinan dan juga sumbangan besar mendiang kepada Singapura.

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Encik Lee dan pasukannya mengharungi pelbagai cabaran untuk membina sebuah negara yang bertunjangkan meritokrasi, diperkukuh oleh daya tahan ekonomi dan bersatu padu dengan komitmen yang teguh terhadap keharmonian kaum, agama dan budaya dalam kalangan masyarakat majmuk di Singapura.

"Singapura hari ini berdiri teguh sebagai bukti kepada visinya - sebuah negara yang bersih, menghijau dan dinamik, dikagumi dan dihormati di seluruh dunia," tulis PM Wong di Facebook.
 
"Sambil kita meraikan SG60 dan melakar Kisah Singapura seterusnya, marilah kita menghormati legasinya bukan sahaja dalam ingatan, tetapi dalam tindakan kita juga. Kisah Singapura masih ditulis. Bersama-sama, mari kita membina masa hadapan yang lebih cerah berpandukan asas yang telah dibina oleh Encik Lee."

PM Wong turut berkongsi gambar orang ramai membarisi jalan raya, sambil mengibarkan bendera Singapura dan berpayung ketika hujan, untuk memberi penghormatan kepada Encik Lee sedang keranda mendiang yang diusung di atas pedati meriam dibawa dari Bangunan Parlimen ke upacara persemadian negara di Pusat Budaya Universiti.

Upacara itu meliputi jarak sejauh 15.4km dan melalui mercu tanda penting seperti City Hall, Padang dan kawasan kejiranan. Beribu-ribu orang membarisi jalan raya untuk memberikan penghormatan sekalipun hujan ketika itu.

"Sepuluh tahun sudah berlalu. Hujan baru-baru ini mengingatkan kita tentang hari yang bersejarah itu pada Mac 2015, apabila seluruh rakyat Singapura mengucapkan selamat tinggal kepada Perdana Menteri pengasas kita, Encik Lee Kuan Yew," kata PM Wong.

"MARILAH KITA MEMBANGGAKANNYA"

Menteri Kanan Lee Hsien Loong juga mengimbau pemergian Encik Lee dan berkata bahawa rakyat Singapura mengingati mendiang atas jasa dan baktinya kepada negara.

"Bagi saya dan keluarga saya, beliau adalah bapa atau datuk kami, dan beliau sangat bermakna kepada kami. Semoga kita semua dapat memenuhi harapan dan aspirasinya, dan sentiasa membanggakannya."
Mendiang Encik Lee dilahirkan pada 16 Sep 1923. Beliau menuntut di Raffles College di Singapura dan Fitzwilliam College di Cambridge, England.

Pada 1954, beliau menjadi pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan menjadi Setiausaha Agung parti tersebut sehingga 1992.

Beliau menjadi Perdana Menteri Singapura pada 1959, mencurahkan khidmat dan baktinya sehingga beliau meletak jawatan pada November 1990.

Encik Lee kemudian dilantik sebagai Menteri Kanan oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong. Beliau dilantik semula selepas Pilihan Raya Umum 1991, 1997 dan 2001.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pembimbing oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ogos 2004, dan dilantik semula selepas Pilihan Raya Umum 2006.

Beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembimbing pada Mei 2011, dan dilantik sebagai Penasihat Kanan kepada Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura (Government of Singapore Investment Corporation).

Encik Lee meninggal dunia pada 23 Mac 2015 pada usia 91 tahun.

 
Sumber : CNA/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita