Skip to main content

Singapura

H&M minta kakitangan SG mohon semula kerja di sekitar Asia dalam usaha penyusunan semula

Kakitangan di seluruh pasaran serantau Asia Timur bagi syarikat peruncitan fesyen Sweden H&M - termasuk Singapura - diminta untuk memohon semula bagi jawatan masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
H&M minta kakitangan SG mohon semula kerja di sekitar Asia dalam usaha penyusunan semula

Beg beli-belah H&M dipegang seorang pembeli di luar gedung utama jenama itu di Somerset pada 19 Mei 2026. (Gambar: CNA/Liew Zhi Xin)

Diterbitkan : 20 May 2026 06:19PM
SINGAPURA: Kakitangan di seluruh pasaran serantau Asia Timur bagi syarikat peruncitan fesyen Sweden H&M - termasuk Singapura - diminta untuk memohon semula bagi jawatan masing-masing.

Mereka yang tidak berjaya mendapatkan peranan akan berdepan “pemisahan bersama” selaras dengan undang-undang pekerjaan tempatan.

Tidak jelas pasaran mana dan berapa ramai pekerja yang terjejas.

Berdasarkan laporan tahunan terkini H&M Group, syarikat itu mempunyai 368 pekerja di Singapura tahun lalu merentasi beberapa jenama termasuk H&M, COS dan & Other Stories.

Kakitangan boleh memohon semula bagi 178 jawatan yang ditawarkan, menurut tiga pekerja yang bercakap kepada Mediacorp dengan syarat identiti mereka dirahsiakan.

Setakat ini, tiada pekerja yang diberhentikan kerana proses tersebut masih lagi dijalankan, dan keputusan penyusunan semula serta penempatan kakitangan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai.

Daripada jawatan yang ditawarkan, 80 adalah di pejabat H&M di Asia Tenggara - kebanyakannya di Kuala Lumpur, Manila dan Ho Chi Minh City, kata seorang pekerja. Empat daripada jawatan tersebut, termasuk fungsi perundangan, akan berpangkalan di Singapura.

Seorang lagi pekerja memberitahu Mediacorp bahawa jawatan yang sebelum ini berpangkalan di Singapura sedang dipindahkan ke Kuala Lumpur dan Manila.

Kakitangan dimaklumkan secara rasmi berhubung rancangan H&M untuk melakukan penyusunan semula, termasuk memindahkan ibu pejabat Asia Tenggaranya dari Singapura ke Kuala Lumpur, pada 11 Mei.

Dalam pengumuman yang sama, para pekerja H&M di seluruh Asia Timur diminta untuk menyertai latihan “penyelarasan” kakitangan menjelang 21 Mei, menurut para pekerja tersebut.

Ia melibatkan pengisian tinjauan dan pencalonan diri bagi dua jawatan yang ditawarkan. Penilaian sumbangan kerja serta rekod disiplin terkini akan digunakan untuk menentukan kemungkinan penempatan mereka dalam syarikat itu.

Sesi temu duga dan penilaian pekerja akan dijalankan sehingga 19 Jun, dan mereka akan menerima keputusan masing-masing menjelang pertengahan Jun.

Penstrukturan semula itu turut dibincangkan dalam sesi dialog bersama pasukan global sebelum ini, kata salah seorang pekerja tersebut.

Memandangkan mereka diminta untuk memohon semula dan menjalani temu duga sekali lagi bagi jawatan yang hampir serupa dalam pertubuhan itu, proses tersebut dikatakan “agak terlalu panjang”, kata seorang pekerja yang enggan dikenal pasti.

“Pada asasnya anda tahu jawatan sedang dikurangkan, tetapi anda tidak tahu sama ada anda akan terjejas. Ketidakpastian itu mungkin menyebabkan lebih banyak kebimbangan dalam kalangan pekerja.”

Individu tersebut berkata beliau akan memutuskan untuk berpindah atau sebaliknya berdasarkan butiran pakej pampasan baharu sekiranya beliau berjaya mendapat jawatan baharu.

Negara lain yang menawarkan jawatan, seperti Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, mempunyai kadar cukai lebih tinggi berbanding Singapura, kata pekerja itu sambil menambah bahawa perkara tersebut mungkin menjadikan sebarang tawaran kurang menarik.

“Walau apa pun pilihan yang dibuat, anda sama ada berdepan dengan penyusutan nilai mata wang atau kadar cukai yang lebih tinggi.”

H&M tidak mengesahkan perpindahan operasi dan pemberhentian pekerja ketika menjawab pertanyaan Mediacorp pada 12 Mei.

“Kami sentiasa menilai cara kami bekerja bagi memastikan pertubuhan kami kekal fleksibel, cekap dan bergerak pantas,” kata syarikat itu.

“Kami komited sepenuhnya untuk menyokong semua rakan sekerja kami dalam sebarang perubahan pertubuhan dan akan terus memenuhi tanggungjawab kami mengikut keperluan undang-undang buruh tempatan.”

Syarikat itu tidak menjawab pertanyaan lanjut pada 18 Mei berhubung latihan “penyelarasan” kakitangan tersebut.

KESATUAN TAWAR BANTUAN

Semua majikan di Singapura diwajibkan untuk memaklumkan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berhubung sebarang pemberhentian kerja dalam tempoh lima hari bekerja selepas pekerja terjejas dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Pampasan pemberhentian kerja tidak diwajibkan di sisi undang-undang. Satu nasihat tiga pihak menetapkan norma antara dua minggu hingga sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan, namun ia tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Peguam Terence Seah, rakan kongsi di Virtus Law, berkata tiada kesimpulan boleh dibuat berhubung hak seseorang pekerja berdasarkan istilah “pemisahan bersama”.

Beliau berkata memandangkan undang-undang Singapura secara amnya tidak mempunyai syarat wajib bagi pemberhentian kerja, kontrak pekerjaan menjadi asas bagi proses pemisahan apabila berlakunya pemberhentian.

“Setiap majikan perlu melihat terma kontrak pekerjaan masing-masing, serta dasar dan tanggungjawab mereka di bawah undang-undang kontrak,” kata Encik Seah.

“Setiap syarikat perlu melihat sama ada terdapat sebarang peraturan yang mengikat dalam kontrak mereka dengan pekerja, sebagai titik permulaan.

“Selain itu, jika terdapat niat baik dan kedua-dua pihak bersetuju untuk berpisah secara baik, maka kebebasan kontrak membolehkan mereka mencapai persetujuan tersebut.”

Menurut Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan atau N-T-U-C, H&M Group tidak mempunyai kesatuan di Singapura.

Namun begitu, sebahagian pekerja mungkin merupakan anggota Kesatuan Pekerja Manual dan Dagangan Singapura (SMMWU) yang berkaitan dengan NTUC, kata setiausaha agungnya Andy Lim.

Beliau menambah NTUC dan SMMWU bersedia menawarkan bantuan dan sumber bagi membantu para anggota serta pekerja beralih kepada peluang pekerjaan baharu dan menyediakan sokongan kewangan jika diperlukan.

“Sekiranya penyusunan semula perniagaan menjejas anggota kesatuan individu di syarikat yang tidak mempunyai kesatuan, kesatuan atau persatuan gabungan NTUC akan menghulurkan bantuan kepada anggota tersebut,” kata Encik Lim.

Ini termasuk menghubungkan mereka dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), yang menyediakan khidmat padanan pekerjaan, bimbingan kerjaya dan nasihat berhubung peningkatan kemahiran.

“SMMWU menggalakkan syarikat, termasuk syarikat tanpa kesatuan, untuk bekerjasama dengan kesatuan bagi menyediakan sokongan lebih baik kepada pekerja semasa tempoh peralihan,” tambah Encik Lim.

Pekerja yang terjejas boleh menghubungi SMMWU untuk mendapatkan sokongan menerusi talian 6294 2481 atau mengirimkan emel kepada feedback [at] smmwu.org.sg.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita