Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HomeTeamNS buka rasmi rumah kelab Bedok Reservoir, ada gelongsor air terpanjang SG

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Kelab HomeTeamNS terbaru dibuka secara rasmi pada Rabu (4 Jan).

Terletak di Bedok Reservoir, kelab HomeTeamNS itu juga adalah yang pertama yang terletak dalam taman dan menghadap takungan air.

Rumah kelab yang bertemakan ‘Waterfront Haven’ itu juga dilengkapi dengan ciri-ciri mesra alam serta keupayaan digital.

KELAB HOMETEAMNS DENGAN CIRI-CIRI MESRA ALAM

Seluas 14,500 meter persegi, bangunan lima tingkat itu antaranya menggunakan sistem lampu bijak serta menggunakan daya tenaga yang lebih mesra alam seperti alat-alat pengesan pergerakan.

Menerusi ciri-ciri sedemikian, bangunan tersebut dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus setiap bulan.

Selain itu, bumbung bangunan itu juga dijadikan tempat untuk menanam tanaman dengan menggunakan air hujan serta sistem pengairan ‘drip’ bagi penyelenggaraan landskap.

Dalam usaha menyokong usaha Pelan Hijau Singapura 2030 pula, bangunan HomeTeamNS Bedok Reservoir antaranya menggunakan produk-produk yang diiktiraf Bangunan Hijau Singapura serta menghasilkan karbon pada kadar rendah.

Pembinaan kelab HomeTeamNS Bedok Reservoir yang dilengkapi dengan kemudahan- kemudahan kegiatan air di dalam bangunan itu menelan belanja S$85 juta.

(Gambar: HomeTeamNS)
KEGIATAN MENARIK BAGI SEISI KELUARGA

Jika di Rumah Kelab HomeTeamNS Khatib ada ruang bagi kegiatan sukan lasak seperti Adventure HQ dan Clip ‘n Climb, rumah kelab HomeTeamNS Bedok Reservoir pula mempunyai pusat pengembaraan air bersepadu yang pertama seumpamanya.

Antara ciri utama pusat yang dinamakan 'Aqua Adventure' itu adalah gelongsor air dalam kawasan tertutup yang terpanjang di Singapura - iaitu sepanjang 114 meter.

Pusat tiga tingkat itu yang boleh menempatkan 300 pengunjung pada satu-satu masa juga mempunyai beberapa kegiatan lain termasuk kemudahan panjat tembok dan permainan tali lasak.
(Gambar: HomeTeamNS)
Jika para pengunjung tidak ingin baju mereka basah terkena air, mereka juga boleh mengunjungi arena pengalaman aktif digital yang pertama seumpamanya di Singapura iaitu 'Action Motion'.

Para pengunjung antaranya boleh memanjat tembok atau berlompat atas 'trampoline' yang kedua-duanya bercirikan Realiti Tambahan (AR).
(Gambar: HomeTeamNS)
Menerusi permaianan di 'Action Motion', para pengunjung juga boleh memantau mata yang terkumpul masing-masing menggunakan sistem ‘gamifier’ - berbeza dengan 'Adventure HQ' di Rumah Kelab HomeTeamNS Khatib.

PENGHARGAAN BUAT PARA NSMEN

Acara pembukaan rasmi kelab HomeTeamNS Bedok Reservoir itu diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-undang K Shanmugam.

Encik Shanmugam berkata bahawa pembinaan rumah-rumah kelab termasuk di Khatib dan seterusnya di Tengah, menunjukkan komitmen negara untuk memberi penghargaan kepada para pegawai NS dan NSmen.

Encik Shanmugam berkata, “Pada 2016, kita memulakan pelan induk kelab HomeTeamNS. Kita menjangkakan untuk membangunkan tiga rumah kelab generasi seterusnya. Kelab-kelab ini mesti mewujudkan rasa bangga yang kuat dan mewakili apa yang akan dibanggakan oleh para NSmen.”

“HomeTeamNS Khatib dibuka pada 2021 merupakan langkah signifikan daripada kelab-kelab sebelumnya. Sejauh ini, kemudahan itu disambut baik oleh para anggota NS. Lebih 82 peratus anggota yang ditinjau pada 2022 mengatakan bahawa mereka bangga menjadi sebahagian daripada keluarga HomeTeamNS, iaitu lebih tinggi berbanding 55 peratus pada 2018,” tambah Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam berkata kemudahan-kemudahan kelab HomeTeamNS di merata Singapura adalah untuk para NSmen yang sudah memberikan khidmat tidak ternilai kepada negara.

“Rumah-rumah kelab ini adalah tempat untuk para NSmen datang bersama keluarga-keluarga mereka dan supaya mereka rasa bangga menjadi sebahagian daripada Home Team.”

Sejauh ini, HomeTeamNS mempunyai empat kelab di Balestier, Bukit Batok, Bedok Reservoir dan Khatib.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan