Skip to main content

Singapura

Home Team sasar guna robot humanoid mulai 2028 bagi siasatan letupan, geledah sel penjara

Robot humanoid mungkin digunakan untuk membantu pegawai polis menjalankan siasatan menyusuli letupan dan pegawai penjara menggeledah sel banduan seawal 2028.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Sep 2026 07:55PM Dikemas Kini : 05 Nov 2026 10:34PM
Home Team aims to use humanoid robots from 2028 for explosion investigations and prison cell searches
  • Home Team and HTX officially opened H2RC in one-north on Sep 30 to develop public safety humanoid robots targeted to operate alongside officers by 2028.
  • The robots are being tested to help SCDF handle hazardous materials and ambulance supplies, SPF investigate explosion sites, and SPS search inmates' cells.
  • The centre, about the size of six basketball courts, uses simulation, motion capture, remote control and training data to test real operational scenarios.
  • Edwin Tong said the technology is important because Singapore faces manpower constraints, an ageing population and dense urban operations, with HTX collaborating with ST Engineering.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Robot humanoid mungkin digunakan untuk membantu pegawai polis menjalankan siasatan menyusuli letupan dan pegawai penjara menggeledah sel banduan seawal 2028.

Keupayaan tersebut antara yang sedang dibangunkan dan diuji di Pusat Robotik Humanoid Home Team (H2RC) di one-north, yang dirasmikan pada Rabu (30 Sep).

"Matlamat kami jelas. Kami menyasarkan robot humanoid pertama untuk bekerja bersama pegawai Home Team dalam persekitaran operasi sebenar, melaksanakan tugas tertentu dengan selamat dan boleh dipercayai menjelang 2028," kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong semasa pelancarannya.

Encik Tong, yang juga Menteri Undang-Undang, berkata H2RC merupakan pusat pertama seumpamanya yang dikhususkan bagi robotik humanoid untuk keselamatan awam.

Menurut Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), bentuk humanoid dipilih kerana ia boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran yang direka untuk manusia.

Berbeza dengan sektor komersial yang memberi tumpuan kepada penggunaan robot humanoid dalam bidang seperti pengilangan dan kegunaan rumah, HTX mahu membangunkan keupayaan tersebut khusus bagi keperluan keselamatan awam.

PUSAT SELUAS KIRA-KIRA ENAM GELANGGANG BOLA KERANJANG

H2RC, yang mempunyai keluasan kira-kira enam gelanggang bola keranjang, membolehkan persekitaran realistik dan senario keselamatan awam diwujudkan untuk para jurutera menjalankan ujian serta mengumpulkan data.

Pusat itu dilengkapi sistem tangkapan gerakan bagi membangunkan kemahiran pergerakan robot humanoid, selain keupayaan untuk mengendalikan robot dari jauh, demonstrasi oleh manusia dan simulasi bagi menghasilkan data latihan.

Encik Tong berkata Home Team sudah sekian lama menggunakan sains dan teknologi untuk meningkatkan kesedaran tentang keadaan, memperbaiki proses membuat keputusan dan menyokong para pegawai di lapangan.

Menurutnya, langkah seterusnya adalah membawa AI daripada dunia digital ke dunia fizikal menerusi robot bijak yang boleh bekerja bersama pegawai dalam persekitaran operasi sebenar.

KENDALI BAHAN BERBAHAYA, SIASAT LOKASI LETUPAN

Empat robot humanoid yang sedang dibangunkan dipamerkan semasa pelancaran H2RC.

Antaranya ialah robot yang boleh membantu Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengawal, menangani dan mengambil sampel bahan berbahaya.

Ini dapat mengurangkan pendedahan para pegawai kepada bahan yang boleh membahayakan mereka.

Pasukan Polis Singapura (SPF) pula boleh menggunakan robot humanoid untuk membantu siasatan selepas letupan, apabila keadaan di lokasi mungkin masih tidak stabil, kotor dan berbahaya.

Robot itu boleh dikawal dari jauh dan mampu berlutut bagi menjalankan tugas dekat dengan permukaan tanah - keupayaan yang menurut HTX tidak terdapat pada robot humanoid komersial yang tersedia di pasaran.

Related article image
Robot humanoid Home Team membongkok untuk mengambil serpihan bahan letupan dalam simulasi siasatan selepas letupan di H2RC pada 24 September 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pula boleh menggunakan robot humanoid untuk menggeledah sel bagi mengesan barangan larangan.

HTX akan meneroka keupayaan seperti tangan robot humanoid yang tangkas, kawalan pergerakan halus dan penderiaan sentuhan beresolusi tinggi bagi menjalankan tugas tersebut.

Robot humanoid juga boleh membantu SCDF menjalankan tugas rutin seperti mengisi semula bekalan perubatan bagi ambulans.

BANTU PEGAWAI LAKSANA TUGAS BERBAHAYA

Menurut HTX, robot humanoid akan dilatih untuk membantu pegawai menjalankan tugas rutin, mencabar dari segi fizikal atau berbahaya.

Ini membolehkan para pegawai memberi tumpuan kepada tugas yang memerlukan pertimbangan, empati dan budi bicara, selain mengurangkan risiko terhadap keselamatan mereka.

Rancangan H2RC pertama kali diumumkan pada Mei lalu, apabila Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam berkata pusat itu akan membangunkan robot humanoid bersama rakan kongsi bagi senario operasi Home Team yang berisiko tinggi.

Home Team sebelum ini sudah menggunakan pelbagai teknologi robotik.

Antaranya ialah robot darat, kapal tanpa pemandu dan dron, manakala SPF juga sudah menggunakan robot peronda di kawasan awam.

KEKANGAN TENAGA MANUSIA, TANAH

Encik Tong berkata penggunaan teknologi sedemikian semakin penting memandangkan Singapura berdepan kekangan dari segi tenaga manusia dan penduduk yang semakin menua.

Menurutnya, Home Team mendapatkan tenaga kerja daripada kumpulan tenaga manusia terhad yang sama seperti sektor-sektor lain, sedangkan permintaan terhadap perkhidmatannya terus meningkat.

Ini termasuk lebih banyak kecemasan perubatan akibat penduduk yang semakin menua, pusat pemeriksaan yang semakin sibuk dan jenayah yang lebih kompleks.

"Kita tidak boleh mengatasinya dengan menambah bilangan tenaga manusia semata-mata," katanya.

Persekitaran bandar yang padat, dengan bangunan dan infrastruktur terletak berdekatan satu sama lain, menimbulkan cabaran semasa operasi menangani kecemasan.

Encik Tong berkata bentuk humanoid dipilih kerana robot sedemikian boleh pergi ke tempat yang boleh dimasuki pegawai dan menggunakan peralatan sama yang digunakan mereka tanpa perlu mengubah persekitaran sedia ada.

Langkah seterusnya adalah beralih daripada robot yang hanya mengikut arahan yang sudah diprogramkan kepada robot dengan keupayaan AI yang boleh belajar, memahami persekitaran, membuat pertimbangan dan bertindak dalam keadaan dunia sebenar yang berubah-ubah.

Bagi membolehkan robot humanoid digunakan oleh Home Team, ia perlu dilatih menggunakan data keselamatan awam sebenar, kata Encik Tong.

H2RC juga akan menghimpunkan kepakaran industri serta institusi penyelidikan dan akademik.

HTX dan ST Engineering turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada Rabu untuk memperluas kerjasama dalam bidang tersebut.

Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita