Hj Shafawi Ahmad penerima Anugerah Jasa Cemerlang MUIS 2020, 11 individu terima Anugerah Jasa Bakti
Tokoh masyarakat yang dihormati, Hj Shafawi Ahmad, menerima pengiktirafan tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) atas sumbangan tidak ternilainya kepada landskap sosio-agama masyarakat Melayu/Islam.
SINGAPURA: Tokoh masyarakat yang dihormati, Hj Shafawi Ahmad, menerima pengiktirafan tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) atas sumbangan tidak ternilainya kepada landskap sosio-agama masyarakat Melayu/Islam.
Hj Shafawi merupakan anggota yang paling lama berkhidmat dalam majlis tertinggi MUIS. Sebagai anggota majlis tersebut, beliau antara lain berperanan membantu melakar dasar-dasar badan penguasa Islam itu.
Anugerah Jasa Cemerlang yang disampaikan Presiden Halimah Yacob kepada Hj Shafawi di Istana hari ini (12 Dis), hanya diberikan kepada individu-individu yang sudah berkhidmat secara sukarela selama lebih 12 tahun dalam pertubuhan Melayu/Islam.
Ini di samping membuat sumbangan besar dalam bidang ilmu dan penulisan, pendidikan, ekonomi, dakwah dan/atau khidmat masyarakat.
11 individu turut menerima Anugerah Jasa Bakti di majlis yang sama. Pengiktirafan berkenaan bagi mereka yang lama berkhidmat kepada masyarakat.
SUMBANGAN HJ SHAFAWI KEPADA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM
Sumbangan Hj Shafawi dalam bidang pendidikan sebenarnya cukup ketara.
Sebelum dilantik menjadi anggota majlis tertinggi MUIS pada 1986, beliau merupakan antara anggota pengasas Yayasan Mendaki - badan bantu diri yang sehingga ke hari ini membantu memartabatkan masyarakat Melayu/Islam dalam pencapaian akademik.
(Gambar: Persatuan Pemuda Pemudi Melayu/Facebook)
Bukan itu sahaja, Hj Shafawi pernah menjadi Presiden Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) - kumpulan yang membantu memenuhi keperluan golongan belia dari keluarga kurang bernasib baik, selain mewujudkan peluang bagi mereka menghidupkan semangat gotong-royong.
Di dalam MUIS pula, Hj Shafawi memainkan peranan dalam majlis tertinggi MUIS untuk melakarkan dasar-dasar yang menjejas kehidupan sosio-agama masyarakat setempat.
Ia ternyata sesuatu yang tidak mudah.
"Masa saya mula berkhidmat (di MUIS), ada banyak persatuan yang menjalankan tugas masing-masing dan tujuannya baik tetapi kadang-kadang bercanggah dengan apa yang MUIS fikirkan. Alhamdulilah perlahan-perlahan, kita dapat menghubungi mereka dan mereka dapat memahami apa sebenarnya hajat MUIS. MUIS tidak ingin bertanding dengan mereka tapi untuk membantu dan mengukuhkan persaudaraan Islam," cerita Hj Shafawi.
Diam tak diam, Hj Shafawi berkhidmat selama 33 tahun lamanya di dalam majlis tertinggi MUIS. Beliau mengundurkan diri pada 2019 kerana keadaan kesihatannya.
Ditanya apa yang membuatnya bertahan begitu lama sehingga menjadi anggota paling lama berkhidmat dalam MUIS, Hj Shafawi memberikan jawapan yang jelas menunjukkan, beliau masih berjiwa masyarakat walaupun pada usia 88 tahun.
(Gambar: MUIS)
"Tidak terasa sudah lama. Rasa macam belum habis kerja. Rasa seperti kepingin nak berkhidmat dalam MUIS," kata Hj Shafawi dengan penuh semangat.
Semasa berkhidmat dalam MUIS, Hj Shafawi juga pernah tiga kali menjadi ketua delegasi Haji Singapura. Sebagai ketua, beliaulah yang memimpin sepasukan doktor, jururawat dan pegawai kebajikan untuk menjaga jemaah di Tanah Suci.
Beliau turut pernah mewakili MUIS di pelbagai mesyuarat bersama Kerajaan Arab Saudi demi memelihara keselamatan para jemaah Singapura.
PRINSIP HJ SHAFAWI SEBAGAI RELAWAN
Hakikatnya, menabur bakti buat tempoh yang begitu lama bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan sesiapa sahaja.
Namun pengertian Hj Shafawi tentang erti sebenar menjadi sukarelawan cukup bermakna.
"Bagi saya, seorang sukarela bukan seseorang yang berkhidmat bila rela (sahaja). Tidak. Itu bukan prinsip saya. Melakukan kerja sukarela bermakna kita masuk dengan tujuan untuk membantu. Tidak ada sebab untuk kita katakan 'aku tak mahu buat sebab aku cuma sukarela'," terang Hj Shafawi.
"Maknanya kita mesti harus ada sikap ingin maju. Buat rancangan," tambahnya.
Sebagai seorang 'veteran' dalam khidmat masyarakat, Hj Shafawi berkongsi beliau masih melihat pentingnya untuk memberi penekanan terhadap mengukuhkan pengetahuan agama.
"Agama melarang banyak perkara yang kita masih buat. Misalnya, mengambil dadah, berfoya-foya tidak tentu pasal dan kurang memerhatikan soal kebajikan anak-anak sendiri. Kita mesti faham ajaran-ajaran agama kita yang suruh buat kerja yang serius, kerja dengan baik, memerhatikan soal rumah tangga, meninggikan taraf hidup, menjaga kewibawaan negara dan sebagainya," jelasnya.
Tegas Hj Shafawi, semua ajaran agama inilah seharusnya tetap terus diterapkan "dalam dunia moden".
"Mesti kembali kepada ajaran-ajaran ini. Ajaran yang memerlukan kita berkhidmat secara jujur untuk kebajikan diri kita, keluarga kita, bangsa kita dan agama kita."
2 KAUNSELOR ANTARA PENERIMA ANUGERAH JASA BAKTI MUIS
Turut menerima penghargaan MUIS dalam acara tahunannya adalah dua kanselor - Encik Abdul Rapol Haron dan Ustazah Kalthom Muhammad Isa.
Encik Abdul berkhidmat secara sukarela sebagai seorang kaunselor agama bagi para banduan sejak 1994.
Meski akur awalnya "takut" kerana ada gambaran-gambaran negatif tentang para banduan, beliau sehingga kini tetap bertekad untuk membimbing mereka.
Encik Abdul percaya, selagi seorang banduan itu rela menghadiri sesi agamanya, beliau harus tetap menjalankan misi tersebut. Atas azamnya juga, beliau seringkali dipanggil "Guru Quran" kerana bijak memikat para banduan untuk mendalami ilmu agama.
Encik Abdul sekarang sudah bersara tetapi masih tetap menjalankan kerja-kerja sukarelanya.
"Masa saya bekerja dulu, saya tidak mempunyai masa yang banyak tapi sekarang ini saya dah bersara. Maka itu saya tumpukan masa untuk jadi kaunselor. Walaupun sebagai relawan tetapi ini adalah satu perkara yang baik kerana menolong itu adalah kehendak agama. Sekurang-kurangnya idea ataupun nasihat dapat saya sampaikan," ujar Encik Abdul.
Ustazah Kalthom pula sudah giat berbakti kepada masyarakat sejak 2005.
Guru agama ini melaburkan masa dan tenaganya di pelbagai pertubuhan Melayu/Islam termasuklah di Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan PERGAS.
Sumbangannya lebih ke dalam bidang dakwah dan pendidikan.
Di dalam RRG, Ustazah Kalthom membantu memperbetul konsep-konsep salah dalam ajaran Islam demi menangkis ideologi-ideologi pelampau.
Dari situlah, mereka yang sedang menjalani pemulihan dapat lebih mudah kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.
Anggota Lembaga Rayuan Syariah ini juga mendekati para pembantu rumah dengan mengadakan kelas-kelas agama untuk mereka.
Lebih dari itu, beliau sangat menitikberatkan kemahiran demi kebaikan masyarakat.
"Ilmu kita perlu tingkatkan. Apa pun kita boleh buat selagi mana kita hidup ini, (selagi) kita boleh memberi manfaat kepada orang lain, kita kena cuba sedaya upaya," kata beliau.
Selain merupakan lulusan dalam bidang ukhrawi, Ustazah Kalthom mempunyai diploma dalam psikologi kaunseling dan psikologi positif.
SENARAI PENUH PENERIMA ANUGERAH JASA BAKTI
Sumbangan bakti para relawan ini diraikan bersama sejak 1991 menerusi Majlis Anugerah MUIS. 150 individu mithali sudah diiktiraf dari pelbagai bidang kerja dan segmen masyarakat sejak itu.
Berikut senarai penuh para penerima Anugerah Jasa Bakti 2020:
- Mohamed Jaafar Peer Mohamed, Setiausaha Agung Singapore Tenkasi Muslim Welfare Society (STMWS)
- Alimah Hassan, relawan paling lama berkhidmat di Masjid Hasanah
- Abdul Rapol Haron, Khatib Pejabat Fitrah
- Salina Ishak, anggota Lembaga Rayuan Syariah
- Haja Maideen Kalandar Mastan, CEO United Indian Muslim Association
- Abdul Hamed Babaji Mohamed Dawood, Naib Pengerusi Masjid En-Naeem
- Abdul Wahab Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Qariah dalam kelompok Masjid-Masjid Barat
- Dr Abdul Halid Abdullah, Naib Pengerusi Masjid Al-Istighfar & Masjid Hj Yusoff (Upper Serangoon)
- Mohamed Zain Mohamed, Pengerusi Masjid Kassim
- Kalthom Muhammad Isa, Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)
- Taib Abdul Rahim, Naib Pengerusi Jawatankuasa Haiah Dakwah Islamiah
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.