Skip to main content

Singapura

Hong Kong dedah menteri SG David Neo mohon maaf atas komen tidak wajar

Anggaran Waktu Membaca:
Hong Kong dedah menteri SG David Neo mohon maaf atas komen tidak wajar
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo (memakai lanyard) mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak kebangsaan Singapura atas kemenangan mereka menentang Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia pada 18 November 2025. (Gambar: Facebook/David Neo)
 
Diterbitkan : 22 Nov 2025 04:29PM Dikemas Kini : 22 Nov 2025 09:28PM

HONG KONG: Hong Kong menyatakan pada Jumaat (21 Nov) bahawa seorang menteri Singapura sudah membuat permohonan maaf selepas menggelar pemain dan penyokong bola sepak Hong Kong "bodoh" menyusuli kemenangan pasukan Singa dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Komen-komen oleh David Neo, yang juga pemangku menteri kebudayaan, masyarakat dan belia, membayangi kemenangan 2-1 Singapura di Hong Kong pada Selasa (18 Nov), yang membawa mereka mara ke pertandingan paling unggul di benua Asia buat kali pertama sejak 1984.

Namun, Encik Neo kini sudah "menyampaikan permohonan maafnya melalui emel" kepada pegawai ehwal sukan dan kebudayaan, Rosanna Law, menurut Biro Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Hong Kong pada Jumaat (21 Nov).

Encik Neo memuji pasukan Singapura di bilik persalinan selepas perlawanan itu dan berkata: "Anda (telah) diberi tekanan oleh mereka, semua penyokong mereka bodoh, akhirnya semua pemain juga ... bermain seperti orang bodoh, tetapi anda semua bermain seperti singa."

Encik Neo kemudian berkata dalam kenyataannya di media sosial bahawa beliau sepatutnya lebih beradab.

"Saya tarik balik komen saya. Pasukan Hong Kong benar-benar hebat dan penyokong mereka menyokong mereka sepenuhnya. Ini sesuatu yang kita perlu hormati dan kita juga perlu memberi sokongan kepada pasukan Singa kita," katanya.

Cik Law berkata insiden itu tidak akan menjejas hubungan kukuh sukan dan kebudayaan antara Hong Kong dan Singapura.

Ia juga melaporkan bahawa menyusuli keputusan itu, tempoh 15 bulan Ashley Westwood sebagai ketua jurulatih Hong Kong akan berakhir.

Dalam pada itu, Singapura sedang mencari ketua jurulatih baharu, sedang peminat bola sepak memuji jurulatih sementara Gavin Lee kerana memimpin pasukan Singa meraih kemenangan bersejarah.

Sumber : AGENCIES/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita