Skip to main content

Singapura

Hongbao digital tetap popular meski sekatan COVID-19 dilonggarkan

Pemberian hongbao digital serta kad hadiah QR semakin popular sempena Tahun Baru Cina kali ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemberian hongbao digital serta kad hadiah QR semakin popular sempena Tahun Baru Cina kali ini. 

Tiga bank tempatan melaporkan lonjakan sehingga 30 peratus bagi e-hongbao yang diberikan tahun ini berbanding tahun lalu.

Kenaikan itu dicatatkan meskipun sekatan-sekatan COVID-19 sudah ditarik balik dan para ahli keluarga serta sahabat handai kini boleh bertemu secara bersemuka, tanpa sebarang had bagi saiz kumpulan. 

Misalnya bank UOB menyatakan terdapat pelanggannya yang sudah lama menggunakan hongbao digital untuk rakan-rakan dan keluarga rapat kerana ia menjimatkan banyak masa. 

Lebih ramai pelanggan UOB juga dikatakan lebih mengutamakan alam sekitar.

Namun, bagi para pelanggan yang lebih suka memberikan paket merah secara fizikal, kad hadiah QR masih boleh dimanfaatkan. 

Sementara itu, OCBC menyaksikan penggunaan purata harian e-hongbao meningkat empat kali ganda pada hari pertama Tahun Baru Cina. 

Ia menganggarkan jumlah hongbao digital yang akan diberikan sepanjang 15 hari akan datang boleh mencecah sekurang-kurangnya 20 peratus lebih banyak daripada tahun lalu. 

Selain itu, ia juga mempunyai ciri-ciri yang membolehkan para pengguna menghias e-hongbao mereka sendiri. 

Terdapat juga cabutan bertuah serta hadiah-hadiah yang boleh dimenangi untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan kaedah digital yang mampan ini. 

Sumber : CNA/RU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita